86
Persidangan konvensyen tripartaid antarabangsa telah pun berlangsung dengan jayanya di ibukota negara Pinoy kelmarin sehingga mendapat liputan luas oleh pihak media antarabangsa.
Persidangan tersebut tak lain tak bukan adalah berkaitan acara rundingan damai Perang Lahad Datu yang bertujuan mencari kata sepakat berkaitan konflik perebutan wilayah Sabha.
Antara pihak yang terlibat adalah kerajaan Malaipura, Sultan Nisfu Syaaban dan puak pemisah Abu Sayyid sementara kerajaan Pinoy pula bertindak selaku pihak tengah atau tuan rumah.
Tidak lupa juga penglibatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu yang diketuai kuasa utama dunia Amerika Syarikat, China, dan kongres perwakilan negara-negara ASEAN yang bertindak sebagai pihak pemerhati.
Datuk Seri Maslan Razak yang merupakan Perdana Menteri Malaipura bertindak mengepalai rombongan kerajaan Persekutuan Malaipura untuk rundingan tersebut.
Turut serta dalam rombongan rundingan damai itu adalah barisan anggota Kabinet seperti Datuk Seri Zahidi Nazri dan juga menteri yang dipalit kontroversi Datuk Seri Jamal Jonghos.
Datuk Seri Maslan Razak juga mengambil langkah berani dengan menjemput ketua pembangkang Datuk Seri Amran Ibrahim untuk hadir bersama di samping ditemani tiga panglima utama dalam komponen ATM.
Ini adalah kali kedua dalam sejarah persidangan tersebut berlangsung di mana kali pertama ia diadakan adalah pada tahun 2013 di tempat yang sama.
Acara rundingan damai tersebut berlangsung selama satu jam di mana ia dibentangkan oleh perwakilan daripada pihak PBB sendiri dengan bantuan beberapa orang jurubahasa.
Pelbagai hujah dan terma syarat yang ditetapkan baik daripada pihak Malaipura mahupun Sultan Nisfu Syaaban berhubung tuntutan ke atas wilayah Sabha.
Pihak Malaipura berulang kali mengesahkan bahawa wilayah Sabha adalah hak milik mutlak mereka secara sah berdasarkan Perisytiharaan Malaipura pada tahub 1963 yang membabitkan gabungan semenanjung Tanah Melayu dan gagasan Borneo.
Hujah pihak Sultan Nisfu Syabaan yang mengatakan Sabha adalah dalam lingkungan jajahan kesultanan Sulu sejak dahulu lagi sudah tidak relevan kerana mereka sendiri tidak diiktiraf sebagai sebuah kerajaan yang sah.
Bahkan kerajaan Pinoy juga berulang kali menegaskan bahawa kawasan kepulauan Sulu yang terletak di selatan negara Pinoy yang didakwa kawasan pemerintahan mereka itu juga sebenarnya berada di bawah naungan Pinoy.
Hujahan demi hujahan berlangsung antara kedua-dua belah pihak bagi membuktikan pihak manakah yang paling layak dan tepat memiliki wilayah Sabha. Ia berakhir setelah setelah sesi pergulungan hujah berlangsung pada waktu tengah hari.
Dan persidangan tersebut akhirnya mencapai kata sepakat di mana Sultan Nisfu Syaaban dengan rela hati menandatangani perjanjian damai serta mengiktiraf Sabha sebagai wilayah mutlak milik Malaipura.
Pada awalnya Sultan Nisfu Syaaban berat hati mahu turunkan tandatangan namun atas desakan dan nasihat daripada para pembesar, baginda akhirnya menurut jua. Riak tidak puas hati jelas terpampang di waktu baginda mahu menandatangan.
Dengan tercapainya persetujuan ini, ia bermakna tiada lagi isu percubaan untuk merebut kembali wilayah tersebut sepertimana yang pernah berlaku pada tahun 2013 dahulu ketika era Sultan Jamalul Kiram.
Sekiranya Sultan Nisfu Syaaban masih ingkar maka kerajaan Persekutuan Malaipura mempunyai kuasa autonomi untuk mengisytiharkan perang ke atas mereka secara sah mengikut undang-undang antarabangsa.
Usai sahaja Sultan Nisfu Syaaban menandatangani deklarasi tersebut sekalian anggota rombongan dari Malaipura melafazkan rasa syukur ke hadrat ilahi. Terima kasih Tuhan atas kemenangan ini.
YOU ARE READING
Panglima Hitam
FantasyMengisahkan perjuangan dan pengorbanan sekumpulan tentera elit dalam mempertahankan kedaulatan negara dan anak bangsa. Diinspirasikan daripada peristiwa hitam Lahad Datu yang melanda negara kita pada tahun 2013 yang lalu. Terdapat sedikit unsur-unsu...