You tak kenal siapa Ash yang sebenarnya.
ITULAH mesej yang dihantar bersama gambar Ash dan Zahra yang kelihatan sedang rancak berbual di sebuah kafe kepada aku. Sepanjang perjalanan di dalam kereta Grab, aku cuba mendail nombor Ash. Aku tahu Ash bukan seorang lelaki yang suka menipu. Dia suka mengusik, tapi tidak pernah sekali pun dia berbohong kepada aku. Aku kenal Ash. Aku kenal dia. Aku...
"Cik nak saya hantar sampai dalam atau dekat luar ni je?" Suara budak pemandu Grab itu memecah kesunyian.
"Dekat luar je, dik." Jawabku dengan suara yang ditahan. Disebabkan Ash, aku beranikan juga naik Grab.
Tidak lama selepas itu, kereta Perodua Bezza itu diberhentikan betul-betul di hadapan pondok pengawal kawasan perumahanku. Selepas mengucapkan terima kasih dan membayar tambang, terus aku berjalan menuju ke rumah. Mujurlah ia tidak jauh dari pondok pengawal, tidaklah aku berpeluh-peluh di bawah terik matahari ini.
Aku mengeluarkan kunci dari dalam beg apabila tiba di hadapan rumah gah milik Ash itu.
Masuk sahaja ke dalam rumah, aku terus naik ke bilik. Mahu memeriksa setiap pelusuk bilik ini. Manalah tahu Ash tertinggal telefon dia ke? Mungkin sebab itulah dia tak jawab panggilan aku dari tadi.
"Tak ada." Aku terduduk di atas katil dengan telefon sendiri di tangan.
Sepanjang kami tinggal serumah, tidak pernah sekali pun Ash berubah sikap daripada dirinya semasa kami masih berjiran. Mulutnya sentiasa kecoh, kalau boleh setiap masa nak mengusik aku walaupun dia penat bekerja. Mulutnya juga tidak pernah berhenti memanggil aku dengan panggilan 'sayang'. Aku percayakan dia. Aku pasti pengirim yang menghantar gambar tersebut mahu membuatkan aku gusar tentang Ash.
TING!
Pengirim yang sama. Gambar candid Ash dan Zahra. Kali ini, Ash membelakangkan kamera. Hanya kelihatan wajah Zahra yang tersenyum.
Huh! Aku bukan seorang yang mudah goyah. Setakat gambar, zaman sekarang banyak aplikasi edit. Semua di hujung jari. Tanpa rasa gentar, nombor itu aku dail. Aku mahu bercakap terus dengan pengirim yang tidak tahu malu itu. Sesuka hati dia saja ingin memporak-perandakan rumah tangga orang.
Dua... tiga... Tup! Panggilanku diangkat dari sana. Tiba-tiba rasa berdebar. Aku menelan liur yang terasa pahit.
"Helo? Err... Hei! Awak ni tak ada kerja lain ke? Awak ingat saya ni bodoh sangat ke nak percaya gambar-gambar tu semua? Semua orang dah pandai edit-edit gambar tau sekarang ni. Kalau saya nak ganti muka awak dekat atas badan gorilla pun, boleh! Petik jari je, semua orang percaya sebab perangai awak tu tak ada beza pun dengan haiwan. Mengganggu ketenteraman awam!" Turun naik nafasku sesudah aku mengherdik gerangan manusia di hujung talian itu.
Satu saat... tiga puluh saat... seminit... Tiada jawapan. Hanya kedengaran bunyi seperti angin. Perasaan berani aku yang tadi mula menipis. Macam mana kalau dia cari aku sebab aku dah tuduh dia macam gorilla? Erk!
Tanpa berkata apa-apa, aku mematikan panggilan. Buang masa dan duit aku saja bercakap dengan hantu. Telefon aku campakkan ke sebelahku.
Aku ini suka menipu diri sendiri. Baru saja tadi aku cakap yang aku tidak mudah goyah. Hakikatnya, aku sangatlah takut sekiranya gambar-gambar yang dihantar itu adalah benar. Sampai mana kebolehan seseorang itu mengedit atau mengubah sesuatu menggunakan teknologi? Pakaian yang dipakai oleh Ash dalam gambar itu serupa sangat dengan apa yang dia pakai pagi tadi.
Aku meraup wajah. Bersabar, Khadija Adra. Benda ni boleh diselesaikan kalau kau tanya Ash sendiri bila dia balik nanti. Jangan buat spekulasi sesuka hati. Ingat pesan Mama, komunikasi itu penting dalam apa jua hubungan.
![](https://img.wattpad.com/cover/355720457-288-k24211.jpg)
YOU ARE READING
MR. ASH SEBELAH RUMAH
RomanceAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...