5 tahun kemudian
BUAT kesekian kalinya, aku melaungkan nama Ash dan anak-anak dari ruang tamu. Budak tiga orang itu dengan bapaknya sama sahaja perangai kalau waktu cuti begini. Liat bangun, lagi-lagi lah bila mereka sambung tidur selepas subuh. Bertambah susah mahu bangun dari tidur. Hari ini ada kenduri kahwin di rumah Mama dan Papa, jadi kami perlu ke sana sebelum tetamu mulai membanjiri rumah. Nanti susah mahu parkir kereta.
Jam di dinding aku pandang sekilas. Sudah hampir pukul sepuluh setengah pagi. Kenduri bermula pada pukul sebelas setengah dan ini bermakna mereka perlu bersiap sebelum pukul sebelas. Aku sudah berjanji untuk datang awal bagi membantu apa yang patut. Kalau begini, memang lambatlah.
Aku menyingsing lengan baju abayaku dan terus aku mendaki tangga ke bilik tidur aku dan Ash. Pintu aku tolak perlahan dan tubuh Ash yang masih terdampar di tengah-tengah katil itu menerpa pandanganku. Aku mendengus perlahan. Sabar, Khadija.
Aku menghampiri Ash yang masih nyenyak berdengkur itu dengan perlahan. Aku cuba mengejutnya dengan mencuit pipinya yang sudah dipenuhi jambang nipis itu. Tetapi, tiada kesan. Itulah Ash. Siapa suruh kerja sampai lewat malam? Dia tu bos, takkanlah tak boleh rehat waktu malam? Asyik fikir kerja je. Sudahnya jadi beginilah.
"Sayang, bangunlah. Nanti lambatlah. Anak-anak pun tak bangun lagi tu. Diorang dah lah tak mandi lagi." Aku menggoncang bahu Ash pula.
Dan ia berkesan apabila Ash mula menggeliat. Kelopak matanya terangkat sebelah.
"Pukul berapa?" Soalnya dalam mamai.
"Dua belas." Bohongku, mahu melihat reaksinya.
Tiba-tiba dia ketawa. Tanganku yang masih di bahunya dia tarik. Tidak semena-mena aku terjatuh di atasnya.
"Ash! Nanti ronyok lah baju saya ni. Dah cantik-cantik saya iron tau." Aku mula merungut. Aku tarik jambang tu baru dia tahu. Mujurlah tudung tidak dipakai lagi, kalau tidak memang aku sudah mengamuk.
"Jangan nak tipu saya, sayang..." Matanya tepat merenungku.
Aku diam seketika. Kemudian, aku menolaknya untuk membantu aku berdiri.
"Kalau dah tahu saya tipu tu, bangunlah cepat. Saya nak siapkan tiga orang tu pulak. Awak bukannya nak tolong. Asyik tidur je. Daripada pagi tadi lagi saya suruh awak bangun, tolong saya siapkan anak-anak. Tapi awak buat apa? Tidur." Bebelku sambil membetulkan abaya di tubuhku. Nasib baik tak ronyok.
Terdengar nafas dihela perlahan oleh Ash. Aku memandangnya sekilas dan dia sedang senyum senget dengan sepasang mata yang masih memerhatikan aku.
"Okey, okey... Sorry, sayang." Sebelah tanganku dibawa ke bibirnya dan sebuah kucupan hinggap di belakang tanganku. Aku pula, apa lagi? Cairlah!
"Kalau macam tu, bangun cepat. Saya nak pergi kejut anak-anak pulak."
"Baik, sayang..." Balas Ash lalu dia bangun daripada katil.
Apabila Ash sudah menghilang ke dalam bilik air, cepat-cepat aku berlari ke bilik anak-anak lelakiku bersebelahan dengan bilik aku dan Ash.
"Bangun, bangun! Nak pergi rumah nenek dengan atuk ke tak ni?" Pintu aku buka luas dan suara juga aku laung sekuat yang boleh.
Itulah padahnya bila sambung tidur selepas subuh, masing-masing pun jadi liat mahu bangun. Sudah aku larang mereka daripada ikut bangun untuk subuh, tetapi kanak-kanak, apa mereka tahu? Asalkan ibu bapa mereka buat, mereka pun mahu ikut melakukannya sekali.
"Bangun, sayang-sayang Mama. Cepat mandi, kita dah lambat ni." Ujarku apabila Khalif dan Khaliq sudah bangun daripada tidur.
Kedua-dua mereka mengambil tuala yang disangkut di hujung katil mereka sebelum keluar menuju ke bilik air. Khalif melangkah ke bilik air di tingkat bawah, manakala Khaliq masuk ke bilik air di antara bilik ini dan bilik solat di sebelah. Mereka memang tidak banyak cakap setiap kali baru bangun daripada tidur.
YOU ARE READING
MR. ASH SEBELAH RUMAH
Storie d'amoreAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...