Dua minggu lepas, kami berkonvoi, hujan sudah pun mengiringi seperti waktu ini. Sewaktu perjalanan, sudah banyak ceritanya, belum lagi ceritanya di tempat yang dituju.
Menuju ke destinasi yang sama, walau berhenti di tempat yang tak sama sepanjang perjalanan, masing-masing menyampaikan pesan dalam media sosial bertanya sudah sampai di mana. Eratkan ukhuwah yang telah terjalin membawa kami sepertinya peribahasa Melayu ke bukit sama mendaki, ke bukit sama menurun. Berhenti untuk makan, berhenti untuk ke jamban dan berhenti silap jalan itu antara yang terjadi. Sampai, masih ada masa untuk ambil angin, masing-masing mencari tempat yang sesuai, makan-makan dan berbual. Tak sama suasananya di tempat kerja, ceritanya pun berbeza. Program bermula, lagilah lain ragamnya. Bagaikan baru berkenal, bertanya untuk mengenal, mahu kuatkan ukhuwah. Aktiviti sederap selangkah menguji kekuatan kerjasama, menguji kecerdasan akal.
Pulang pun diiringi hujan dan hujan sememangnya rahmat yang sangat besar untuk kita. Hujan sentiasa bercerita dan mempunyai cerita untuk kita. Walau dalam hujan, rintik-rintik kemesraan merimbunkan pohon ukhuwah.

ANDA SEDANG MEMBACA
Ayah Meneruskan Cerita
Historia CortaAyah masih meneruskan cerita melalui apa-apa yang dilihat, dibaca, didengari, diteliti, dirasa, dibau dan difikirkan sesuai untuk dikongsi. Alhamdulillah, sebelum ini 4 judul cerita pendek semuka dengan 200 cerita telah dikongsi, iaitu 'Cerita Ayah'...