BAB 12

485 17 0
                                    

SEMASA aku mahu ke tempat kerja pagi tadi, mereka telah pun bertolak ke Perak. Kata mereka, takut berlaku kesesakan lalu lintas jika bertolak tengah hari nanti memandangkan hari ini hari Jumaat. Papa mahu solat Jumaat nanti pun senang, tidak perlu susah-susah mencari masjid di atas highway itu. Mama dan Papa juga sempat memesan pelbagai perkara kepadaku sebelum mereka berangkat ke sana. Lagak mereka itu seperti aku tidak pernah ditinggalkan seorang diri pula. Macamlah tidak biasa.

Aku bekerja seperti biasa. Tetapi memandangkan hari ini hari Jumaat, kilang memang akan terasa sunyi. Desas-desus tentang Kak Jannah dan Razi pun sudah semakin reda. Rupanya berita tentang Kak Jannah yang Kak Yati terdengar itu tidak akan terjadi kerana Kak Jannah sudah merayu kepada pihak sumber manusia untuk tidak menurunkan pangkatnya. Walaupun ramai yang tidak senang hati dengan keputusan sumber manusia, bagi aku, ini adalah peluang untuk Kak Jannah mengubah sikapnya. Jangan asyik fikirkan diri sendiri sahaja, dia ada tanggungjawab di kilang itu. Jangan kerana tidak puas hati pada seorang, semua pun dia sapu rata.

Apa-apapun, aku bersyukur tiada perkara yang lagi serius terjadi kepada mereka berdua. Walaupun mereka masih tidak bertegur sapa, tiada lagi kata-kata yang dilemparkan oleh mereka setiap kali mereka terserempak. Berdiam diri itu lebih baik daripada bersuara dalam sesetengah keadaan.

Seperti biasa, tepat saja pukul lapan setengah malam aku tiba di rumah. Namun, sebuah kereta yang diparkir di hadapan rumah Mama dan Papa mengeluarkan keluhan daripada mulutku. Adakah Mama dan Papa menyuruhnya datang? Manalah tahu mereka risaukan aku sehingga menyuruh dia menemani aku satu malam ini. Bukan tidak suka, dia kakak aku juga. Cuma mulutnya itu yang buatkan aku tidak gemar apabila dia datang ke sini.

Aku memarkir motosikal di dalam halaman rumah selepas membuka mangga pada pagar rumah. Kak Long keluar daripada keretanya seorang diri. Suaminya seperti biasa, tidak mengikut Kak Long. Bagus juga, tidaklah aku perlu memakai tudung di dalam rumah.

Selepas membuka kasut kerja dan menyusunnya elok, aku membuka grill dan pintu rumah. Terdengar pagar besar di hadapan rumah dikunci, diikuti dengan bunyi yang menandakan kereta X50 nya dikunci.

"Assalamualaikum." Aku memberi salam seraya masuk ke dalam rumah dengan kaki kanan.

"Ija, aku ada belikan nasi goreng paprik ni. Makan." Kak Long menunjukkan plastik merah berisi bekas makanan di tangan kanannya dan dia meletakkannya di atas meja kecil di ruang tamu.

"Okey. Terima kasih." Aku membalas perlahan. Kemudian, Kak Long terus menuju ke bilik kosong di sebelah bilik Mama dan Papa. Bilik itu memang dibiarkan kosong, hanya ada Toto dan beberapa bantal di dalam untuk adik-beradik aku yang sudah pindah keluar daripada rumah ini, sekiranya mereka mahu melawat.

Hubungan aku dengan Kak Long memang begitu. Suam-suam kuku. Kami sangat rapat semasa kami berdua masih di bangku sekolah. Apabila kami meningkat dewasa, Kak Long semakin sibuk dengan pelajarannya dan pada masa yang sama aku pula sibuk mencari pekerjaan. Kami pernah bergaduh tentang pelajaran, dan sejak itu kami memang sangat jarang berbual. Hanya menegur sepatah dua kata sahaja. Sebenarnya aku sangat terasa dengan kata-kata dia yang menuduh aku tidak dapat mencapai keputusan cemerlang dalam SPM kerana aku malas. Hanya Mama dan Papa yang tahu betapa kerap aku mengulangkaji pelajaran sepanjang tahun itu. Tetapi sudah ditakdirkan yang rezeki aku bukan ke arah itu, aku redha.

Beberapa bulan selepas kejadian itu, Kak Long pindah keluar dan jarang sekali pulang untuk melawat Mama dan Papa. Hati aku kuat mengatakan yang salah satu sebab ialah aku yang masih duduk di rumah ini. Entahlah, aku bukan tidak mahu berbaik. Ego itu satu perkara yang sukar, jadi aku ikut pada masa sahajalah. Sekiranya tiba masa dia mahu berbaik seperti dahulu, aku tidak akan menolak. Bergaduh besar mana pun, dia masih kakak aku. Memutuskan silaturrahim itu berdosa dan aku tidak mahu menanggung dosa sebesar itu.

MR. ASH SEBELAH RUMAHWhere stories live. Discover now