SUDAH hampir seminggu aku terperap di dalam rumah. Semakin lama, semakin buntu aku dibuatnya. Mahu menolong Mama di dapur, dihalaunya ke depan. Mahu lipat kain baju yang berlambak di dalam bakul pun dilarang oleh Mama. Kerja aku semenjak minggu lepas hanya tidur, makan dan menyiram pokok bunga Mama. Itu sajalah, lebih-lebih nanti Mama marah aku. Katanya, boleh melambatkan proses pemulihan bahu aku. Aku turutkan saja kerana apa yang dikatakan oleh Mama itu betul belaka. Doktor pun memesan perkara yang sama kepada aku.
Ada suatu perkara yang kedua orang tuaku beritahu dua hari lepas yang masih melekat di dalam kepala aku. Aku tidak mahu duduk bersahaja di rumah ini pun kerana tidak mahu terlampau memikirkan hal itu. Mama dan Papa memberitahu aku bahawa orang yang mahu meminang aku itu akan datang bersama rombongan meminang pada dua hari yang akan datang iaitu pada hari Ahad nanti.
Tiba-tiba saja, tetapi tidaklah aku mempersoalkannya kepada kedua orang tuaku kerana mereka pun tidak sangka keluarga lelaki itu akan menganjakkan tarikh untuk meminang aku. Mama ada juga pesan kepada aku untuk tidak membuat perangai pada hari Ahad nanti. Aku mengiakan sahaja kata Mama. Macam tidak kenal pula perangai anak nombor dua dia ini.
Kali terakhir aku buat perangai ialah semasa aku di sekolah menengah. Merajuk kerana Mama dan Papa tidak mahu membelikan aku basikal. Disuruhnya aku mengayuh basikal kecil daripada aku berumur lapan tahun itu, siapa saja yang tidak buat perangai? Bila difikirkan semula, kelakar pun ada. Sebabkan basikal, aku bermasam muka dengan Mama dan Papa selama hampir seminggu. Apabila tahu yang aku telah berdosa, cepat-cepat aku meminta maaf kepada mereka. Sampai berjuraian lah air mataku. Ketika itu aku baru sahaja memasuki tingkatan tiga. Kurang cerdik.
Apa-apa pun, aku yakin yang aku boleh terima dengan hati yang terbuka. Aku pun tidaklah cantik sangat mahu memilih bagai. Asalkan lelaki itu seorang yang baik, sudah cukup bagi aku.
Aku menutup televisyen yang aku biarkan terpasang daripada tadi dan menuju ke dapur. Mama sedang memasak lauk untuk makan tengah hari nanti. Mama sedang membasuh kuali di dalam sinki. Sudah siap masak rupanya. Baru saja aku ingat mahu menolong, walaupun aku tahu yang Mama akan menghalau aku ke ruang tamu. Aku menghampiri meja makan dan mengangkat tudung saji. Terdapat sayur kangkung goreng belacan, ikan bilis goreng dan ikan bawal masak merah. Sangatlah mudah lauk hari ini.
“Bertuah budak ni, cuba lah bagi salam kalau masuk dapur ni. Buat terkejut orang je.” Mama bersuara sambil menjeling aku.
Aku hanya tersengih. Ingatkan perasan yang aku ada di dapur. Yalah, bunyi tapak kaki aku yang bertemu dengan jubin dapur ini tidaklah senyap seperti ninja.
“Mama nak makan tak?” Soalku semasa aku mengambil pinggan di rak sebelah peti ais.
Mama menggeleng. “Lepas Zohor kejap lagi lah Mama makan. Mama nak rehat dalam bilik sekejap.”
Aku mengangguk faham. “Okey, Ma. Ija makan dululah.” Ujarku.
“Makan macam mana tu?” Soalan Mama membuatkan aku mengangkat tangan kananku dan secara tidak langsung aku mengerang kesakitan. Aduh, terlupa pula yang tangan kanan aku tidak boleh dipakai beberapa minggu ini.
“Ija jadi orang putih je lah, Ma.” Aku menunjuk ke bekas berisi sudu dan garfu di sebelah sinki. Terpaksalah makan menggunakan tangan kiri.
“Yalah. Ingatkan nak bersuap tadi.” Balas Mama.
“Mama nak suapkan Ija ke?” Aku mengangkat kening.
“Ish, tak kuasa lah. Mama nak pergi tidur ni, jangan nak kacau Mama pulak ya.” Pesan Mama seraya menuju ke biliknya.
Aku ketawa perlahan. Rutin harian Mama yang aku selalu perasan adalah, apabila selesai memasak Mama akan tidur. Yalah, Mama bangun pagi-pagi buta saja terus pergi menyiapkan sarapan. Selepas itu, basuh kain baju kotor dan menyiapkan keperluan kerja Papa. Kerja Mama di rumah tidak berhenti sehingga Mama siap buat semuanya. Sebab itulah, Mama akan berehat di dalam biliknya apabila selesai membuat kerja rumah.

ANDA SEDANG MEMBACA
MR. ASH SEBELAH RUMAH
RomanceAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...