"AWAK, semalam saya ada terjumpa kawan awak yang Aidan tu. Dia kirim salam kat awak." Aku memberitahu Ash semasa aku sedang membetulkan tudung bawal berwarna krim di kepala. Sungguh, aku terlupa perihal itu semalam. Salah Ash lah kerana mengusik aku petang semalam. Bila teringat semula, membahang rasa pipi ini.
Jam hampir menunjukkan pukul lapan pagi. Ada masa setengah jam lagi sebelum aku bertolak ke tempat kerja. Begitu juga Ash.
"Siapa?" Ash yang sedang duduk di birai katil dengan telefon di tangan, menoleh ke arah aku. Mata kami bertentang melalui cermin di hadapanku.
Setelah memastikan tudung aku molek terletak, aku pusing menghadap Ash.
"Aidan. Betulkan, itu nama dia?" Balasku. Salah nama ke? Seingat aku, betullah nama dia Aidan. Ke aku yang salah dengar?
Ash meletakkan telefonnya di atas meja tidur dan berdiri. Kemudian, dia menghampiri aku. Wajahnya yang tiada secalit senyuman itu menggerunkan aku. Selama aku kenali dia, baru kali ini aku lihat wajah dia begitu pada waktu pagi. Tidak semena-mena kaki aku melangkah setapak ke belakang.
"Siapa?" Soalnya sekali lagi. Suaranya mendatar.
"A... Aidan." Jawabku sekali lagi. Aku menelan liur yang seperti tersekat di kerongkong.
"Jumpa dekat mana?"
"Err... dekat deretan kedai makan yang saya selalu beli makan tengahari tu." Ujarku takut-takut. Aku ada buat salah ke? Kenapa dia seperti mahu menerkam aku saja?
"Dia cakap apa lagi?"
Ash menapak mendekati aku sehingga belakang aku tersandar pada pintu bilik. Dia menunduk sedikit sehingga mata kami sama paras. Sepasang mata yang sering kelihatan gembira dan tenang itu berubah. Walaupun ia dilihat cerah, namun pandangannya gelap. Seperti ada rasa tidak puas hati di situ. Tapi kenapa? Aku hanya menyebut nama Aidan. Ada apa dengan lelaki itu?
"Khadija, jawab soalan saya. Dia cakap apa lagi?" Ash mengulangi soalannya tadi.
"T... tak ada apa-apa. Dia cuma tegur saya dan lepas tu dia pesan dekat saya untuk kirim salam kat awak."
Ash diam. Lama dia diam dan hanya menatap mataku. Aku juga begitu, tidak tahu bagaimana mahu memecahkan kesunyian yang sedang berlalu.
Aku menarik nafas dalam-dalam dan mengangkat kedua tangan. Pipi Ash, aku sentuh dengan teragak-agak. Selalunya, Ash lah yang akan memulakan apa-apa sentuhan di antara kami. Aku memang kekok sedikit.
"Awak okey ke?" Soalku.
Mata Ash berkelip sekali dan seperti tersedar, dia melepaskan nafas panjang. Senyuman yang aku tunggu daripadanya, akhirnya terukir manis.
"Ya, saya okey. Saya takutkan awak ke? Saya minta maaf." Bibir Ash mendarat di sebelah bibirku, seperti mahu memujuk.
Aku menggeleng beberapa kali. Daripada riaknya, aku kira ada masalah di antara Ash dan Aidan, dan dia tidak mahu mendengar nama lelaki itu.
"Saya nak minta awak janji dengan saya, boleh?" Pinta Ash.
"Janji?" Ini merupakan kali pertama Ash meminta aku buat begitu.
Ash mengangguk sekali. "Lepas ni, kalau nampak lelaki tu awak buat tak tahu je. Dia panggil pun, awak tak payah layan. Boleh tak?"
"Kenapa?" Tanpa sedar, mulutku bertanya.
Ash senyum nipis. "Sebab awak isteri saya. Boleh terima tak jawapan macam tu?"
Aku diam sejenak.
"Okey, faham. Saya janji." Ujarku. Kening Ash terangkat sedikit.
YOU ARE READING
MR. ASH SEBELAH RUMAH
RomanceAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...