Special Chapter

2.6K 102 4
                                    

"Siapa yang memulakan misi... Apa namanya itu?"

"Pada 21:45 waktu tempatan, pasukan khas udara telah menjalankan misi tanpa izin..."

"Leftenan Kolonel (U) Nadim!" percakapan Nadim dipotong laju oleh Pengarah Tinggi Roslan dengan nada yang tinggi.

Leftenan Kolonel (U) Nadim terdiam seketika. Dia menghela nafas pendek.

"Atas kebenaran siapa kamu lepaskan mereka untuk misi solo itu?" Pengarah Tinggi Roslan terduduk sambil memicit kepala. Mahu naik gila dia jadinya dengan tindakan gila Pegawai Tinggi Tentera Udara itu.

"Tentera sana berjanji untuk menyelamatkan tebusan dalam masa 24 jam. Yang awak nak gelabah tak tentu pasal kenapa? Awak tak fikir ke hubungan diplomatik antara dua buah negara yang terlibat?"

Leftenan Kolonel (U) Nadim beriak kosong. Tidak terkesan dengan amarah yang kian memuncak milik Pengarah Tinggi Roslan itu.

"Tentera kami pergi menyelamatkan warganegara yang terdiri daripada kanak-kanak dan warga emas. Tiada sebab untuk tuan tidak faham dengan keadaan darurat seperti itu."

"Ini bukan kes penculikan orang awam biasa. Bagaimana kalau tentera kita merosakkan operasi CIA? Siapa yang akan bertanggungjawab?"

Pengarah-pengarah yang turut serta dalam mensyuarat itu angguk bersetuju. Mulut-mulut mereka bergerak-gerak memberikan pendapat masing-masing. Tetapi tiada satu pun yang dapat menjadi pendapat kukuh untuk membantah keputusan Leftenan Kolonel (U) Nadim.

"Saya faham dengan kedudukan politik sekarang."

"Jangan mencelah apa yang saya cakap!"

Leftenan Kolonel (U) Nadim menoleh. Matanya memanah tajam Pengarah Tinggi Roslan yang kelihatan sangat angkuh ketika itu.

"Ini masalah keselamatan negara yang perlu diuruskan dengan cara politik dan diplomatik. Jadi, serahkan operasi menyelamat itu kepada tentera sana dan kita kekalkan keselamatan kita dan kawal media..."

"Hoi, ahli politik."

Seisi ruang bilik mesyuarat itu menjadi sunyi sepi seketika. Tidak sangka dengan apa yang keluar daripada mulut Leftenan Kolonel (U) Nadim itu.

Pengarah Tinggi Roslan memandang Leftenan Kolonel (U) Nadim dengan mata yang membulat. "Apa kau cakap? Aku salah dengar kan?"

Leftenan Kolonel (U) Nadim membetulkan posisi duduknya. Memandang dengan pandangan yang tajam dan bersuara tegas dan berpendirian.

"Jika tuan salah dengar, dengar sekali lagi."

"Bagi tuan mungkin keselamatan negara bermaksud mentadbir dari bilik rahsia dan berucapan diplomatik dihadapan kamera, tapi pasukan saya mengorbankan masa muda mereka untuk melindungi negara ini dan mempertaruhkan nyawa untuk menjalankan tugas dan arahan!"

"Mereka menyahut panggilan, menjalankan tanggungjawab tanpa pengiktirafan atau tanpa penghormatan apabila ditangkap atau dibunuh dalam misi kerana mereka percaya nyawa rakyat ialah isu keselamatan negara."

Leftenan Kolonel (U) Nadim menarik nafas dalam. "Sebagai Ketua Komander..."

"Saya akan bertanggungjawab. Jadi tuan boleh pilih tali leher untuk dipakai, panggil wartawan dan berpolitik dihadapan kamera dengan bergaya."

Pengarah Tinggi Roslan tergelak sinis. "Kau biar betul? Kalau kau pikul tanggungjawab ini, kau boleh lucutkan pakaian seragam, kan?"

Tanpa ragu-ragu, Leftenan Kolonel (U) Nadim angguk kepala.

"Bila-bila masa, untuk kehormatan."

Makin sinis senyuman yang menghiasi wajah Pengarah Tinggi Roslan apabila mendengar jawapan itu.

KAHFI ✔️Where stories live. Discover now