BAB 15

496 20 0
                                    

AHAD tiba dan tipulah sekiranya aku cakap aku tidak berdebar-debar. Sudah berapa kali aku keluar masuk dapur untuk minum air. Keluarga sebelah Mama pun datang bagi memeriahkan lagi rumah ini. Keluarga sebelah Papa tidak dapat hadir, memandangkan semua pun sibuk bekerja. Maklumlah, mereka semua berpangkat tinggi pekerjaannya. Jarang sekali dapat aku melihat menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan adik-beradik mereka.

Kak Long tiba pagi semalam seorang diri. Seperti biasa, suaminya sibuk belaka. Sukar mendapatkan cuti walaupun pada hari Ahad. Sedangkan aku tahu itu alasan sahaja. Suaminya memang tidak gemar bergerak jauh dari rumah mereka di Negeri Sembilan itu. Entahlah, aku harapkan bakal tunang aku itu dijauhkan daripada sikap begitu.

Mika dan tunangnya pula tiba di rumah ini pagi tadi. Walaupun mereka sudah jarang sekali ziarah Mama dan Papa, tetapi aku bersyukur kerana keduanya masih ada rasa hormat untuk menerima undangan Mama dan Papa supaya hadir pada hari ini. Tunang Mika, Huda membantu Mama di dapur sebaik sahaja mereka tiba, sama juga Kak Long.

Aku teringin juga mahu membantu Mama, dan mak-mak saudara aku di dapur itu. Tetapi, disebabkan bahu aku yang masih tidak pulih ini terpaksalah aku duduk diam di dalam bilik sahaja. Itu pun, aku asyik turun ke dapur. Sudahnya, kena halau dengan Mak Ngah yang sedang membuat air.

“Ish, dia ni. Pergi naik atas sana! Nanti bahu tu makin teruk pula!” Katanya.

Aku turutkan sahaja, lagipun kata-kata orang tua ini satu doa. Silap langkah, jadi kenyataan pula apa yang keluar daripada mulut Mak Ngah itu. Siap-siap aku bawa sebotol air kosong ke atas bersama aku, takut tekak aku semakin dahaga menjelang masa rombongan tiba tengahari nanti.

Aku menyelak langsir di tingkap bilikku. Walaupun tidak dapat melihat hadapan rumah dengan jelas, tetapi aku dapat juga menangkap kereta-kereta yang diparkir berhampiran longkang yang menyebabkan bahu aku jadi begini.

“Itu kereta siapa pula?” Aku menggumam perlahan sambil melihat beberapa buah kereta yang tidak aku kenali.

Mungkin ia milik keluarga Ash. Aku perasan juga rumah sebelah dipenuhi kereta-kereta mewah semasa aku pergi menyiram pokok bunga Mama pagi-pagi tadi. Semasa aku mahu bertunang hari ini lah, rumah dia pun mahu penuh dengan saudara-mara.

Aku menutup semula langsir dan berhenti di cermin di sebelah pintu bilik. Aku meneliti baju kurung yang terletak elok di badanku. Warnanya putih bersih dan hanya terdapat beberapa corak kecil di pergelangan tangan. Mama sanggup geledah almari di dalam bilik Mama untuk memberi aku baju kurung ini. Kata Mama, dahulu semasa Kak Long bertunang, teringin juga Mama melihat Kak Long mengenakan baju kurung ini. Tetapi, Kak Long sudah memilih untuk memakai pakaian yang dibelinya. Memandangkan aku tidak terfikir tentang membeli baju baharu, Mama hadiahkan aku baju kurung miliknya ini. Walaupun sudah lama, masih cantik dan seiring dengan zaman moden ini. Corak jahitannya tidak terlalu banyak, sesuai dengan citarasa aku yang tidak begitu menggemari pakaian yang terlalu menonjol.

Aku melihat jam di telefon. Sudah hampir pukul satu tengahari, bermakna rombongan meminang akan tiba pada bila-bila masa sahaja. Terasa sejuk jari-jemari aku.

Aku mengambil tempat di birai katil dan melihat gelang tangan dan cincin pemberian Ash di atas meja kecil di sebelah aku. Terlupa pula mahu menyimpan kedua barang kemas itu ke dalam laci semula.

Aku ada juga bertanyakan Mama tentang makna di sebalik hadiah Ash kepadaku itu, tetapi hanya dijawab dengan senyuman penuh makna daripada Mama. Mahu bertanya lebih lanjut, Mama dulu-dulu sudah maklumkan yang dia sedang sibuk di dapur. Mungkin disebabkan itulah aku terlupa yang cincin dan gelang tangan itu masih di luar.

Tanpa berlengah, aku meletakkan semula kedua-duanya ke dalam laci.

Kedengaran salam diberi di tingkat bawah dan serta-merta aku berlari ke pintu. Aku menekap telinga kanan aku di pintu dalam percubaan mahu mendengar perbualan mereka di bawah.

MR. ASH SEBELAH RUMAHWhere stories live. Discover now