ESOKNYA, aku diarahkan oleh Mama untuk membeli lauk basah dan dengan rasa yang sangat malas, aku paksa juga diri untuk bangun daripada katil. Kata-kata seorang ibu mana boleh dilawan selagi tidak bercanggahan dengan agama Islam, jadi aku turutkan saja.
“Kak, nak pergi mana?” Maryam bertanya semasa aku mengambil cawan untuk mengisi air kosong. Dia yang sedang bersarapan di meja makan, terus tegak apabila melihat aku. Udin pula duduk berhadapan Maryam, sedang enak menjamah bihun goreng masakan Mama.
“Beli lauk. Jomlah kalau nak ikut.” Balasku dan meneguk air yang sudah aku isi ke dalam cawan di tangan.
Laju Maryam menggeleng. Dia memang begitu, tidak suka bau hanyir ikan. Memang anti sangat dengan pasar basah. Saja aku mahu mengajak dia, manalah tahu dia sudah berubah. Nampaknya, masih seperti dulu.
Aku pandang Udin. “Udin? Tak nak ikut kakak?”
“Tak naklah. Malas nak keluar pagi-pagi macam ni. Baik Udin tengok TV, lagi bagus.” Katanya dengan mulut yang penuh.
“Macam mana nak kahwin ni? Seorang tak suka bau ikan, seorang lagi malas nak keluar pagi-pagi. Waktu pagi tu lah semua pun tengah segar.”
“Ish, lambat lagi nak kahwin. Baik Udin cari betul-betul, kalau tak nanti jadi macam abang. Dah bertahun-tahun bertunang, tak kahwin-kahwin pun lagi.” Udin membuat muka.
Aku menggeleng perlahan. Udin ini memang tidak suka dengan Mika, anak lelaki sulung dalam keluarga kami. Aku panggil dia seorang bujang pun sebab sudah lama sangat tidak ada berita tentang tarikh pernikahan dia dan tunangnya selama tiga tahun itu. Mana tidaknya, tidak pernah sekali pun tunangnya datang melawat kami sekeluarga selepas mereka bertunang. Mika pun sangat jarang pulang ke rumah ini.
“Tak baik cakap macam tu, Udin. Semua tu kan perancangan Allah. InsyaAllah, kahwinlah dia nanti. Doakan lah, boleh juga kita makan nasi minyak. Lama dah tak makan.” Aku membasuh cawan yang sudah kosong di dalam sinki dan menggantungkan ia di rak cawan yang terletak di sebelah sinki.
“Yalah.” Udin balas perlahan. Kemudian, dia sambung lagi menjamah bihun goreng. Lapar betul tu. Malam tadi tak makan agaknya.
“Kakak pergi dulu. Kalau nak kakak belikan apa-apa, WhatsApp je.” Ujarku. Udin dan Maryam mengangguk serentak.
Aku berjalan ke arah pintu hadapan dan sebaik sahaja keluar daripada rumah, aku lihat Mama sedang menyiram pokok bunga sambil berbual dengan makcik Asma'. Wajah masing-masing serius benar. Takut pula aku mahu mendekati Mama.
Selesai memakai kasut, aku lihat ke dalam beg tote yang terletak di bahuku. Mahu memastikan tiada apa-apa yang penting tertinggal di dalam rumah. Setelah memastikan semua ada, aku berjalan ke arah Mama.
“Ma, Ija nak pergi pasar ni.” Aku menghulurkan tangan untuk salam Mama.
“Hah, dah nak pergi?” Mama menyambut tanganku dan aku mencium tangan Mama.
“Ya. Nanti lambat, lagi ramai orang kat pasar tu.” Aku membetulkan beg di bahu.
Kemudian, aku menyapa makcik Asma' yang sedang berdiri di luar pagar. “Assalamualaikum, makcik.”
“Waalaikumussalam. Kamu nak pergi pasar, Ija?” Soal makcik Asma'.
“Ya, makcik.” Aku menelan air liur yang terasa kelat. Suara makcik Asma' seperti ada sesuatu saja. Janganlah dia lakukan apa yang aku sedang fikir. Memang aku rempit keluar daripada halaman rumah ini dan-dan itu juga.
“Tumpang saja Ash. Dia pun nak ke pasar tu. Makcik yang suruh. Kejap ya, makcik pergi panggil dia.” Makcik Asma' masuk ke rumahnya tanpa menunggu balasan daripada aku.
YOU ARE READING
MR. ASH SEBELAH RUMAH
RomanceAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...