BAB 3

2.1K 59 1
                                        

“KAU ni dah kenapa? Dari tadi asyik tengok telefon.” Dhiya menegur sebelum dia duduk di kerusi sebelah kanan aku. Aku tidak menjawab.

Jam sudah menunjukkan pukul satu tetapi masih tiada panggilan daripada Ash. Aku ingatkan dia mahu mengambil kereta dia secepat yang mungkin. Jadi tepat pukul dua belas setengah tadi, terus saja aku turun ke kafeteria walaupun aku jarang sekali makan tengah hari di sini. Setengah jam berlalu dan masih tiada panggilan daripada dia.

Dhiya mula melahap nasi berlauk ayam goreng dan sayur kubis goreng di hadapannya. Aku sudah selesai makan tengah hari sebentar tadi. Anak dara di sebelah aku ini pula selalunya akan menggunakan setengah jam pertama waktu lunch untuk bergayut dengan teman lelaki dia. Sebab itulah kerap sangat dia masuk kerja lambat selepas waktu rehat.

Sedang aku tenung telefon yang terkujur kaku di tangan, Razi, pekerja dari line C duduk berhadapan Dhiya. Aku tidak menyapa dia. Anak teruna ini gatal sedikit, lagi-lagi dengan Dhiya di sebelah aku. Merenyam dia punya gatal itu. Bukan dia tidak tahu Dhiya itu sudah mempunyai teman lelaki. Ramai lagi gadis single di kilang ini, boleh pula orang yang sudah berpunya dia suka. Nak kata sudah tua, muda saja lagi. Hanya tua dua tahun daripadaku. Muka pun elok. Senang kata, kalau dia kurangkan gatal merenyam dia itu, memang beratur perempuan mahukan dia.

“Hai, Dhiya. Baru nak makan?” Dia tegur. Dhiya yang sedang mengunyah terus berhenti. Dia jeling tajam Razi yang sedang tersengih seperti kerang busuk.

“Garangnya buah hati aku ni.” Dia mula dah.

Dhiya tunjuk penumbuk dia ke Razi. Dia sambut dengan tawa besar. Kemudian, dia pandang aku. Terus berhenti ketawa dia. Satu yang aku perasan dengan Razi ini ialah setiap kali dia nampak aku, memang hilang terus perangai gatal dia itu. Aku pun tidak tahu kenapa. Muka aku garang sangat ke?

Dia teliti beg aku yang aku letak di atas meja bersama termos yang sudah kosong dan botol air Tupperware aku.

“Kau nak pergi mana pula ni?” Dia tanya.

Half-day.” Pendek saja aku jawab. Mata aku masih merenung telefon aku. Hish, mana dia ni? Tak tahu ke aku nak keluar dengan Yana selepas ni? Tidak gunalah aku ambil half-day kalau dia pun lambat.

Aku perasan Razi terangguk-angguk. Selalunya begitulah kalau bercakap dengan Razi. Dia tanya sepatah, aku jawab sepatah. Jarang sekali aku memulakan perbualan.

“Kau nak apa lagi? Orang nak makan pun tak senang.” Dhiya bersuara. Aku pandang dia. Cepat betul makan? Licin sudah pinggan di hadapan dia.

Razi mengangkat bahu. “Saja nak duduk sini. Lama dah tak nampak kau.”

“Nak muntah aku dengar.” Bebel Dhiya dan terus dia bangun menuju ke besen tempat letak pinggan dan cawan kotor. Tinggallah Razi dengan aku saja di meja ini.

“Nak tanya sikit boleh?” Mula Razi.

Aku angkat kening sebelah.

“Betul ke kau dah berpunya?” Dia sambung. Itu sajalah topik perbualan dia. Kalau tak Dhiya, dia tanya status hubungan rakan sekerja dia. Membazir air liur saja bercakap dengan manusia bernama Razi ini.

“Mana ada. Tak ada masa pun nak bercintan-cintun ni.”

“Dah tu, kereta Lexus tu siapa punya? Tak mungkin lah kau ada duit nak beli kereta tu, mahal tu.”

Aku hampir tersedak air liur sendiri. Aku ingatkan tiada siapa yang nampak aku keluar dari kereta Ash selain daripada pakcik guard. Aku kan selalu datang awal daripada pekerja lain, jadi aku fikir aku selamat. Ligat kepala aku mencari alasan munasabah.

“Kawan punya. Aku pinjam je sebab motor aku kan kena tinggal semalam kat sini.”

“Ya?” Razi pandang aku dengan penuh syak wasangka. Eh, dia ni. Sibuk betul jaga tepi kain orang. Aku sumbat mulut dia dengan telefon di tangan aku ni baru senyap agaknya.

MR. ASH SEBELAH RUMAHTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang