BAB 13

406 11 0
                                    

DUA minggu sudah berlalu dan kelibat Ash masih belum aku nampak di rumah sebelah. Sibuk sangat agaknya sehingga pekerjaannya di sana dilanjutkan sehingga dua minggu. Ingin bertanya, nanti dia kata aku rindukan dia pula. Untuk seminggu yang pertama, selalu jugalah dia bertanyakan khabar aku melalui WhatsApp. Tetapi masuk sahaja minggu ini, terus senyap tiada berita. Mungkin dia mahu menumpukan sepenuh perhatiannya pada kerja yang perlu dilakukan di sana. Aku pun tidaklah mahu tahu sangat, jadi aku pun sama-sama senyap.

Kerja di kilang pun sudah mulai kurang kerana berapa bulan sahaja lagi sudah masuk pertengahan tahun. Aku mengambil kerja lebih masa pada hari ini untuk menggantikan tiga hari yang aku bercuti tanpa gaji tempoh hari. Memandangkan hari ini hari Sabtu, kerja lebih masa hanya dibuat sehingga pukul dua belas tengahari sahaja. Sebaik sahaja aku menjamah nasi goreng sebagai makan tengahari di kafeteria, tanpa berlengah lagi aku terus menuju pulang ke rumah.

Apabila aku membelok masuk ke lorong rumah, mata aku terus menangkap kereta Lexus LS milik Ash yang diparkir di hadapan rumahnya. Walaupun keretanya aku nampak dahulu, kelibat Ash yang hanya berpakaian tank top dan seluar trek di tepi keretanya lebih menarik perhatian aku. Tambahan pula, dia sedang berbual dengan seorang gadis yang mengenakan pakaian paling menjolok mata di hadapannya. Wajahnya pula persis mereka di negara barat. Kacukan dengan orang sana ke? Siapa agaknya dia? Tidak pernah pula aku nampak gadis itu semenjak Ash pulang ke sini.

Semakin aku dekat, semakin aku dapat mendengar suara mereka. Lebih daripada berbual, mereka seperti sedang bergaduh mulut. Suara gadis itu sangat tinggi, berserta dengan jarinya yang ditunjukkan kepada Ash. Lelaki itu pula, hanya berdiri bersandarkan keretanya. Senyap sahaja.

Ash seperti tidak mempedulikan gadis itu apabila dia melambaikan tangan kanannya kepada aku sebaik sahaja mata kami bertembung. Semakin kuat pula suara gadis itu memarahinya. Apa agaknya yang dia marah-marah sangat itu? Adakah dia seseorang yang istimewa buat Ash? Pada pandangan aku sebagai orang luar, mereka persis pasangan kekasih yang sedang bergaduh.

Semasa aku melepasi rumah Ash, wajah dia berubah. Kenapa agaknya? Kemudian, tangan dia naik seperti mahu menahan aku daripada meneruskan perjalanan terus ke rumah aku.

“Eh, Khadija!”

Seiring dengan suara lantang Ash memanggil aku, terasa duniaku berpusing dan sedar-sedar sahaja aku sudah terbaring di dalam longkang besar yang memisahkan jalan dan hutan di sebelah rumah aku. Motor yang sebelum ini aku tunggang, juga terbaring berhampiran aku. Aku ucap syukur dalam hati kerana motor itu tidak jatuh betul-betul di atas aku, dan juga dengan keadaan longkang ini yang kering. Walaupun motor aku sudah tentu-tentu perlu dibawa ke bengkel selepas ini, sekurang-kurangnya tidaklah bertambah masalah sekiranya longkang ini penuh dengan air kotor.

Aku terdengar langkah kaki menghampiri dan tidak lama kemudian, enjin motor aku dimatikan.

“Ya Allah, Khadija. Macam mana boleh terlajak sampai macam ni?” Suara Ash menerpa telingaku. Dia bergerak ke arah aku dan menghulurkan tangannya.

Aku cuba untuk duduk dari baring, tetapi terasa berat sekali badanku. Walaubagaimanapun, aku gagahkan juga dan sebaik sahaja aku duduk, berpinar rasa kepalaku.

“Boleh tak?” Ash sudah duduk di tepi longkang, tangannya masih dihulurkan.

Aku mengangguk perlahan. Malu pun dapat, sakit pun dapat. Khadija Adra, kenapa lah kau mengelamun teruk sangat? Tidak pernah selama lima tahun hidup di sini aku terlajak sehingga ke longkang besar ini. Terleka sangat memandang Ash dan gadis itu, terus masuk longkang.

Aku cuba mengangkat tangan kanan aku untuk menyambut huluran Ash, tetapi terasa sakit yang membuatkan aku mengaduh kesakitan.

“Kenapa? Ada rasa sakit kat mana-mana ke? Kepala awak? Tangan, kaki? Boleh bangun ke tak ni?” Bertubi-tubi Ash menyoal.

MR. ASH SEBELAH RUMAHWhere stories live. Discover now