BAB 1

985 27 2
                                    

“JANGAN dilayan sangatlah si Ash tu kalau kamu tak suka. Dah, pergi kerja. Dah pukul berapa ni.” Mama menolak badan aku keluar rumah dan terus menutup grill rumah. Mama melambai aku sebelum masuk ke dapur.

“Adui…” Aku merungut seorang diri. Hari ini sudah kesekian kalinya aku cuba untuk membodek Mama untuk menghantar aku keluar sampai ke pagar yang jaraknya beberapa meter dari pintu rumah kami dan kesekian kali jugalah Mama menolak dengan alasan yang sama.

Aku menjeling ke rumah sebelah kiri, rumah Pakcik Yusuf. Grill masih tertutup dan tiada lampu dari dalam. Mungkinkah? Mungkinkah hari ini akan menjadi pagi yang aku dambakan semenjak tiga bulan yang lalu? Pagi tanpa suara lelaki abu itu? Nikmat!

Tanpa berlengah, aku menyarung kasut kerja aku dan membuka pagar. Bekal dan beg aku letak dalam bakul motor dan setelah aku memasukkan kunci, aku tolak keluar motor Honda WAVE aku daripada halaman rumah.

Alangkah indahnya kalau setiap pagi begini. Tiada suara menyakat, dan tiada renungan sepasang mata yang boleh menggugat iman itu. Betul-betul aku menyesal kerana menyapa lelaki itu tiga bulan yang lepas. Semenjak itu, suara dialah yang akan menyapaku setiap kali aku mahu pergi dan pulang dari kerja. Sampai rimas aku dibuatnya. Ada saja yang nak dikatakan kepadaku.

Aku tongkat motor dan kembali ke pagar rumah untuk menutupnya. Belum sempat aku hendak menaiki motor aku, sebuah kereta Lexus LS berhenti di hadapan rumah Pakcik Yusuf dan melepaskan hon yang boleh buat satu taman terjaga. Aku jeling jam di tanganku. Agak-agak lah, baru saja pukul tujuh sudah buat hal.

Aku tidak endahkan susuk tubuh yang keluar daripada kereta tersebut dan terus saja aku hidupkan enjin motor.

“Awal keluar hari ini?” Ash bertanya kepadaku dengan tangan kirinya yang memegang plastik merah. Beli sarapan kah? Patutlah tidak nampak. Hish, sepatutnya aku tidak tertanya-tanya tentang dia tadi. Tengok, kan dah muncul tuan badan.

Aku ketap bibir, tidak mahu membalas apa-apa. Dia berdiri betul-betul di hadapan motor aku. Saja mahu cari pasal betul dia ini. Kalau ikutkan hati, memang sudah bersatu dengan jalan raya anak bongsu Pakcik Yusuf ini.

“Sombonglah dia ini. Nah,” Dia hulurkan satu plastik kecil, berasingan dengan plastik merah di tangannya.

“Apa ini?” Aku mengalah juga dan mengambil plastik daripada tangan Ash. Aku lihat isi di dalam plastik itu. Sebungkus nasi lemak, mungkin.

“Sarapanlah, awak. Daripada bakal suami awak juga.” Dia tunjuk ke dadanya. Mula dah loyar buruk dia itu.

Aku simpan di dalam beg aku yang terletak di dalam bakul motor. Orang sudah memberi, kita terima dengan hati yang terbuka. Tidak perlulah aku pulang ke rumah untuk makan tengah hari nanti.

“Terima kasih.” Aku bersuara pendek. Terserlah senyuman bangga Ash setelah aku berterima kasih kepadanya. Macam budak-budak juga dia ini.

“Sama-sama, sayang. Nanti masa makan tu ingatlah saya selalu ya,”

“Saya bagi baliklah kalau macam itu.” Aku berura-ura menyeluk ke dalam beg aku semula.

“Hesh! Dia ni, gurau pun tak boleh. Simpan elok-elok dalam beg itu. Nanti melayang keluar pula.” Dia menjeling aku manja. Manja lah sangat! Menyakitkan mata aku lagi adalah.

Aku simpan tawa yang mahu keluar. Sekali-sekala mengenakan dia semula, apa salahnya?

“Tau pun takut. Ke tepilah, saya lambat nanti, saya juga yang kena menjawab. Bukan awak.” Aku cuba mengundur sedikit. Lebih-lebih nanti terjatuh pula motor aku ke dalam longkang.

Akhirnya, dia bergerak dari hadapanku. “Hati-hati bawak motor tu. Orang nak hantarkan, sombong.”

Sempat aku dengar rungutannya. Aku hanya melambai tanpa menoleh. Ini semua Mama dan Papa punya pasal. Boleh pula mereka berpakat dengan Pakcik Yusuf dan Makcik Asma’ dan berikan Ash lampu hijau untuk menghantar aku ke kilang tempat kerjaku. Tahulah mereka risau dengan aku yang kerja hampir setengah jam jauhnya daripada rumah, bawa motor lagi itu.

MR. ASH SEBELAH RUMAHWhere stories live. Discover now