BAB 7

438 16 0
                                    

SEBAIK saja tiba di kilang, aku terus menuju ke loker pekerja, Hari ini bakal menjadi hari paling sibuk kerana bos besar mahu turun padang. Jadi, semua pun kenalah buat kerja betul-betul. Tidak boleh masuk lambat atau pun berbual lebih-lebih. Dengar lagu pun tidak dibenarkan. Memang terdengar rungutan para pekerja tidak kira bangsa apabila Kak Jannah memberitahu kami info itu semasa kami mahu pulang ke rumah semalam. Kami bukanlah suka mencuri tulang, jauh sekali daripada sifat tersebut. Tidak berkat pula kalau makan gaji buta nanti.

Apa yang paling aku tidak suka setiap kali orang-orang yang bergaji besar itu melawat kilang ini adalah soalan yang sering mereka lemparkan. Soalan yang paling wajib mereka soal adalah, ‘Apa yang awak rasa boleh naikkan lagi perniagaan sarung tangan kami ini?’. Mereka fikir aku ini kisah sangat gamaknya tentang kilang ini untuk memberi cadangan penambahbaikan kepada kilang mereka. Sudahlah tidak memberi peluang langsung untuk kami duduk semasa melakukan kerja, soalan pula seperti mahu mencari gaduh.

“Fikirkan apa pula kau ni? Tenung loker tu macam nak makan pula.” Suara Dhiya menyentak lamunan aku. Aku toleh ke kiri dan Dhiya sedang memakai topi kerja di atas kepalanya. Pergelangan tangan kanannya mencuri perhatian aku. Terletak cantik jam berjenama Cartier berwarna rose gold. Setahu aku, Dhiya memang jarang memakai jam tangan. Katanya, rimas bila buat kerja lama-lama. Peluh berkumpul di situ.

“Sejak bila kau pakai jam, Dhiya?” Aku buat tidak endah soalan Dhiya yang tadi.

Dia pandang aku dan senyuman lebar terukir di wajahnya.

“Cantik. kan? Pakwe aku hadiahkan malam tadi. Aku terlupa nak bagitahu dia yang aku tak pakai jam, tapi bila dah dapat ni pakai jelah. Membazir je kalau aku simpan dalam laci rumah aku.” Balasnya, suara pun sudah tergedik-gedik.

“Hadiah? Birthday kau ke semalam? Wah, happy birthday.” Ujarku mendatar.

Tangan Dhiya hinggap di bahuku. “Kau ni, main-mainlah. Macamlah tak tahu birthday aku bulan satu hari tu. Ini dia bagi sebab hari jadi dia.”

“Lain macam pakwe kau ni, Dhiya. Birthday dia, tapi dia yang bagi hadiah. Sepatutnya kau yang bagi dia hadiah, apa punya makwe lah kau ni.”

“Dia memang suka belikan aku macam-macam. Ini pun, dia yang tak bagi aku beli hadiah untuk dia. Kau apa tau? Dah lah single, ada hati nak nasihatkan orang pula.”

“Yalah, sebab aku single lah aku nasihatkan kau. Tak ada lah nanti kau jadi macam aku semula, single.” Balas aku, sengaja mahu membuat dia gabra.

Sekali lagi, bahu aku menjadi mangsa tamparan dahsyat dia itu. “Aku ni dah tua tau, Dhiya. Kau pula asyik tampar bahu aku. Silap haribulan, tercabut terus tangan aku ni.”

“Tua lah sangat!” Dhiya menjeling aku. Aku hanya menggeleng perlahan. Biasalah pagi-pagi begini, perlulah kami bergaduh antara satu sama lain. Barulah tidak mudah terasa antara kami.

Kami berdua menuju ke line kami setelah memastikan loker kami masing-masing sudah berkunci. Sesetengah pekerja di kilang ini bukan boleh percaya. Ada saja barang hilang jika seseorang itu terlupa mengunci loker mereka. Kadangkala itu, bekal pun boleh hilang. Pelik-pelik saja perangai pekerja dalam kilang ini.

Seperti biasa, aku meletakkan botol air aku di atas meja berhampiran tempat aku membuat kerja. Kemudian, aku bergerak ke arah conveyor belt untuk line B dan mengambil satu plastik yang penuh dengan kotak bersaiz kecil untuk meletakkan sarung tangan daripada almari kecil yang terletak berhampiran. Aku mengoyakkan plastik tersebut dan keluarkan beberapa cardboard yang masih belum ada rupa kotak dan meletakkannya di atas meja kecil yang terletak di sebelah aku. Selebihnya, aku sandarkan pada meja. Senang dicapai tangan aku yang tidak berapa nak panjang ini.

MR. ASH SEBELAH RUMAHWhere stories live. Discover now