Ucapan 'terima kasih' perlu ringan di mulut kerana itu salah satu tanda syukur kita pada setiap waktu.
Sedar atau tak sedar, setiap hari kita terlalu banyak dibantu dalam melalui kehidupan seharian yang terlalu banyak ceritanya. Kerja-kerja yang dijalankan oleh setiap watak dalam kehidupan menyebabkan kita amat beruntung tanpa melakukan semua perkara. Sebutir nasi yang kita suap ke mulut dikerjakan dengan susah payah oleh pak tani ke bendang berbulan-bulan lamanya. Dengan izin Allah SWT, sampai ke rumah kita, masuk ke mulut setiap kali waktu makan tanpa kita merasai kelelahan mereka. Setitis minyak masak yang kita guna di rumah, dituang ke dalam kuali ialah titisan-titisan peluh para peneroka yang berada di ladang sawit mengait buah kelapa sawit, terpaksa membuang terlebih dahulu pelepah yang berduri sebelum setandan kelapa sawit dijatuhkan ke tanah. Membesarnya kita dan menjadi seperti hari ini begitu memeritkan, setiap titis keringat, setiap patah kata, sentiasa dicurahkan ayah dan ibu untuk memanusiakan kita, supaya kita menjadi yang terbaik, supaya kita mengamalkan yang baik-baik dalam kehidupan.
Berterima kasihlah kepada yang ada di depan mata kita, yang sentiasa ada di hati kita, yang sentiasa ada di sekeliling kita, hatta walau yang jauh, titipkan doa supaya sihat sejahtera serta dirahmati Allah SWT sentiasa kerana senangnya kita hari ini adalah dengan pertolongan dan kelelahan orang lain.
![](https://img.wattpad.com/cover/287100685-288-k213715.jpg)
YOU ARE READING
Ayah Meneruskan Cerita
القصة القصيرةAyah masih meneruskan cerita melalui apa-apa yang dilihat, dibaca, didengari, diteliti, dirasa, dibau dan difikirkan sesuai untuk dikongsi. Alhamdulillah, sebelum ini 4 judul cerita pendek semuka dengan 200 cerita telah dikongsi, iaitu 'Cerita Ayah'...