USAI solat Asar, aku duduk di birai katil. Ash masih nyenyak tidur. Dia ada bangun untuk solat Zohor beberapa jam yang lepas dan selepas itu dia kembali tidur. Suhu badan dia pula tidak naik, namun tidak turun juga. Sebelum balik, Umi memesan untuk membawa Ash ke hospital sekiranya suhu badannya tidak menurun. Aku berharap tidak perlulah sehingga ke hospital. Aku mahu dia sihat semula. Tidak sampai sehari pun lagi, rumah ini sudah terasa sunyi.
Aku mengusap wajah bersih Ash. Masih suam-suam kuku suhu badannya. Bantal yang menjadi alas kepalanya menjadi lembap kerana aku kerap mengelap wajahnya dengan kain basah selang setengah jam.
Ash bergerak sedikit dan terdengar suara lemahnya. Perlahan-lahan dia membuka matanya. Kemudian, dia mengelipkan matanya beberapa kali sebelum menumpukan pandangannya kepada aku.
Aku menghadiahkan dia senyum nipis.
"Selamat petang." Ucapku dengan tangan yang masih mengusap pipinya.
"Awak okey ke?" Sambungku apabila dia masih diam.
Ash memandang aku lama sebelum dia menganggukkan kepalanya.
"Betul ni?" Soalku lagi.
"Betul, sayang..." jawabnya perlahan.
"Tapi suhu badan awak ni tak turun-turun pun lagi."
Aku menarik tanganku semula. Mahu menukar air yang digunakan untuk mengelap muka Ash sebelum ini. Namun, tanganku ditangkap oleh Ash.
"Kenapa? Awak nak ke bilik air ke? Nak saya tolong?"
Ash ketawa kecil. Hm, dah boleh ketawa tu. Betul lah yang dia sudah okey. Cuma suhu badannya saja yang masih berdegil, tidak mahu turun-turun.
"Saya demam, Khadija. Boleh berjalan lagi. Cuma badan je rasa letih lebih sikit dari biasa." Ujarnya.
Aku mengangguk faham. Manalah aku tahu. Lain orang, lain cara demam mereka. Kalau aku, demam itu termasuk selsema dan sakit kepala. Ada orang, demam itu hanya panas pada badan sahaja sedangkan dia masih aktif. Ada pula orang, demam itu sehingga tidak boleh bangun. Itulah manusia.
"Saya nak berterima kasih dekat awak sebab sudi jaga saya daripada pagi tadi. Terima kasih, sayang." Senyuman Ash melebar. Tangannya mengusap tangan aku lembut.
"Tak ada apalah. Saya kan isteri awak. Siapa lagi nak jaga awak kalau bukan saya?" Balasku.
"Kot-kot lah awak terus tak selera tengok saya baring je kat atas katil satu hari ni. Tau-tau nanti saya ada dekat rumah kebajikan."
Aku menjelingnya tajam. Aku tidaklah sekejam itu. Nampak sangatlah yang dia sudah sihat apabila mulut itu mula mengarut macam-macam. Sengaja mahu menyakat aku.
"Betul ni, awak dah okey?" Aku bertanya untuk memastikannya.
Ash mengangguk beberapa kali. Aku meletakkan tapak tangan di dahi Ash. Tidaklah sepanas tadi, namun masih belum pulih sepenuhnya.
"Awak pergilah mandi, bagi suhu badan tu turun."
"Kalau mandi sama-sama lagi cepat turun."
Sepantas kilat tangan aku hinggap di bahunya.
"Malas nak layan awak ni. Bila dah sihat tu macam-macam." Aku bangkit dan terus menuju ke almari pakaian. Telekung di kepala, aku tanggalkan dan lipat kemas. Begitu juga kainnya. Kemudian, aku mengambil hanger yang disangkut pada pemegang almari tersebut dan menggantung telekung di situ.
"Apa salahnya mandi sama-sama? Kita bukannya makwe-pakwe. Kita ni suami isteri. Dapat pahala tau." Ujar Ash dengan senyum yang semakin lebar.
Aku buat tidak endah sahaja dan terus melangkah ke pintu bilik. Memandangkan Ash sudah sihat, aku mahu memanaskan makanan yang dibawa Umi dan Mama pagi tadi. Ash pun belum sempat menjamah apa-apa makanan berat sejak pagi tadi kerana berbaring sahaja di atas katil itu.
YOU ARE READING
MR. ASH SEBELAH RUMAH
RomanceAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...