96

274 27 2
                                    

"Insya-Allah kanda akan tamatkan semuanya hari ini." Jasad Raja Daeng Merewah yang belum sedarkan diri diletak perlahan.

Wajah adiknya yang berlumuran darah dan kesan lebam itu ditatap seketika. Genggaman tangan dikepal kuat. Entah bagaimana perasaan marah mulai membara di dalam diri raja Bugis itu.

'Aku harus lakukan sesuatu'

Raja Daeng Parani mendongak wajah ke langit lantas memejamkan mata seketika. Terasa tenang tatkala bayu lembut mencumbui wajah baginda. Ilham cuba dicari. Apakah perancangan seterusnya.

Dan tanpa disangka wajah itu tiba-tiba sahaja mulai membayangi baginda. Wajah yang cukup dibencinya. Wajah yang telah memperkotak-katikkan segalanya. Raja Daeng Parani mengetap gerahamnya.

Siapa lagi kalau bukan Azazil. Makhluk jelmaan jin yang dilaknat Allah. Makhluk yang menjadi dalang kepada semua kejadian ini. Makhluk yang lahir daripada susur galur Iblis yang dihalau dari syurga atas keingkarannya menghormati Nabi Adam.

Raja Daeng Parani tidak mengerti apakah tujuan dan matlamat sebenar makluk itu. Pasti ada agenda yang besar yang sedang direncanakannya. Jika tidak masakan dia sanggup menyeru bala tentera jadian yang persis yakjud dan makjud.

"Aku akan pastikan semuanya tamat."

Dengan semangat yang berkobar-kobar Raja Daeng Parani memusingkan tubuhnya ke belakang. Ada sesuatu yang perlu dibawa bersama.

Senjata keramatnya, keris Taming Sari wajib diambil semula. Hanya itu sahajalah ikhtiar terakhir untuk menewaskan makhluk dari alam ghaib itu.

"Allah!" Terjegil biji mata Raja Daeng Parani menyebut nama Pencipta yang Esa tersebut.

Tergamam. Itulah yang sedang dirasai baginda ketika ini. Sesuatu yang langsung tidak dapat dijangka telah pun berlaku. Adakah ini yang dinamakan ujian Tuhan?

"Selamat tinggal kakandaku, Daeng Parani." Ujar Raja Daeng Merewah dengan senyuman menyeringai. Terpamer riak puas pada wajah yang berlumuran darah itu.

"Tidurlah dengan tenang di sana." Keris Taming Sari yang berada di dalam genggamannya terus merodok kasar menembusi perut Raja Daeng Parani tanpa belas kasihan.

"Allah!" Lidah Raja Daeng Parani tidak henti-henti menyebut kalimah tersebut.

Kesakitan yang dirasakan terlalu perit sementelah ditusuk bertubi-tubi oleh darah dagingnya sendiri. Di dalam hati Raja Daeng Parani merintih sayu kepada Penciptanya.

Perlahan-lahan Raja Daeng Parani duduk melutut sambil menekup perutnya yang dipenuhi darah membuak-buak. Nafas baginda mulai tercungap-cungap menagih saki baki oksigen yang ada.

Raja Daeng Merewah hanya melihat sahaja keadaan abangnya yang masih melutut. Wajahnya mengukir riak senang hati. Puas dapat melihat abang kandungnya dalam keadaan lemah tidak berdaya.

Keris Taming Sari kini telah pun berubah tuan empunya. Ia berada kemas di tangan Raja Daeng Merewah, pemilik baharu. Kelihatan darah pekat meleleh dan menitik pada muncung keris tersebut.

'Aneh' Raja Daeng Merewah mengerutkan dahinya.

Ada sesuatu yang tidak kena. Raja Daeng Parani sedari tadi menundukkan sahaja wajahnya ke bumi. Tiada lagi bunyi erangan menahan sakit. Sudah matikah dia?

Perlahan-lahan Raja Daeng Merewah menapak ke hadapan menghampiri jasad abangnya yang sedang pegun melutut itu. Ditelek lama. Masih tiada sebarang pergerakan.

"Parani." Raja Daeng Merewah menyeru nama abangnya. Tiada respon. "Parani." Nada suaranya ditinggikan sedikit. Juga tiada sebarang respon.

Berang dengan keadaan itu Raja Daeng Merewah lantas menyepak dada Raja Daeng Parani sehingga terlentang jasad abangnya di atas tanah.

"Celaka!" Raja Daeng Merewah mengetap geram. "Aku sudah agak ini pasti terjadi." Jasad Raja Daeng Parani kelihatan kaku. Mata baginda berwarna putih penuh tanpa anak mata.

Pup! Bergema bunyi letusan kecil bersama asap berwarna putih. Dan jasad Raja Daeng Parani lenyap dari pandangan.

"Untung sabut engkau hari ini Parani." Raja Daeng Merewah tersenyum sinis seraya mengambil kesempatan untuk meninjau keadaan sekeliling jong tersebut.

"Kau hampir-hampir tewas di tanganku sebentar tadi." Raja Daeng Merewah mengimbas semula memori bertarung dengan abangnya sebentar tadi.

Timbul sedikit kekeliruan sejak bila abangnya mengaplikasi Hikmat Bayangan Pendua sedangkan awal-awal lagi baginda sudah menetapkan syarat untuk bertarung secara bersih.

Masih segar lagi bagaimana indahnya perasaan di dalam sanubari tatkala dapat merobek perut abangnya dengan keris Taming Sari.

Ketika melihat darah merah membuak-buak meleleh dari perut abangnya, terasa satu kepuasan yang tidak dapat dihitung biarpun jasad yang ditikam itu bukanlah jasad asli.

"Ibarat bulan jatuh ke riba." Senyuman herot terlakar di bibir Panglima Rantai Besi itu.

Raja Daeng Merewah menatap keris Taming Sari yang berjaya dirampas daripada hakmilik abangnya. Indah nian paras rupanya. Padanlah Raja Daeng Parani menjaga rapi umpama menatang minyak yang penuh.

Berbekalkan senjata sakti itu misinya menjadi lebih mudah. Cita-cita peribadi tinggal sejengkal sahaja lagi sebelum menjadi kenyataan.

"Ah bagaimana agaknya keadaan puteri-puteri itu?" Ingatan baginda kembali menerpa para puteri bangsawan itu.

Dengan pantas Raja Daeng Merewah membuka langkahnya meninggalkan kawasan itu.

P/S: Tahniah kalau korang masih lagi baca cerita ni. Rasa dah 2 tahun tak siap-siap hahaha.

Panglima HitamWhere stories live. Discover now