BAB 6

458 15 0
                                    

“HAH, nak pergi mana tu? Dah nak maghrib ni, tak elok tau anak dara keluar senja-senja.” Suara garau Ash menyapa aku yang sedang mengalihkan motor untuk memberi lebih ruang kepada kereta Innova Papa yang belum lagi pulang. Tengah sakan shopping bersama Maryam dan Udin daripada selepas Zohor tadi. Mama pun ikut sekali, jadi memang aku seorang diri sekarang di rumah. Setahu aku, mereka sekarang di KL, ikutkan kehendak Maryam yang sudah lama tidak menjejakkan kaki di bandar sesak itu. Sudah seminggu mereka pulang untuk cuti semester, dan baru ini mereka dapat keluar bersama Mama dan Papa. Jadi, aku biarkan sajalah.

Aku tidak hiraukan Ash yang masih tercegat di halaman rumahnya. Tak ada kerja aku mahu keluar petang-petang begini. Mahu mengalihkan motor pun, dia boleh dengar. Sanggup dia keluar untuk menegur aku.

“Khadija…” suaranya meleret. Terpaksalah juga aku pandang dia. Nanti dia buat suara manja dia, lagi parah telinga aku.

“Suka hati orang lah nak pergi mana pun. Sibuk je dia ni.” Aku balas sebelum kembali menuntun motosikal aku rapat ke dinding. Aku parkir betul-betul di halaman rumah kerana aku baru saja selesai basuh motor itu tengah hari tadi. Memandangkan mereka masih belum pulang, eloklah aku alihkan motor aku ini sekarang. Kalau mereka balik lambat nanti, tak adalah aku perlu keluar dan alihkannya malam-malam.

“Kenalah sibuk. Awak tu bakal isteri saya, tahu tak?” Mula lagi dia.

Aku menjeling dia tajam. Tak habis-habis merepeklah anak Pakcik Yusuf seorang ini. Dua hari selepas kami pergi menjemput Maryam dan Udin, Ash terperap di dalam rumah kerana dia dilanda demam. Tidaklah aku dengar suara dia sepanjang dua hari itu. Kata makcik Asma', mereka fikirkan migraine dia melarat sehingga demam. Bila dibawa ke hospital, rupa-rupanya dia memang demam pada hari Sabtu itu. Dia saja yang tidak sedar.

Bila difikirkan semula, bersyukur pada Allah tiada apa-apa terjadi sepanjang masa Ash memandu ke Perak pada hari itu, walaupun dia demam.

"Yang awak tu mengacau anak dara orang senja-senja begini boleh pula ya?" Soalku. Tahu kata orang je. Diri sendiri tak pernah nak tengok sebelum bersuara.

Terus dia tersengih, menampakkan sebaris gigi putihnya itu. "Saya bukan mengacau awak. Ada orang amanahkan saya untuk tengokkan awak, jadi saya kena lah patuh. Macam mana nak jadi menantu mithali kalau saya abaikan pesan Mama dan Papa?"

Mama dan Papa. Sedap saja mulut dia memanggil ibu bapa aku begitu.

"Tak habis-habis dengan loyar buruk awak tu. Nanti kalau jadi betul-betul, jangan salahkan saya pula. Mulut tu tak reti nak jaga." Balas aku.

Tidak puas hati sebenarnya dengan sikap Mama dan Papa. Tahulah orang itu gagah dan perkasa, tetapi mereka bukannya tidak boleh pesan kepada pakcik Yusuf dan makcik Asma' seperti yang mereka biasa lakukan. Ada saja cara nak buat aku rasa begini semenjak Ash pulang ke Malaysia. Aku pun sudah mula susah hati apabila hampir setiap hari aku disambut dengan senyuman dan sapaan dia. Takut aku dambakan lebih daripada itu saja. Dua hari yang dia sibuk seminggu yang lepas pun aku sudah mula rasa kosong, apa agaknya yang akan terjadi pada aku apabila dia sudah jumpa buah hati dia kelak?

"Kenapa pula saya nak salahkan awak? Lagi saya bersyukur nanti adalah. Awak pun cantik, hitam manis je muka. Siapa yang tak terpikat?"

Kain buruk yang aku sangkut di bakul motor, aku capai dan campak, terus tepat ke muka dia. Terkaku dia di situ. Aku pun terkejut sama. Aku sasar pada badannya, tidak tahulah kenapa tangan aku ingkar arahan. Aku perasan kedua tangannya sudah bersedia mahu sambut kain buruk yang masih lembap itu jatuh ke tangannya.

Mata dia berkedip beberapa kali memandang aku setelah kain buruk yang aku lempar sebentar tadi teralih daripada muka dia. Jelas riak wajahnya yang terkejut di situ. Aku pula hanya berdiri tegak, tidak tahu mahu cakap apa. Nanti cakap padan muka, macam kejam sangat. Kain buruk itu aku buat lapkan tayar semasa aku membasuh motor aku tengah hari tadi. Memang aku sudah cuci bersama sabun, tetapi boleh nampak dengan jelas kekotoran yang masih melekat di kain tersebut.

MR. ASH SEBELAH RUMAHWhere stories live. Discover now