Hari itu tanggal 30 Oktober 2053, Daeng Khalid berasa amat bertuah kerana terpilih untuk direkrut menjadi pelatih platun tentera laut setelah melepasi beberapa ujian saringan yang ditetapkan.
Hatinya bukan main gembira kerana separuh daripada impian dan cita-citanya hampir menjadi kenyataan. Kata orang tinggal selangkah lagi mahu melepasi halangan akhir.
Dua bulan lagi dia bakal melapor diri di kem pengkalan TLDM Lumut. Itulah impian Daeng Khalid sejak kecil. Mahu bergelar perwira yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Selain Daeng Khalid ada seorang lagi insan yang turut gembira atas kejayaan dirinya terpilih untuk menjadi pelatih tentera. Hasrat Daeng Hamid yang mahu melihat satu-satu anak terunanya itu mengikut jejak langkahnya hampir direalisasikan.
Daeng Hamid merupakan seorang pesara tentera laut yang kini bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah. Dia pernah berkhidmat sebagai anggota tentera laut sejak tamat persekolahan. Kerjayanya sebagai tentera laut berlangsung selama 20 tahun sebelum bersara wajib kira-kira 15 tahun lepas.
Apabila Daeng Khalid menyuarakan hasrat untuk menjadi seorang tentera laut hati orang tua itu bukan main kepalang gembira. Manakan tidak impiannya mahu melihat puteranya menyarung uniform tentera laut hanya tinggal setapak lagi sebelum menjadi kenyataan.
Enam bulan Khalid bermukim di dalam hutan belantara bersama 120 orang rakan sepelatihnya. Selama tempoh itu juga dia langsung tidak mengetahui perkembangan dunia luar. Hidupnya hanya di dalam hutan sahaja. Di situlah dia mula mengenal erti kesusahan, persahabatan dan jerih perih untuk menjadi seorang tentera.
Pada awalnya Daeng Khalid hampir-hampir berputus asa. Ternyata latihan ketenteraan yang dilaluinya ini lebih ekstrem daripada latihan Program Latihan Khidmat Negara dan juga latihan unit beruniform Pasukan Kadet Bersatu Malaya yang disertainya ketika zaman sekolah.
Namun mengenangkan harapan ayahandanya yang menggunung serta impian kecilnya mahu menjadi seorang askar semua halangan yang diterima dihadapi dengan penuh cekal berserta iltizam yang tinggi. Sekali sudah ke hadapan tiada lagi istilah menoleh ke belakang. Pantang menyerah sebelum berjaya. Itulah prinsip hidupnya.
'Insya-Allah ayah, Khalid akan buktikan Khalid boleh!'
Sepanjang berada di kem rekrur Daeng Khalid telah berkenal rapat dengan seorang pelatih yang berasal dari sebuah negeri Selatan.
"Aku Daeng Parani. Orang Juhura." Tegur seorang pelatih yang berdiri bersebelahan katilnya.
"Aku Daeng Khalid. Orang Selangura." Balas Daeng Khalid mesra. Dalam diam dia berasa teruja kerana ada juga orang yang mempunyai pangkal nama 'Daeng' seperti dirinya.
"Wah nampaknya kau pun orang Bugis macam aku. Mulai hari ini kita adalah brother. Apa-apa hal kau boleh cari aku." Huluran tangan Daeng Parani disambut dengan penuh semangat setiakawan oleh Daeng Khalid. Mulai hari itu ke mana saja mereka sering bersama dan saling membantu.
"Insya-Allah. Kau pun sama. Apa-apa hal kau pun boleh cari aku."
Setelah enam bulan melalui pelbagai jenis latihan dan ujian ketahanan diri yang menyiksakan akhirnya Daeng
Khalid telah berjaya menjadi anggota rasmi Tentera Laut Diraja Malaipura.Majlis watikah pelantikan anggota baru telah disempurnakan dengan jaya oleh Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaipura yakni Laksamana Datuk Seri Haji Abdul Rahim pada sambutan hari ketenteraan.
Daripada 120 anggota pelatih yang direkrut tempohari hanya 100 orang pelatih sahaja yang berjaya menjadi anggota rasmi TLDM termasuklah Daeng Khalid dan sahabatnya Daeng Parani. Daeng Hamid tersenyum mekar sewaktu melihat puteranya kelihatan segak memakai uniform tentera berwarna putih.
"Ayah bangga dengan kamu nak." Ucap Daeng Hamid berserta lelehan air mata sewaktu bertatap dengan Daeng Khalid.
"Perjalanan Khalid baru nak bermula ayah. Ada satu tahap lagi yang perlu Khalid lalui lagi." Terang Daeng Khalid kepada ayahnya.
"Apa dia lagi?" Daeng Hamid mulai tertanya-tanya maksud puteranya itu.
"Adalah ayah. Nanti Khalid bagitau." Khalid mengukirkan senyuman manis cuba untuk menghilangkan gusar persoalan bapanya.
"Sesiapa yang berminat mahu menjadi anggota KD Panglima Hitam sila lapor diri ke bangunan KD Panglima Hitam pada jam 12 tengah hari nanti." Laung seorang pegawai dengan nada lantang setelah tamat watikah pelantikan.
Khalid yang ketika itu masih berdarah muda. Dia baru sahaja berusia 18 tahun. Berbekalkan semangat yang berkobar-kobar serta jiwa yang membara Khalid membuat keputusan untuk menyertai pasukan elit itu. Apa salahnya mahu mencuba.
Sewaktu menjalani latihan selama enam bulan di dalam hutan Daeng Khalid sering digembar gemburkan dengan cabaran yang perlu dihadapi sekiranya mahu menjadi seorang ahli anggota Paskal (Pasukan Khas Laut) atau lebih dikenali sebagai KD Panglima Hitam.
Lagipun semua anggota TLDM mahupun anggota tentera biasa sudah sedia maklum bukan mudah untuk menjadi seorang anggota komando laut KD Panglima Hitam.
Hanya mereka yang berjiwa kental sahaja yang akan dipilih. Ini sejajar dengan moto mereka "Sentiasa Terbaik" berbanding moto tentera laut biasa yakni "Sedia Berkorban".
Justeru hanya ahli yang paling terbaik antara yang terbaik sahaja yang mampu melepasi ujian kelayakan untuk menjadi seorang anggota komando KD Panglima Hitam.
Sekiranya berjaya dia akan menyarung beret berwarna merun sekali gus melambangkan darjat ketinggian anggota tersebut berbanding anggota tentera biasa.
"Parani. Aku ingat nak join anggota Paskal lah. Jom?" Daeng Khalid meluahkan hasratnya manalah tahu jika Daeng Parani juga turut berminat. Dia belum lagi menceritakan hal tersebut kepada ayahnya. Sengaja mahu membuat kejutan.
"Aku ada jugak terfikir. Tapi hmm entahlah." Ujar Daeng Parani berdolak dalih seakan tidak yakin. Mungkin dia tidak berapa pasti sama ada dia mampu atau tidak untuk menyertai pasukan elit TLDM itu.
"Kau tau kenapa aku nak join Paskal?" Daeng Khalid memandang wajah Daeng Parani dengan senyuman ikhlas. Nuraninya perlu dijelaskan mengapa dia sanggup mengambil risiko untuk mencuba menjadi anggota skuad elit itu.
"Kenapa?" Daeng Parani memandang wajah Daeng Khalid dengan seribu satu persoalan.
"Aku nak jadi Rambo."
YOU ARE READING
Panglima Hitam
FantasyMengisahkan perjuangan dan pengorbanan sekumpulan tentera elit dalam mempertahankan kedaulatan negara dan anak bangsa. Diinspirasikan daripada peristiwa hitam Lahad Datu yang melanda negara kita pada tahun 2013 yang lalu. Terdapat sedikit unsur-unsu...