"Lahai bodohnya korang."
Senyuman sinis terbit di bibir Daeng Parani. Ingin sahaja dia menghamburkan tawa namun ditahan. Bimbang pula didengari musuh. Mayat lanun Sulu yang telah kejung itu segera dicampak ke dalam laut.
Daeng Parani bergerak pantas. Ada tiga lagi lanun Sulu yang perlu diburu sekali gus melengkapkan misi Ops Sulit mereka, yakni menawan bot tersebut. Sudah dua orang lanun yang dibunuhnya setakat ini.
Berbekalkan kemahiran mengajuk suara bunyi-bunyian burung pungguk, Daeng Parani dengan mudah mengumpan perhatian mereka sehingga berjaya masuk ke dalam perangkap.
Seorang lanun yang sedang leka berdiri di atas penghadang bot tidak perasan kehadiran seorang komando laut yang sedari tadi menghendap gerak gerinya. Malah lanun itu siap pula bernyanyi di dalam bahasa yang tidak difahami Daeng Parani.
"Boleh pula kau menyanyi ya?" Senyuman sinis terpamer. "Dah la tak sedap."
Daeng Parani yang senang hati melihat telatah lanun itu hanya menggelengkan kepala lantas diterajang punggung musuh itu dari belakang lalu terjatuh ke dalam laut. Dia terpempan seketika melihat lanun itu meronta-ronta di dalam laut.
"La tak reti berenang rupanya. Kesian." Daeng Parani menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hairan melihat situasi yang pada anggapannya cukup sadis. Masakan seorang lanun di kawasan laut tidak tahu berenang?
Lanun itu masih terkapai-kapai sambil melolong. Beberapa saat kemudian jasad lanun tersebut tidak lagi kelihatan di permukaan laut. Daeng Parani masih tidak berganjak. Gusar pula sekiranya dia muncul tiba-tiba semula.
Dia setia menanti selama beberapa minit. "Hmm arwah dah kot ni?"
Lima minit telah pun berlalu. Akhirnya Daeng Parani membuat keputusan untuk beredar. Dia membuat rumusan kebarangkalian musuhnya mati akibat lemas.
Sejujurnya Daeng Parani langsung tidak perlu membazirkan walau sebutir peluru senjatanya. Setakat ini hanya sedas tembakan sahaja yang dilepaskan. Itu pun secara tidak sengaja.
Berbekalkan pisau Rambo yang disisip pada paha kanan, Daeng Parani menunduk mengintai gerak geri seseorang. Dengan kelajuan yang sepantas kilat dia mengelar leher seorang lanun Sulu yang sedang bersendirian.
Daeng Parani melihat sahaja jasad lanun Sulu itu yang telah pun terkaku sebelum mencampaknya ke dalam laut. Sewaktu hayat lanun itu masih dikandung badan dia dilihat tercari-cari di manakah arah punca bunyi burung pungguk.
Lanun itu melilau ke sana ke mari cuba mencari kelibat burung pungguk di atas bot mereka. Daeng Parani seorang yang licik. Dia bergerak pantas di setiap celahan laluan bot sambil mengajuk bunyi burung tersebut.
Setelah puas meronda dan tidak menemui sebarang petunjuk lanun itu berlenggang sebentar. Dikeluarkan sebatang rokok Sampoerna lalu dikemam pada bibir. Tangannya menggagau pemetik api untuk mencucuh bara.
Kelekaan lanun itu membawa padah. Ketika itulah Daeng Parani senyap-senyap menyusup dari arah belakang lalu mengelar leher musuhnya yang belum sempat mencucuhkan rokok di bibir.
Daeng Parani memerhatikan sahaja tubuh lanun tersebut menggelupur di atas lantai bot. Langsung tiada perasaan belas. Jika diperhatikan kondisi musuhnya itu tidak ubah seperti lembu disembelih.
"Sekarang rokok ni gua punya." Daeng Parani mencucuh rokok yang tidak sempat dihisap oleh musuhnya sebentar tadi. Dimuncungkan sedikit bibirnya lalu berhembus asap yang berbentuk huruf o keluar dari mulut.
Kotak rokok Sampoerna berwarna putih abstrak kehijauan itu ditilik seketika sebelum disimpan kemas di dalam poket sebagai bekalan. Tanpa disangka Daeng Parani tersenyum sendirian.
YOU ARE READING
Panglima Hitam
FantasiMengisahkan perjuangan dan pengorbanan sekumpulan tentera elit dalam mempertahankan kedaulatan negara dan anak bangsa. Diinspirasikan daripada peristiwa hitam Lahad Datu yang melanda negara kita pada tahun 2013 yang lalu. Terdapat sedikit unsur-unsu...