SETELAH hampir dua jam di atas jalan raya, kami akhirnya tiba di Universiti Pendidikan Sultan Idris atau nama pendeknya, UPSI di Tanjung Malim, Perak. Seperti aku tebak, sebaik saja kami mendekati UPSI jalan semakin sesak dengan segala jenis kereta. Semasa di highway pun, sudah mulai sesak sebenarnya. Kalau tidak, tidaklah hampir dua jam kami di dalam kereta. Sebab itulah aku tidak suka menyinggah kalau ianya tidak penting.
Ash ini pula asyik mencari tandas sepanjang di atas jalan raya. Aku pun tidak tahu kenapa. Sepatutnya aku yang begitu, aku kan mudah mabuk. Pelik juga, kerana sepanjang di dalam kereta, tidak pula aku rasa mahu memuntahkan sarapan aku pagi tadi. Adakah mabuk kenderaan itu terjadi berdasarkan cara pemanduan si pemandu? Kalau benar, maksudnya aku perlu ubah cara pemanduan aku.
Setelah memasuki kawasan kampus, aku menunjukkan Ash tempat adik-adikku menginap sepanjang semester. Aku pun sudah hafal selok-belok di dalam kampus ini, sudah biasa sangat aku menjadi pemandu peribadi mereka setiap kali cuti semester. Ash pula menurut tanpa banyak kata.
Aku menunjukkan Ash ke arah tempat pelajar lelaki terlebih dahulu, kerana mudah nanti mahu menyusun barang-barang mereka di bonet. Lelaki memang kurang barang setiap kali pulang untuk cuti semester. Adik perempuanku pula akan bawa dua luggage selalunya, umpama mahu pindah pun ada. Ash berhenti betul-betul di hadapan kolej lelaki. Dari jauh, sudah aku dapat tangkap susuk adik bongsu aku. Betul tekaanku, dia hanya membawa satu beg galas dan bagasi kecil berwarna kelabu gelap. Sebaik saja Ash membuka kunci kereta, aku keluar untuk mendapatkan dia.
“Kak!” Hafiy Tajuddin a.k.a Udin, adik bongsu aku berlari dan terus memelukku dengan erat sebaik saja dia nampak aku berjalan ke arahnya. Lama dia peluk, biasalah anak bongsu. Manja dia lebih sikit.
“Udin sihat?” Soalku selepas pelukan terlerai.
“Sihat alhamdulillah. Kakak macam mana? Kerja okey?” balasnya.
“Okey je. Kalau tak, tak adalah kakak yang ambil kau.” Aku menepuk bahunya perlahan. Sudah semakin tinggi dia, bergaya pun pandai. Semasa baru masuk universiti dulu, pakai baju kemeja hitam sajalah. Setiap kali dia menghantar gambar, pasti baju yang sama. Sampai Mama dan Papa sanggup bawa dia pergi membeli berdozen baju baharu. Sekarang, hitam pun hanya pada seluar jeans. Dia memakai sweater dengan tulisan besar di dada berwarna plum, kasutnya pula sepasang but berwarna coklat gelap.
“Ehem.” Aku toleh ke empunya suara. Dia sedang berdiri di belakang aku. Aku ingatkan dia tunggu di dalam kereta, sanggup pula dia keluar. Dia jongket kedua keningnya.
“Siapa ni, kak? Kau pau siapa pulak suruh bawa kau ke sini?” Udin menolak bahuku.
“Mengarutlah kau. Ingat kakak ni berani sangat ke?” Balasku.
“Kenalkanlah kalau macam tu.” Gesa Udin. Aku pandang Ash yang sudah tersenyum manis. Nak aku juga yang perkenalkan mereka. Bukannya tiada mulut masing-masing.
“Ini Hafiy Tajuddin. Kami panggil dia Udin, adik bongsu saya. Udin, ini orang yang akan tumpangkan kita sampai rumah. Err… panggil dia Abang Ash.” Sikit lagi aku mahu tergigit lidah menyebut perkataan abang itu. Aku tidak mahu Udin memanggilnya hanya nama saja, nampak seperti tidak hormat pula. Aku pasti jarak umur dia dengan Udin pun lebih kurang kami adik-beradik.
Tiba-tiba kedengaran batuk yang kuat daripada Ash. Cepat-cepat aku toleh pandang dia. “Awak okey tak ni?” Aku bertanya. Merah muka dia. Tersedak air liur ke?
Ash menunjukkan tanda OK menggunakan jari-jemarinya. Kemudian, dia hulurkan tangan kanannya kepada Udin, mahu bersalaman.
“Terima kasih sudi tumpangkan kami, Abang Ash.” Udin bersuara.
YOU ARE READING
MR. ASH SEBELAH RUMAH
RomantizmAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...