Raja Daeng Parani dan Awang Hitam masih lagi dalam perjalanan menuju ke lokasi yang dipercayai menjadi medan pertarungan empat puteri yang masih hilang.
Puteri Lindungan Bulan, Puteri Limau Purut, Tun Fatimah dan Puteri Santubung. Nama-nama tersebut masih membelenggu di dalam kotak fikiran Raja Daeng Parani.
Raja Daeng Parani telah nekad. Walau apa pun yang akan berlaku keempat-empat puteri itu mesti diselamatkan juga. Tiada tentera pengawal yang akan mengiringi mereka berdua untuk misi kali ini. Ia adalah atas arahan Raja Daeng Parani sendiri.
Pada awalnya berat hati para adinda angkatnya mahu membenarkan raja Bugis itu keluar bersendirian. Maklum sajalah Azazil masih lagi berkeliaran di luar sana. Apa-apa kemungkinan boleh berlaku memandangkan jin itu sangat licik.
Mujur sajalah Awang Hitam dibenarkan untuk mengiringi baginda. Itu pun setelah dipaksa berkali-kali oleh Che Siti Wan Kembang yang mahukan seseorang menemani baginda. Lantas baginda hanya akur atas titah ratu kerajaan Kelantan itu.
Raja Daeng Parani hanya membontoti Awang Hitam yang berada di hadapan. Mata baginda menatap jauh sebuah gunung yang berdiri teguh di hadapan mereka.
Gunung yang tidak diketahui nama itu khabarnya menyimpan seribu satu rahsia. Di situlah terletaknya sebuah gua yang menjadi pintu masuk ke alam nyata yang dihuni cucu cicit Nabi Adam. Pintu yang memisahkan dunia mereka dengan dunia luar.
Menurut Awang Hitam, firasat batinnya kuat mengatakan kelibat empat puteri itu berada di sebalik gunung tersebut. Sedang beradu handal sesama sendiri.
"Di sana tuanku."
Kuda tunggangan mereka berlari pantas meredah denai, hutan dan sungai-sungai kecil. Tiba di satu tempat Awang Hitam mengangkat tangannya, isyarat berhenti. Raja Daeng Parani sekadar mengikut.
"Mereka berada di sini tuanku." Awang Hitam memecah kesunyian. Hanya bunyi aliran sungai kecil yang memecah halwa telinga mereka.
"Engkau ada dengar sesuatu?" Raja Daeng Parani merapatkan mata. Cuba fokus pada sesuatu. Awang Hitam turut mengikut sama.
"Ya tuanku. Nampaknya ada kuasa sakti yang sedang berlaku. Kuasa yang sungguh luar biasa."
"Di sana." Raja Daeng Parani menunggang kudanya ke satu arah. Awang Hitam hanya mengikut.
Dua kelibat pahlawan itu terus memacu kuda mereka sejauh beberapa batu. Bunyi kuasa sakti yang diperkatakan lama-kelamaan bertambah kuat dan nyaring. Raja Daeng Parani pantas menggesa kudanya dengan pukulan cemeti pada punggung agar menambahkan kelajuan.
"Tepat seperti yang aku jangkakan." Raja Daeng Parani tersenyum lebar. "Kanda Siti Jamilah." Diseru nama puteri itu.
"Awang, biar aku uruskan mereka. Engkau pergi cari Zaleha dan Syah Alam Muda Pulau Tiga." Arah Raja Daeng Parani.
"Perintah dijunjung tuanku." Awang Hitam melakukan sembah hormat lalu berangkat mencari dua puteri.
**
Roman mata Raden Puteri Ratna Gumilah Sari tajam menikam Puteri Santubung yang tampak sedikit menggigil. Ditenung wajah lawannya dengan kemarahan yang membuak-buak.
Jeritan suara daripada Tun Fatimah, anak angkatnya sungguh jelas melalui pendengaran telepati meskipun ketika itu beliau sedang bersiram bunga di sebuah kolam di kaki Gunung Ledang.
"Apa yang engkau lakukan pada Fatimah?" Raden Puteri Ratna Gumilah Sari menjegilkan mata.
"AKU ULANG! APA YANG ENGKAU LAKUKAN PADA FATIMAH?" Tempikan beliau tidak ubah seperti halilintar yang membelah bumi.
YOU ARE READING
Panglima Hitam
FantasyMengisahkan perjuangan dan pengorbanan sekumpulan tentera elit dalam mempertahankan kedaulatan negara dan anak bangsa. Diinspirasikan daripada peristiwa hitam Lahad Datu yang melanda negara kita pada tahun 2013 yang lalu. Terdapat sedikit unsur-unsu...