BAB 32

347 11 0
                                    

PERLAHAN-LAHAN aku mengangkat kelopak mata yang terasa berat sekali. Aku berkelip beberapa kali untuk menyesuaikan pandangan dengan suasana bilik yang gelap. Selepas itu, aku cuba untuk beralih sedikit untuk mengambil telefon di meja sebelah katil. Namun, seperti ada sesuatu yang menghalang. Terasa berat di bahagian perutku.

Aku berpaling ke kiri dan wajah Ash yang sedang nyenyak tidur itu menerpa pandangan. Wajahnya begitu rapat sehingga terasa nafas hangatnya memukul mukaku. Aku alihkan pula pandangan ke badan aku. Ternyata, sebelah tangan Ash sedang memeluk aku. Aku pula, tidur telentang begini. Memang rasa beratnya tangan dia tu.

Dengan berhati-hati, aku mengalihkan tangannya. Kemudian, aku capai pula telefon di meja tidur. Skrin telefon itu aku sentuh dua kali dan terus ia menyala. Masa yang tertera, aku baca. Lima setengah pagi. Ada dalam setengah jam sebelum azan Subuh berkumandang.

Aku letak semula telefon aku di atas meja tidur dan kembali baring. Aku kerling Ash di sebelah. Jarang sekali aku bangun sebelum dia. Selalunya, dia lah yang akan mengejutkan aku pagi-pagi. Walaupun aku sudah pasang alarm, selalu juga aku terlajak. Bila kepala otak asyik fikirkan 'nanti', memang akan jadi begitu.

Wajah tenang Ash itu aku tatap. Rambutnya hampir menutup matanya, menunjukkan bahawa ia sudah panjang. Tidak perasan pula, memandangkan Ash sering menggayakan rambut dia itu dengan menolaknya ke belakang.

Berhati-hati aku menolak rambutnya ke tepi. Aku pula yang rimas tengok matanya ditutup oleh rambut. Dia bergerak sedikit dan tangannya kembali memelukku. Keningnya juga bergerak-gerak, seperti memikirkan sesuatu. Mimpi apalah agaknya tu? Aku menahan tawa.

Jari aku larikan pada garis rahang Ash yang sudah ditumbuhi kumis tipis itu. Satu yang aku perasan tentang Ash, dia tidak pernah menyimpan jambang. Pernah juga aku menyoal dia, tetapi jawapan dia sangat mudah.

"Benda tak ada."

Aku tidak faham ketika itu, tetapi sekarang apabila melihatkan wajahnya yang hampir bersih dari kumis setelah lama tidak bercukur barulah aku faham. Dia tidak dikurniakan dengan bulu wajah yang tebal seperti Walid ataupun Abang Yasser.

Ah, apalah sangat jambang tu. Muka dia tetap kacak dengan mahupun tanpa jambang. Wajah dia pun bersih dari cela atau kesan jerawat kerana dia sangat menjaga kulitnya. Semasa baru pindah ke sini dulu, terkejut jugalah aku apabila melihat dia keluarkan satu beg yang penuh dengan produk penjagaan kulit. Kalah aku yang perempuan ni.

Jari aku berhenti pada bibirnya. Bibir merah itu adalah antara satu anggota pada wajahnya yang sering buat aku tidak keruan semenjak kami bergelar suami-isteri. Pantang ada peluang, pasti dia akan labuhkan bibir itu pada segenap ruang wajahku.

Matanya. Ya, sepasang mata berwarna terang itu juga merupakan anggota yang buat aku tidak senang duduk apabila diperhati lama. Tidak seperti Abang Yasser atau Kak Yasmin, Ash mewarisi warna mata dari arwah neneknya. Walid pun tidak mempunyai mata berwarna cerah itu. Boleh dikatakan genetik arwah neneknya itu terus langkau kepada Ash.

Aku menghela nafas panjang.

Walaupun aku tidak pasti dengan perkahwinan aku dengan Ash sebelum ini, setelah tinggal sebumbung lebih dari tiga bulan dengan lelaki di hadapanku ini, aku jadi bersyukur dapat menjadi isterinya.

Setiap Subuh, tidak pernah lena diulit mimpi. Walaupun penat dari hari sebelum tidak habis, tetap akan dia bangun. Bukan itu sahaja, dia tidak pernah lupa kejutkan aku sekali. Hanya pada hari aku cuti saja dia akan biarkan aku lena. Tidak pernah dia naikkan suara sehingga menyentap perasaanku. Jika ada salah, dia tegur dengan baik. Wanita mana yang tidak bersyukur dikurniakan dengan suami begini?

Ash bergerak lagi, membetulkan tangannya yang dari tadi memeluk tubuhku. Semakin dekat aku ditarik olehnya. Kalau boleh, biar bersatu terus. Mujurlah bilik ni ada pendingin hawa, kalau tiada memang dah lama aku lari. Maklumlah, sekarang ini musim panas. Sehingga ke malam terasa bahangnya itu.

MR. ASH SEBELAH RUMAHWhere stories live. Discover now