15

786 45 4
                                    

"Allahuakbar!" Jerit Daeng Tiara tersedar daripada tidur. Bingkas dia bangun daripada katilnya dalam keadaan tangisan.

Mimpi yang dialaminya sebentar tadi sungguh luar biasa dahsyatnya. Terbayang di dalam kotak minda visual kematian suaminya yang sungguh jelas dan nyata.

Tubuh Daeng Tiara sedikit menggigil. Wajahnya sedikit merenik dengan titisan peluh.

"Tiara, kenapa ni?" Soal Daeng Teja yang baring di sebelahnya.

Gadis itu juga turut bangun terkejut apabila mendengar iparnya itu tiba-tiba sahaja menjerit kuat melaungkan kalimah suci itu. Segera dihampiri lalu dipeluk tubuh iparnya.

"Teja, saya mimpikan abang Khalid Teja. Saya dapat rasakan sesuatu yang buruk sedang berlaku." Daeng Tiara mengongoi pada pelukan Daeng Teja.

Daeng Teja turut mengalirkan air mata. Bimbang firasat iparnya mengenai abang kandungnya itu menjadi kenyataan namun berbekalkan sedikit iman yang terkandung dalam hati dia cuba memujuk gadis itu.

"Sabar Tiara. Tu semua mimpi awak. Mainan tidur. Insya-Allah abang Khalid dengan abang Parani tak ada apa-apa." Pujuk Daeng Teja. Diusap dan diurut lembut tubuh belakang iparnya.

Setelah beberapa minit kemudian tangisan Daeng Tiara mulai reda. Melihat emosi gadis itu yang kelihatan stabil Daeng Teja menepuk lembut bahu Daeng Tiara.

"Jom awak kita solat Subuh dulu. Kita sama-sama berdoa minta pada Allah semoga abang Khalid dan abang Parani selamat di sana."

Daeng Tiara mengangguk perlahan lalu dipimpin tangan oleh iparnya menuju ke bilik air.

'Ya Allah ya Tuhanku. Tuhan yang Maha Pelindung bagi sekalian hamba-hambaNya. Engkau lindungilah suamiku dan abangku. Engkau berikanlah kekuatan kepada para perajurit negara agar mereka dapat menghancurkan musuh-musuh negaraku Ya Allah'

***

"Berlindung semua!" Arah Supritendan Hassan dengan lantang.

Mereka semua tidak menyangka akan diserang hendap pada waktu Subuh. Di sekeliling hutan kelihatan berdas-das percikan api yang keluar daripada senjata milik tentera Sulu. Daeng Khalid berlindung di balik khemah yang menghadap ke kawasan pantai.

Pasukan keselamatan negara segera mengambil posisi masing-masing lalu membalas tembakan tentera Sulu. Keadaan kini mulai gegak gempita dengan bunyi tembakan senjata dan letupan bom.

Pasukan keselamatan negara terus kekal bertahan pada posisi masing-masing seperti yang diarahkan. Kelihatan deretan pengganas Sulu yang mara ke hadapan dengan beraninya.

Suasana hening waktu Subuh itu mulai diterangi dengan cahaya tembakan senjata api. Suara riuh daripada para perajurit yang bertempur bermatian-matian bergema di ruangan semesta.

Bunyi teriakan mulai bergema. Ada antara anggota pasukan keselamatan negara yang mengalami kecederaan.

"Ramainya." Ujar Supritendan Hassan sambil memegang raifal M16. Dia duduk bersebelahan Daeng Khalid.

Mereka berdua mengintai di balik khemah persembunyian. Sekali sekala mereka turut melepaskan tembakan ke arah tentera Sulu yang mulai menghampiri khemah operasi.

"Ada lebih daripada 40 anggota." Kata Daeng Khalid setelah meneliti melalui gogglenya. "Korang tunggu kejap." Gumam Daeng Khalid kegeraman.

"Parani, ni masa kau nak beraksi." Arah Daeng Khalid lagi.

"As you wish sir." Jawab Daeng Parani sambil mengenyitkan mata. Dengan pantas dia berlari daripada persembunyian di balik khemah menuju ke kawasan pantai.

Panglima HitamWhere stories live. Discover now