BAB 22

478 17 0
                                    

BULAN puasa seperti ini, aku sangatlah jarang ke bazar Ramadhan kerana Mama sering masak pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Aku ini, memang boleh dikira dengan jari berapa kali aku memasak sepanjang aku hidup. Jarang sangat. Goreng telur dan masak mi segera itu tak usah diambil kiralah. Kanak-kanak sepuluh tahun pun boleh buat.

Namun, apabila sudah bergelar isteri ini aku perlulah merajinkan diri untuk memasak. Bahu aku pun sudah pulih sepenuhnya, jadi tiada lagi alasan untuk tidak memasak untuk Ash.

Aku melihat jam di dinding. Jam baru sahaja mencecah empat petang, sudah sibuk memikirkan tentang makanan. Apalah aku ini.

"Ija, akak nak ke tandas sekejap." Ujar Kak Linda yang merupakan juruwang, merangkap pembantu Kak Yasmin. Pengganti Kak Aisyah yang sudah seminggu berhenti.

"Baik, kak." Balasku seraya bergerak menghampiri kaunter kedai.

Begitulah apabila salah seorang daripada kami ingin ke tandas kerana ia terletak di hujung kedai yang panjang ke belakang ini. Apa-apapun, kaunter perlu dijaga untuk mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Kerja aku di butik Kak Yasmin ini hanyalah sebagai jurujual. Jika tiada pelanggan, memang aku akan duduk bersahaja. Berbeza sekali dengan kerja kilang dimana aku tidak dibenarkan duduk sepanjang bekerja. Jika mahu berehat pun, perlu senyap-senyap saja. Aku yakin dan tidak menyesal mengambil keputusan untuk berhenti kerja di situ.

Butik Kak Yasmin ini asalnya hanya menjual tudung sahaja, tetapi baru-baru ini Kak Yasmin mahu meluaskan lagi perniagaannya dengan menjual pakaian. Lebih tepat lagi, baju pengantin. Mengikut kata Kak Yasmin, dia pernah menghadiri kelas menjahit baju pengantin perempuan semasa dia sedang belajar dalam bidang kedoktoran dulu. Sudah lama dia tidak menggunakan pengetahuan dia yang satu itu dan alang-alang sudah ada butik ini, Kak Yasmin ingin mengubah suai ia menjadi butik pengantin. Walaupun begitu, hanya butik di sini sahaja yang akan diubah suai. Cawangan yang lain akan kekal sebagai butik tudung.

Kak Yasmin pula hanya akan berada di butik ini pada masa yang lapang sahaja, maka Kak Linda lah yang akan menguruskan butik ini hampir setiap masa. Semua ini diberitahu oleh Kak Yasmin semasa dia sekeluarga melawat kami beberapa hari yang lepas sempena Ash dan aku yang baru sahaja berpindah. Sempat juga Kak Yasmin memesan kepada aku untuk tidak membeli pakaian untuk bersanding nanti di tempat lain. Semuanya akan disponsor oleh Kak Yasmin. Untung aku mendapat kakak ipar seperti Kak Yasmin. Sudahlah peramah, baik, pemurah pula tu.

Loceng yang disangkut diatas pintu berbunyi dan terus aku mengangkat kepala melihat gerangan yang mendatangi butik ini. Seorang lelaki melangkah masuk ke dalam kedai dengan keadaan teragak-agak. Dari rupa parasnya, dapat aku agak lebih kurang aku juga umurnya. Mungkin lebih muda, sebaya si kembar.

"Selamat datang." Ucapku dengan senyuman.

Lelaki itu membalas dengan senyuman dan menghampiri aku. Itu bermakna dia inginkan pertolongan aku sebagai pekerja di sini.

"Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Soalku.

"Err... tunang saya kata dekat sini boleh tempah baju pengantin. Betul ke?" Balasnya, masih lagi teragak-agak. Malu agaknya.

"Betul sangat tu. Awak nak buat tempahan terus atau nak tengok design dulu?" Aku mengeluarkan buku dari dalam laci berhampiran yang mengandungi rekaan-rekaan yang disediakan oleh Kak Yasmin. Menurut Kak Yasmin, setakat ini hanya ada dua atau tiga sahaja tempahan pakaian pengantin. Maklumlah, baru lagi.

"Oh, boleh tengok dulu? Kalau macam tu, saya nak tengok dululah." Jawab lelaki itu.

"Awak boleh duduk sini dulu. Saya tak pandai sangat bab-bab ni, jadi kena tunggu akak yang uruskan perkara ni selesai dengan hal dia dekat belakang. Sekejap lagi dia keluar." Aku berjalan menuju ke tempat menunggu tidak jauh daripada kami dan meletakkan buku yang aku ambil sebentar tadi di atas meja kopi.

MR. ASH SEBELAH RUMAHWhere stories live. Discover now