BERKERUT-KERUT dahiku membaca apa yang tertera di skrin telefonku. Macam mana ni? Sungguh, aku terlupa!
118 Missed Calls, 27 Messages
Semuanya daripada Ash yang bertanya aku di mana, dengan siapa dan kenapa aku tidak menjawab panggilan mahupun mesejnya. Macam mana nak balas kalau aku terlupa mahu unmute? Sebaik sampai di butik ini tadi, terus aku letakkan telefon dalam mod senyap kerana mahu fokus dengan kerja di hadapan mata. Sudahnya, aku terlupa langsung tentang teknologi itu.
Pintu bilik kak Yasmin terbuka dan kepalanya dijenguk ke luar.
"Ija, Ash ada call akak tadi. Ija tak bagitau Ash ke yang Ija nak datang sini?" Soal Kak Yasmin.
Aku menyumpah seranah diri sendiri di dalam hati. Sampai ke Kak Yasmin Ash telefon. Semuanya sebab aku terlupa tentang kewujudan telefon aku itu.
Aku senyum walau terasa kelat sekali. "Ha'ah, kak. Terlupa."
Jawapanku hanya membuat kak Yasmin menggeleng kepalanya perlahan.
"Yalah. Akak dah cakap Ija ada dengan akak. Kejap lagi Ash datang jemput Ija. Ija pun dah siap buat kerja kan? Berhenti sebab solat je tadi." Kak Yasmin menghampiri aku yang sedang berdiri di belakang kaunter pembayaran.
Hah? Dia nak jemput aku? Matilah nak. Dapat aku bayangkan wajah tanpa senyuman Ash. Bila sudah marah, suara dia pun akan mendatar saja. Senyum pun memang tak nampaklah.
"Eh, ada banyak lagi kak. Saya boleh buat sampai habis." Aku cuba mencari alasan untuk tidak bersua muka dengan Ash secepat ini. Aku perlu menyediakan mental dan fizikal sebelum melihat Ash yang bakal bersikap dingin kerana aku tidak menjawab panggilannya itu.
Kak Yasmin melemparkan pandangan ke arah tempat aku duduk selama beberapa jam tadi. Masih ada satu kotak besar berisi tudung sarung.
"Itu, akak boleh sambung. Sikit je tu. Sekejap je Ija buat kerja, tinggal satu kotak. Terima kasih. Kena bagi bonuslah bulan ni." Usik Kak Yasmin. Tapi, aku gelak tidak ikhlas. Kepala sedang memikirkan nasibku sebentar lagi.
"Sama-sama, kak. Saya tak sedar pun masa buat kerja tu. Khusyuk sangat agaknya." Balasku.
"Akak banyak kerja lagi ke?" Sambungku. Mahu menghapuskan rasa tidak senang di dalam hatiku dari terus berleluasa.
"Baru je habis tadi, tiba-tiba pula Ash call. Itulah akak terus keluar. Lepas akak susun kotak tu, bolehlah balik. Dah pukul dua lebih ni, sorry sebab akak ambik masa Ija lama sangat."
"Eh, tak apa kak. Saya memang tak ada buat apa dekat rumah. Tak kisah pun."
Kak Yasmin hanya senyum manis. Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu kedai diketuk dari luar. Aku yang tadi bersahaja, terus kaku.
"Eh, laju betul Ash ni." Kak Yasmin membebel sendiri seraya melangkah ke pintu butik.
"Assalamualaikum." Suara Ash menerpa telinga aku. Tidak berani mahu pusing dan melihat wajah lelaki itu.
"Waalaikumussalam. Lajunya? Tak sampai berapa minit Ash telefon kakak tadi, tahu-tahu dah sampai." Tegur Kak Yasmin.
"Ash memang dah ada atas jalan pun. Call sebab nak confirm je." Balas Ash.
"Oh. Masuklah. Ija baru je siap buat kerja. Bagi dia rehat sekejap." Pelawa kak Yasmin. Aku pula masih enggan memusingkan badan menghadap dua beradik yang sedang berbual itu.
"Tak apalah, kak. Ash nak cepat ni. Nak ajak Khadija dating." Mendengarkan perkataan yang keluar daripada mulut Ash, dengan pantas aku berpaling ke arahnya. Dating? Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba mahu keluar dengan aku? Mimpi ke dia ni? Lupa yang aku sedang merajuk dengan dia agaknya.
YOU ARE READING
MR. ASH SEBELAH RUMAH
RomanceAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...