BAB 19

446 15 0
                                    

HARI ini aku perlu ke hospital untuk pemeriksaan pada bahu kanan aku ini. Pagi-pagi lagi aku sudah bersiap kerana tidak mahu menunggu lama di hospital itu nanti. Papa yang ketika itu sedang memanaskan enjin kereta, menawarkan diri untuk menghantarkan aku ke hospital.

Pada mulanya, aku terfikir untuk menaiki bas sahaja. Terdapat tempat menunggu bas di luar kawasan perumahan ini yang akan lalu di hadapan hospital setiap hari. Memandangkan keadaan aku yang memang tidak boleh memandu apa-apa jenis kenderaan sekarang ini, bas itulah pilihan utama aku. Murah pun murah. Tetapi Papa risaukan keselamatan aku dan bertegas ingin menghantar aku. Aku turutkan sahaja.

Sampai sahaja di hospital, Papa memesan aku untuk menelefon Ash apabila aku sudah selesai nanti. Kalau boleh, aku tidak mahu menyusahkan Ash. Dia pun sedang bekerja, takkan lah boleh keluar sesuka hati untuk mengambil aku pulang ke rumah. Papa pula cuba meyakinkan aku bahawa Ash itu bos, jadi dia tiada masalah pun ingin keluar masuk pejabatnya sesuka hati. Papa ingat aku ini senang digula-gulakan agaknya. Ash itu pun baru sahaja pulang ke Malaysia setelah bertahun-tahun di luar negara, tidak mungkinlah boleh terus jadi bos? Tidak masuk akal.

Sebaik sahaja kereta Papa hilang dari pandangan, terus aku masuk ke dalam hospital dan ke klinik awam yang berada di bahagian kecemasan dan trauma. Walaupun masih pagi, sudah ada belasan pesakit luar yang sedang menunggu nombor mereka dipanggil. Itulah hospital kerajaan, tidak pernah kosong.

Tanpa berlengah, aku terus mendaftar dan selesai sahaja mengambil nombor giliran, aku duduk di barisan kerusi besi berhampiran bilik-bilik pemeriksaan yang tersedia. Aku melihat jam di skrin yang tertera nombor-nombor giliran pesakit dan nombor bilik di hadapan aku. Jam baru sahaja mencecah lapan pagi, tetapi sudah perlu menunggu begini. Memang lambatlah balik macam ni. Sudahlah tidak bersarapan lagi aku ini. Menyesal pula tidak makan dulu sebelum keluar rumah tadi.

Setelah hampir satu jam menunggu, tibalah giliran aku pula. Masuk sahaja ke dalam bilik pemeriksaan, doktor membuka kantung yang menyokong tangan dan bahu kanan aku. Seterusnya, dia menyuruh aku membuat beberapa pergerakan dan memberitahunya apa yang dapat aku rasa selepas berbuat begitu. Doktor mencatat tindak balas aku ke dalam kad pesakit yang tertera nama aku. Kemudian, aku dibawa untuk menjalani pemeriksaan X-ray pula. Mujurlah tiada pesakit lain yang sedang menggunakan bilik X-ray tersebut, sekejap sahaja sudah selesai.

Selepas semuanya selesai, doktor tersebut memberitahu anggaran pemulihan bahu aku dan apa yang perlu aku buat dan elakkan supaya ia lebih cepat sembuh.

Menurut pemeriksaannya, bahu aku akan pulih dalam masa tiga minggu atau sebulan lagi. Bahu adalah bahagian yang mengambil masa agak lama untuk pulih sepenuhnya kerana ia tidak boleh disimen seperti bahagian lain. Maka, satu-satunya cara untuk ia cepat pulih adalah dengan menjaga diri sebaik-baiknya. Jangan buat kerja berat atau tidur beralaskan bahu yang cedera.

Apabila mendengar kesimpulan yang keluar daripada mulut doktor tersebut, aku mengeluh perlahan. Tiga minggu hingga sebulan itu adalah masa yang amat lama. Cuti yang diberikan oleh doktor sebelum ini pun akan habis dalam masa dua minggu saja lagi. Ini bermakna ia tidak akan pulih sebelum majlis pernikahan aku dan Ash yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Soal kerja pula, memang sudah muktamad. Tidak mungkin aku dapat melakukan kerja di kilang seperti sebelum ini.

Redha sajalah. Salah aku juga. Tiada siapa pun yang menyuruh aku leka memandang anak teruna orang. Itulah balasan yang aku dapat.

Selesai mengambil ubat di farmasi, terus aku keluar daripada hospital dan mengambil tempat di kerusi yang tersusun di sebelah tempat mendaftar bahagian kecemasan dan trauma. Aku mengeluarkan telefon dan mendail nombor Ash. Aku mahu cepat balik rumah, sudah lapar sangat ni.

Namun, Ash langsung tidak menjawab panggilan aku apabila aku cuba mendailnya untuk kali yang ketiga. Semuanya masuk peti suara. Aku memandang waktu yang tertera di telefon. Sudah hampir pukul sepuluh setengah pagi. Aku berfikir untuk membuat panggilan sekali lagi, tetapi aku batalkan saja hasrat itu. Mungkin Ash sibuk sekarang ini. Itulah Papa, aku cakap tidak mahu percaya.

MR. ASH SEBELAH RUMAHWhere stories live. Discover now