ESOK merupakan hari terakhir aku berada di hospital. Menurut doktor, keadaan fizikal aku masih belum sembuh sepenuhnya, jadi aku perlu menjaga setiap pergerakan ku di rumah nanti. Dari segi mental pula, doktor menyarankan aku untuk bertemu pakar psikologi setiap minggu selepas aku keluar dari hospital nanti bagi mengelakkan aku mengalami PTSD dan penyakit murung. Aku sangat keberatan untuk menurut, tetapi Mama dan Papa sudah pesan awal-awal untuk tidak membantah nasihat atau saranan doktor. Jika mahu sihat sepenuhnya, haruslah aku menurut kata.
Sejujurnya, aku sudah selesa berada di sini. Di dalam bilik wad yang tidak terlalu besar atau kecil. Untuk balik semula ke rumah, ke tempat aku... Entahlah. Sebolehnya, aku tidak mahu ke sana semula. Aku tidak mahu mengingati walau secebis pun memoriku pada malam itu di atas sofa di ruang tamu rumah.
Keluhan berat aku lepaskan. Pintu bilik yang terbuka sedikit itu, aku tenung. Aku yang meminta ia dibuka sedikit. Walaupun aku selesa berada di dalam bilik ini, tidak semestinya aku berani. Keadaan yang tertutup boleh membuatkan aku teringatkan kembali perkara itu. Dadaku boleh kembali menjadi sesak.
Dua hari. Selama dua hari, aku menunggu kehadiran Ash. Aku cuba menghubunginya melalui telefon Mama semasa mereka datang melawat. Namun, sekali pun tidak berangkat. Umi beritahu aku sebelum ini bahawa Ash sentiasa datang ke hospital untuk menjaga aku setiap kali tiba waktu malam, namun masih belum sempat aku bertemunya selama aku sedar dari koma.
Aku fikirkan Ash mungkin sibuk dengan urusannya di tempat kerja dan balai polis, namun tidak bolehkah dia melawat aku semasa aku sedar dan bukannya semasa aku sudah lena diulit mimpi? Setiap kali aku mahu menunggunya tiba, aku akan tertidur dan bila mata aku buka, hanya kesan dari kehadirannya sahaja dapat aku lihat. Kerusi yang kemas disusun dan air dan sarapan di sebelah katilku.
Aku rindukan dia. Aku mahu melihat wajahnya. Aku mahu memohon maaf atas layanan dingin yang aku berikan kepadanya sebelum dia berangkat ke luar negeri hari itu. Tetapi, dia seperti tidak mahu langsung berjumpa denganku. Khayalan aku sahajakah kebaikan dan kelembutan Ash berkata-kata pada malam itu?
Bunyi pintu terbuka mematikan lamunanku. Segera aku menoleh ke arah pintu masuk bilik wad ini. Melihat gerangan yang sedang berdiri di pintu itu, hampa mengisi ruang hatiku. Seorang wanita berpakaian uniform biru gelap melangkah masuk. Dia memegang sebuah beg serupa briefcase di tangan kirinya. Dari pandangan mata kasarku, umurnya mungkin dalam lewat 20-an atau awal 30-an.
"Assalamualaikum. Puan Khadija, kan?" Ucapnya sebaik sahaja berhenti di kaki katil.
Aku yang sedang duduk melunjur, terus menarik kaki dan turun dari katil. Tidak sopan pula apabila bercakap sambil duduk melunjur begitu.
"Waalaikumussalam. Ya, saya Khadija." Aku membalas pertanyaannya. Pakaian hospital yang terletak pada tubuh, aku betulkan sedikit. Begitu juga dengan tudung sarung yang sudah senget-benget akibat aku berbaring beberapa minit yang lalu.
Wanita itu senyum lebar. Tangannya dihulurkan untuk bersalaman. Aku menyambut tanpa banyak kata. Kami bersalaman dan genggamannya kemas sekali.
"Saya Inspektor Sharifah. Saya dapat tahu puan sudah sedar dua hari yang lepas. Puan macam mana sekarang?" Soalnya dengan penuh prihatin.
Aku menghadiahkannya sebuah senyuman nipis.
"Alhamdulillah, saya baik-baik saja."
Inspektor Sharifah mengangguk beberapa kali tanda faham.
Kemudian, wanita itu meletakkan beg di tangannya ke atas meja makan kosong di kaki katil. Beberapa helai dokumen dikeluarkan dan aku dapat agak tujuannya yang sebenar ke sini.
"Saya datang ni sebab nak tanya beberapa soalan pada Puan Khadija. Boleh puan beri kerjasama?"
Bertenang, Khadija. Perkara ini tetap akan berlaku, awal atau lambat. Daripada kata-kata Umi tempoh hari lagi, sudah jelas yang Ash sudah melaporkan tentang hal itu kepada polis. Namun, aku tidak bertanya lebih-lebih kerana aku ingin buang malam itu jauh dari hidupku. Malangnya, aku perlu mengingati hari itu semula sekiranya aku mahu diriku diadili.
![](https://img.wattpad.com/cover/355720457-288-k24211.jpg)
YOU ARE READING
MR. ASH SEBELAH RUMAH
RomanceAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...