Roman mata Puteri Limau Purut yang hitam pekat itu tajam menikam wajah Puteri Lindungan Bulan. Seperti ada dendam yang harus dilunaskan.
Ekspresi wajah itu kekal dingin dan serius selama beberapa minit. Perang psikologi barangkali. Tiada sepatah kata yang terbit dari dua puteri itu.
Aksi pertarungan Tun Fatimah dan Puteri Santubung yang telah berlangsung beberapa minit lalu tidak sedikitpun menggamit perhatian mereka biarpun suara jeritan dan deraman bergema di sana sini.
Dan kini bunyi dentingan senjata dua puteri itu beransur hilang. Tidak lagi kedengaran. Kemungkinan besar dua puteri itu sedang bertarung di tempat lain pula. Hanya bunyi siulan angin merdu sahaja yang sekali sekala berlalu.
Selang beberapa saat kemudian Puteri Limau Purut melakukan lenggok gerak tari silat lintau dengan penuh gemalai. Tampak ayu dan lembut pergerakannya namun bisa membunuh.
Silat yang dipelajari itu diturunkan daripada ayah angkatnya yang berasal dari tanah Sumatera, Datuk Tengku Bagindo Zaharudin atau lebih dikenali sebagai Panglima Lidah Hitam.
Siapa sahaja yang tidak kenal pendekar handalan berketurunan Minangkabau itu. Pendekar itu lah yang bertanggungjawab mendidik Puteri Limau Purut ketika bertugas sebagai guru gelanggang silat di istana Bukit Chandan.
Keadaan masih lagi sepi antara dua puteri itu. Puteri Lindungan Bulan hanya memerhati. Puteri Limau Purut masih fokus membuka tari silatnya.
Sambil mempersembahkan lenggok tari silat lintau, Puteri Limau Purut masih sempat lagi melagukan syair yang sering didendangkannya pada waktu dinihari di tepian sungai.
Bila sanubari sudah membenci
Syiarkan cinta di dalam hati
Bila nurani sudah merindu
Syair-syair indah mulai berlagu"Engkau." Puteri Limau Purut menelunjuk ke arah Puteri Lindungan Bulan. "Bukan lagi sahabatku." Bibirnya herot sedikit berserta senyuman yang meleret.
"Jadi engkau benar-benar mahu putuskan tali persahabatan kita?" Soalan Puteri Lindungan Bulan dibiarkan sepi.
"Aku tidak pernah kisah." Jawabnya selamba. "Kau harus bersedia."
Puteri Limau Purut mengeluarkan dua bilah badik yang diikat dengan kain selendang berwarna kuning lalu membuat pergerakan kecil. Lenggok tarian dabus.
Puteri Lindungan Bulan membungkam. Jika lawannya itu sudah mempersembahkan tarian dabus ia bermakna.. 'Habislah!' Dia menggelengkan kepala.
Puteri Limau Purut tenang sahaja membuat gerakan tarian yang berasal dari Parsi itu. Tarian dabus dicipta untuk mengintepretasikan kepahlawanan Saidina Ali di medan perang.
Tujuannya adalah untuk memperingati kehebatan dan kehandalan sepupu, sahabat dan juga menantu Rasullullah itu yang banyak membantu tentera Muslim memenangi banyak siri peperangan.
Tarian yang popular dalam kalangan masyarakat Arab Parsi itu telah dibawa masuk ke tanah Melayu sekitar abad ke-16 Masihi. Dan ia amat popular di kalangan rakyat negeri Perak.
Ya Nabi salam alaika
Ya Rasul salam alaika
Ya Habib salam alaika
Sholawatullah alaikaMulut Puteri Limau Purut kuat mendendangkan selawat yang memuji nama Nabi dalam keadaan mata terpejam. Terasa dirinya terbuai-buai atau dalam erti kata lain gila isim.
Puteri Limau Purut telah berada dalam keadaan separa sedar sewaktu menarikan tarian itu. Tidak diendahkan lagi Puteri Lindungan Bulan yang memerhatikannya dengan penuh rasa curiga.
Semangat kepahlawanan khalifah Islam keempat itulah yang dimahukannya. Perlahan-lahan tangan yang memegang dua bilah badik itu dihayun lalu dicucuk ke anggota tubuh badan.
YOU ARE READING
Panglima Hitam
FantasyMengisahkan perjuangan dan pengorbanan sekumpulan tentera elit dalam mempertahankan kedaulatan negara dan anak bangsa. Diinspirasikan daripada peristiwa hitam Lahad Datu yang melanda negara kita pada tahun 2013 yang lalu. Terdapat sedikit unsur-unsu...