Forty-one

86 5 0
                                        

"Aniq, bawakkan ni masuk dalam dulu. Aku nak ambik lagi dalam kereta," kata Hawa sambil menghulurkan tiga kotak besar berisi roti dan dessert untuk dijual pada hari ini. Aniq pantas mencapai kotak tersebut dan berjalan masuk ke dalam kafe. Hawa memandang Aniq sekilas sebelum dia kembali semula ke keretanya yang diparkir berdekatan kafe.

Pintu kereta bahagian belakang dibuka. Empat biji kek setengah kilo yang dibungkus di dalam kotak ditarik perlahan-lahan sebelum dia mengangkat dua kotak terlebih dahulu. Tak mampu nak angkat empat terus. Kalau jatuh, naya je.

Tiba-tiba, bau asap yang kuat menusuk hidungnya. Kening Hawa bertaut seketika sebelum dia menoleh ke sekeliling, mencari punca bau asap tersebut.

Matanya terus membulat dan kek yang dipegangnya terlepas dari tangan dan jatuh ke atas jalan tar. Hawa terus berlari ke arah kafenya.

Kafenya yang sudah merah menyala dijilat api. Api semakin marak dan mula naik sehingga ke bahagian atas. Bahagian pintu kafe sudah betul-betul terbakar, membuatkannya tidak dapat masuk.

Macam mana..macam mana kafe dia boleh terbakar? Dia baru je pandang tadi, dan kafe dia masih okey.

Tiba-tiba dia tersedar sesuatu.

"Aniq..Aniq!" Hawa melaung sekuat hati. Aniq baru je masuk dalam kafe tadi. Dia tak perasan ke kafe tengah terbakar? Dia dah keluar ke? Mana dia? Dia selamat ke tak?

Apa patut aku buat?

Hawa sudah menggigil ketakutan. Dia cuba untuk menenangkan dirinya, tetapi air matanya mula mengalir deras. Dia terus berlari semula ke kereta, beg tangan yang diletakkan di seat hadapan diambil. Telefonnya dicapai, ingin menelefon bomba.

Hawa cuba menghidupkan telefonnya, tetapi tidak berjaya. Dia menekan skrin berkali-kali, tetapi skrin telefonnya tetap gelap. Hawa menjerit sekuat hatinya. Dia menekap matanya kuat, ingin menahan air matanya. Kafenya yang masih lagi dimamah api dipandang. Dia tak mampu untuk berbuat apa-apa.

Dia tak nak duduk kat sini. Dia kena cari Aniq. Dia kena pastikan Aniq selamat. Hawa berlari pantas menuju semula ke kafe. Dia akan masuk, kalau itu sahaja pilihan yang dia ada. Dia tak nak hilang siapa-siapa lagi. 

Dia tak nak hilang orang yang dia sayang, tanpa berbuat apa-apa.

"Aniq! Aniq Huzaifah!" jerit Hawa di hadapan kafe. Tiada sahutan. Dia melilau ke sekeliling, mencari sesiapa untuk dia meminta bantuan. Tak ada orang langsung. Keadaan memang lengang.

Hawa mencangkung di hadapan kafe, bahang api dirasai di setiap inci kulitnya. Tetapi dia tetap tidak berganjak.

Tidak lama kemudian, dia bangun. 

Kalau tak ada sesiapa nak tolong, biar dia masuk sendiri kafe ni dan cari Aniq.

Hawa melangkah masuk ke dalam kafe yang masih lagi disimbah api yang  marak.

.

Hawa membuka mata.

Siling.

Katil.

Pintu.

Dia terus bangun dan duduk di bahagian kepala katil. Wajahnya diraup kasar. Nafasnya ditarik panjang sebelum dihela perlahan. Telefonnya yang diletakkan di atas meja di sebelah katil dicapai dan dihidupkan.

1.34 pagi.

Dia turun dari katil lalu berjalan mendekati almari tempat dia menyimpan tudung-tudung sarungnya. Sehelai tudung sarung berwarna hitam dicapai dan disarungkan ke kepala.

In The DreamsTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang