BAB 10

454 16 0
                                    

AKU sedang berbaring di atas katil sambil menonton filem apabila pintu bilik diketuk dari luar. Aku meninggalkan telefon di atas katil dan membuka pintu. Mama sedang berdiri di luar bilik aku.

“Ya, Ma? Masuklah.” Aku membuka pintu luas dan bergerak ke katil aku semula. Mama ikut sekali dan duduk di birai katil.

“Ija, Mama nak tanya hal penting ni. Janji pada Mama yang Ija akan jawab dengan jujur, boleh?” Mulai Mama.

Aku yang mahu sambung baring, membatalkan hasrat. Sebaliknya aku duduk berhadapan dengan Mama. Jika Mama sanggup naik ke bilik ini untuk membincangkan tentang hal yang Mama katakan itu, maka betullah yang ia sangat penting.

“Ija janji, Ma.” Balasku pendek, walaupun aku susah sekali mahu menipu Mama dan Papa.

“Ija sudah berpunya?” Soal Mama.

Tersentak juga lah aku dengan pertanyaan Mama itu. Tidak pernah lagi Mama mahupun Papa sibukkan hal peribadi aku, jadi memang aku sangat berdebar apabila timbul soalan tersebut daripada mulut Mama setelah sekian lamanya.

“Belum. Tak ada masa pun Ija nak berteman lelaki, Ma.”

“Betul ni? Manalah tahu Ija sorokkan sebab takut Mama dan Papa tak restu ke?” Mama meneliti wajah aku.

“Mana ada. Kalau Ija ada pun, kenapa nak sorokkan pula? Dari awal-awal lagi, Mama dan Papa dah janji yang Mama dan Papa tak akan kacau hidup peribadi anak-anak selagi tidak bercanggahan dengan agama. Tak ada sebab pun Ija nak sorok-sorok perkara macam tu.” Ujarku.

“Alhamdulillah.” Ucap Mama dengan senyuman yang lebar.

“Kenapa Mama tanya Ija tentang perkara ni? Tiba-tiba je?” Giliran aku pula yang menyoal Mama.

“Kalau Mama cakap ada orang nak datang meminang kamu, apa kata kamu?” Jawab Mama.

Terpaku aku sebentar mendengar perkataan-perkataan yang keluar daripada mulut Mama. Kalau boleh, memang aku menjerit terus. Yalah, tiba-tiba saja ada orang mahu meminang aku. Siapa yang tidak terkejut?

Tetapi, aku menarik nafas dalam-dalam dan berfikir secara rasional.

“Mama kenal ke orang yang nak meminang tu?”

Mama angguk laju. “Mestilah. Kalau tak kenal, tak ada lah Mama terus tanya kamu.”

Aku menghela nafas. Kalau mahu menolak, aku pun tidak tentu lagi akan jumpa manusia lain yang mahu beristerikan aku. Buktinya, sudah dua puluh enam tahun aku hidup di muka bumi Allah ini, tidak pernah sekali pun aku bercinta. Rasa mahu itu memang ada, tetapi tidak pernah terjadi kerana sikap aku yang banyak mendiamkan diri. Mungkin ini lah jodoh yang Allah telah tetapkan dan datangkan kepada aku.

“Ija terima je kalau Mama dan Papa sukakan orang tu.”

Wajah Ash melintasi fikiran aku. Kenapa pula mahu memikirkan lelaki sebelah rumah itu? Dia pun entah-entah sedang bersiap sedia mahu meminang buah hati dia. Teringat pula perbualan kami beberapa malam yang lepas tentang perkahwinan. Mungkin ada sebab perbualan itu timbul pada hari tersebut.

“Ya? Alhamdulillah. Terima kasih, Ija.” Mama memelukku erat. Impian seorang anak adalah untuk menggembirakan kedua orang tuanya, dan dengan bersetuju dengan pertunangan yang bakal berlangsung, aku sudah menggembirakan mereka.

“Tak ada apalah, Ma. Ija yang patutnya berterima kasih sebab dah Mama dan Papa dah carikan jodoh untuk Ija.” Aku menggosok belakang Mama perlahan.

Perasaan aku sekarang bercampur baur. Ada rasa gembira kerana Mama gembira, dan ada rasa sedih kerana zaman bujang aku akan tamat. Ada juga rasa takut untuk mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang aku tidak kenal. Tetapi, yang paling penting adalah aku redha. Aku redha dengan ketentuan Ilahi.

MR. ASH SEBELAH RUMAHWhere stories live. Discover now