HARI ini ialah hari Jumaat, bermakna esok hari Sabtu, yang juga bermakna aku perlu menjemput dua adikku yang sedang belajar di UPSI. Cuti semester sudah tiba dan seperti biasa, rumah akan kembali riuh dengan suara dua orang yang sering bertikam lidah itu. Mama dan Papa pun tidaklah bosan asyik lihat muka aku saja di rumah itu. Maklumlah, aku seorang saja yang masih tinggal bersama kedua orang tuaku.
Kakak aku sudah berumah tangga dan berkerjaya. Dia sekarang tinggal di Negeri Sembilan dengan suaminya kerana dia sedang mengajar di sana. Kedua-duanya bekerja sebagai pensyarah di universiti yang sama. Adik lelaki bawah aku pula tinggal tidak jauh daripada sini, tetapi biasalah. Lelaki memang jarang mahu tinggal sebumbung dengan ibu bapa mereka. Tidak semua, sebahagian sahaja. Dua orang lagi adikku pula diberi rezeki belajar di tempat yang sama dalam bidang yang sama, jadi tinggallah aku di rumah bersama Mama dan Papa.
Sekali-sekala itu rasa sepi jugalah di rumah itu. Aku pula jenis yang kurang bercakap, bertambah sunyilah. Nasib baiklah aku diberikan Mama dan Papa yang sangat peramah dan teletah berbicara, jadi ada saja nak diceritakan setiap malam selepas aku dan Papa pulang dari kerja.
Aku nampak kereta Lexus LS Ash parkir di hadapan rumah dia setelah aku tiba di rumah. Sudah dua hari aku tidak nampak kereta dia, apatah lagi orangnya. Aku berkesimpulan yang dia sudah semakin sibuk kerana kadang-kadang itu aku nampak dia berpakaian formal keluar daripada rumah. Dan selalu juga nampak dia tergesa-gesa. Terasa kosong jugalah pagi dan petang aku tanpa suara dia. Seperti pagi tadi semasa aku sedang memakai kasut kerja di luar rumah, kereta dia pun sudah tiada masa itu. Aku bukanlah rindu, cuma bosan bila tiada yang menegur. Ya, bukan rindu.
Aku tongkat motor setelah elok aku parkir di halaman rumah dan aku berjalan ke arah pagar untuk menutupnya. Kereta Papa pun sudah molek diparkir di dalam halaman rumah, jadi terus saja aku mengunci pagar rumah. Rumah kami ini rumah yang paling hujung di lorong ini, sebelah hutan lagi itu, jadi risau jugalah kalau-kalau ada haiwan yang muncul daripada dalam semak-samun itu.
"Khadija, lama tak jumpa awak."
Aku melompat sedikit mendengar suara itu. Pantas aku toleh ke rumah sebelah. Dada aku urut perlahan. Hampir saja carutan keluar daripada bibirku. Buat terkejut saja dia ni. Salam tidak ada, tiba-tiba saja bersuara. Dia sedang bersandar di dinding pemisah rumah keluarga kami berdua. Lengan bajunya disinsing sehingga ke siku dan rambut dia pula serupa tidak bersikat. Terserlah wajah dia yang penat itu. Aku menghampiri dia.
"Sibuk ke beberapa hari ni?" Aku soal sebaik saja aku berhenti di hadapan dia. Memang aku tidak suka jaga tepi kain orang, tapi kadang-kadang itu perasaan ingin tahu itu membuak-buak juga.
Dia senyum, tetapi tiada seri seperti selalu. "Bolehlah juga. Awak pula, lambat betul balik? Dah lepas isyak ni."
Memang betul aku lambat sikit balik hari ini. Macam biasalah, Kak Jannah punya pasal. Terpaksalah ikutkan.
"Overtime. Saya kerja kilang je, mana boleh balik sesuka hati." Aku mengeluh. Teringin juga aku bekerja pejabat. Sekurang-kurangnya aku boleh balik sebelum malam tiba. Tapi, apakan daya. Aku tidaklah sepandai adik-beradik aku yang lain.
"Kerja dengan Kak Min je lah macam tu. Bukan dia ada offer awak ke sebelum ni?"
Kak Min? Maksud dia Kak Yasmin ke? Memang betul dia ada menawarkan kerja di butik dia yang tidak jauh daripada taman perumahan kami ini, tetapi sudah bertahun berlalu sejak dia menyuarakan tawaran itu kepadaku. Aku menolak pada masa itu kerana aku baru saja lagi bekerja di kilang yang aku bekerja sekarang.
Dengar kata daripada Mama, butik Kak Yasmin itu hanya kerja sampingan dia saja. Kerja sampingan pun, sudah tiga cawangan dibuka di seluruh Selangor ini hanya sepanjang tiga tahun dibuka. Tidak lama lagi, memang berterabur lah butik tudung dia itu di Malaysia.
YOU ARE READING
MR. ASH SEBELAH RUMAH
RomanceAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...