"Kalian sungguh lemah!" Tempik Sang Belang sewaktu mencakar seorang demi seorang tentera di atas kapal itu.
Pertempuran di atas kapal itu berlangsung sengit. Sang Belang tidak berasa gentar untuk berhadapan dengan anak-anak buah komander Abrahah.
Masuk ini sudah 100 buah kapal yang telah ditenggelamkannya. Tidak kira kapal manusia mahu pun kapal orc, Sang Belang terus membunuh mereka semua tanpa belas kasihan.
"Assalamualaikum adinda Manambong." Sang Belang mulai tidak keruan apabila mendengar satu suara asing yang tiba-tiba memberi salam bergema pada deria pendengarannya.
"Siapakah tuan hamba?" Sang Belang melirih ke kiri dan ke kanan mencari punca suara tersebut.
Tentera Abrahah yang berada di hadapannya langsung tidak dipedulikan lagi meskipun tubuhnya kini menerima berdas tembakan senjata api.
"Assalamualaikum adinda Manambong." Sang Belang bermundar mandir ke hulu ke hilir mencari siapakah yang memanggilnya.
"Kill him now!" Mata Sang Belang kini kembali fokus kepada sepuluh manusia yang sedang mengusung senapang gajah.
Saiz senapang itu sungguh luar biasa besar dan berat berbanding senapang bersaiz normal sehingga memerlukan dua tenaga untuk mengusung senapang itu.
"Ready to fire." Arah seorang pegawai mereka.
Sang Belang hanya melihat dengan penuh berminat. Suara yang memberi salam sebentar tadi tidak lagi berkumandang di telinganya.
"Ayuh manusia munafik tunjukkan taringmu!" Cabar Sang Belang sambil menyeringai wajahnya.
"Shoot!" Dengan satu arahan satu das tembakan kuat dikeluarkan dari lima laras senapang gajah itu.
"Aargghhh!" Tembakan itu menyebabkan Sang Belang menekup bahagian perutnya. Dia berlutut sebelum rebah meniarap di atas lantai kapal.
"Assalamualaikum adinda Manambong." Suara misteri yang memberi salam itu bergema lagi.
Sang Belang membuka matanya. Dia berasa aneh kerana seluruh persekitaran kawasan ini berwarna putih.
"Di manakah hamba?" Monolog Sang Belang sendirian.
"Maafkan hamba wahai Sang Belang yang gagah perkasa." Tegur satu suara dari arah sisinya.
Sang Belang melihat kelibat seorang manusia yang memakai sepersalinan songket berwarna hitam bersulamkan benang emas berdiri di hadapannya.
Lelaki itu tampak segak mengenakan tengkolok dan kain samping songket yang juga berwarna gelap.
"Assalamualaikum." Kelibat lelaki itu memberi salam dengan lemah lembut.
"Waalaikummussalam. Siapakah gerangan tuan hamba? Dan di manakah hamba?" Soal Sang Belang dengan suara garau.
"Hamba adalah Raja Daeng Parani. Kakanda kepada pemilik jasad tuan hamba, Raja Daeng Manambong dan tuan hamba kini sedang berada di alam mimpi." Ujar Raja Daeng Parani dengan sopan.
Baginda perlu bijak menyusun butir kata agar Sang Belang tidak salah faham menganggapnya sebagai seorang lawan. Bantuan Sang Belang amat ditagih ketika ini.
"Alam mimpi?" Sang Belang berasa hairan mendengar kenyataan lelaki itu.
"Maafkan hamba wahai tuan hamba yang gagah perkasa. Hamba terpaksa mengguna cara ini untuk bertemu mata dengan tuan hamba."
"Baiklah. Maka apakah hajat tuan hamba menyeru hamba ke mari?" Sang Belang memberikan respon positif. Ini amat menggembirakan Raja Daeng Parani namun perasaan itu dipendam sahaja di dalam hati.
"Benarlah kiraan tuan hamba. Adapun hajat hamba tidaklah terlalu besar. Cukuplah hamba katakan kiranya tuan hamba sanggup menabur budi." Raja Daeng mulai berkias sebelum menerangkan permintaan sebenarnya.
"Baiklah. Kecil tapak tangan nyiru hamba tadahkan. Hamba sudi menghulur budi jika keadaannya darurat. Maka apakah bentuk pertolongannya?"
"Hamba pohon agar tuan hamba mencari jasad hamba. Adapun kini hamba terperangkap di dalam penjara bawah perahu layar bersama seorang tuan puteri yang terlalu elok rupanya."
"Hmm permintaan tuan hamba ini amat berat mahu hamba tunaikan. Syahadan terlalu banyak perahu layar di lautan ini. Insya-Allah hamba akan cuba sedaya upaya mencari gerangan tuan hamba."
"Baiklah wahai Sang Belang yang masyhur. Hamba meminta izin mengundurkan diri. Hamba menanti kehadiran tuan hamba dengan penuh sabar. Insya-Allah."
Kawasan putih dan bayangan kelibat lelaki itu perlahan-lahan lenyap dari penglihatannya. Mata Sang Belang kembali celik. Kini dia berada di dunia nyata.
'Pasti kalian menyangka hamba telah mati' Dia mendengar suara hilaian tawa manusia yang bersuka ria di atas kapal itu.
Sang Belang turut menghamburkan tawanya. Suara tawanya yang garau itu kedengaran sedikit ngeri. Keadaan yang riuh dengan gelak tawa manusia tadi beransur sepi.
Tiba-tiba sahaja suasana di atas kapal itu senyap sunyi seperti berada di kawasan tanah perkuburan. Para tentera itu mulai pucat lesi mendengar hilai tawa Sang Belang.
"Hahahahaha!" Sang Belang bingkas berdiri dengan gagah.
Matanya memerhatikan seorang demi seorang manusia di hadapannya. Mereka kini mulai mengundurkan diri. Riak pucat jelas kelihatan pada wajah mereka.
"Kalian gentar ya? Usah khuatir. Hamba tidak akan membunuh kalian semua." Sang Belang berjalan setapak demi setapak. Terasa sedikit gegaran pada kapal layar itu setiap kali dia melangkah kaki.
"Hamba mahu mencari Daeng Parani." Sang Belang terus melompat tinggi dari sebuah kapal menuju ke sebuah kapal. Manusia di atas kapal itu hanya melihat sahaja tanpa membuat apa-apa.
Setiap kapal yang menjadi kawasan loncatan Sang Belang pasti akan tenggelam timbul seketika akibat dari hempapan tubuh bersaiz besar itu.
Sang Belang terus memerhatikan setiap kapal. Dia cuba mencari Daeng Parani mengikut firasat dan gerak hatinya. Mata Sang Belang tertancap pada satu kapal yang cukup besar.
Saiz kapal layar itu tampak lebih besar dan gah berdasarkan dari reka bentuk dan warnanya yang kehitaman. Kapal layar itu mempunyai empat batang tiang layar.
"Hamba yakin Daeng Parani berada di sini." Sang Belang mendaratkan kakinya pada lantai kapal itu. Bergegar seketika kapal itu.
Sang Belang memerhati sekeliling kapal itu. Senyap sunyi. Langsung tiada kelibat seorang anak kapal. Dia berjalan meninjau keadaan kapal itu.
"Aneh. Tiada kelibat seorang manusia." Sang Belang berjalan menuju ke arah pintu yang menghala ke dalam perut kapal.
"Hey you!" Sergah satu suara dari belakang.
"Watch your step." Sang Belang memalingkan tubuhnya. Seorang orc sedang menghalakan senapang busur ke arah dirinya.
"Itu sajakah kekuatan tuan hamba?" Sang Belang senyum sinis.
Tanpa mempedulikan orc tersebut Sang Belang melangkah masuk ke dalam menyusuri tangga bawah menuju ke dalam perut kapal.
YOU ARE READING
Panglima Hitam
FantasyMengisahkan perjuangan dan pengorbanan sekumpulan tentera elit dalam mempertahankan kedaulatan negara dan anak bangsa. Diinspirasikan daripada peristiwa hitam Lahad Datu yang melanda negara kita pada tahun 2013 yang lalu. Terdapat sedikit unsur-unsu...