Masihkah menggelegak atau mendidih semangat kita di saat ini untuk melakukan sesuatu? Esok sudah tahun baharu Masihi.
Setahun berlalu bermaksud telah banyak yang kita lakukan, telah banyak yang kita usahakan. Banyak yang boleh kita imbas kembali, tak kiralah saat manis atau saat pahit. Ada yang berjalan seperti yang dirancang, ada berjalan walau tak dirancang, ada dirancang lain jadinya dan macam-macam lagi. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa jika tidak dipecah ruyung di mana boleh mendapat sagu. Maksudnya dalam Kamus Edisi Keempat ialah tidak akan tercapai cita-cita dengan tidak berusaha kuat. Ruyung di sini bermaksud kulit atau kayu yang keras daripada batang rumbia. Peribahasa ini menunjukkan bahawa jika mahu sesuatu, kita perlulah berusaha dengan sedaya upaya.
Setelah setahun kita berusaha, mestilah ada sesuatu yang boleh kita bawa sebagai pedoman untuk mengharungi hari esok serta hari berikutnya selagi ada kudrat dan hayat. Sesuatu yang bererti pasti menanti kita selagi mana ada usaha dengan semangat yang menggelegak atau mendidih berterusan dalam diri kita, Insya-Allah. Selamat Tahun Baharu 2024.

ANDA SEDANG MEMBACA
Ayah Meneruskan Cerita
Short StoryAyah masih meneruskan cerita melalui apa-apa yang dilihat, dibaca, didengari, diteliti, dirasa, dibau dan difikirkan sesuai untuk dikongsi. Alhamdulillah, sebelum ini 4 judul cerita pendek semuka dengan 200 cerita telah dikongsi, iaitu 'Cerita Ayah'...