Daeng Khalid dan Daeng Parani bersiap siaga di dalam bilik kurungan yang kelam itu. Mereka berdua kini telah bebas sepenuhnya. Tiada lagi tali yang mengikat ketat anggota kaki dan tangan.
Bahkan mereka juga bebas berbual tanpa perlu terseksa menghidu bau loya daripada kain yang mengikat mulut. Cuma satu perkara sahaja menggusarkan mereka, yakni disedari pihak musuh.
Sehingga kini tiada seorang pun lanun bangsa Moro yang menjengah masuk ke dalam bilik kurungan mereka. Ia sesuatu yang memudahkan urusan mereka berdua untuk merancang gerakan seterusnya.
Daeng Khalid cuba mengamati keadaan di dalam bilik kurungan mereka berdasarkan sedikit bekalan cahaya daripada lampu bot di luar yang menerobos masuk ke dalam celahan lubang-lubang kecil dinding bot.
"Apa plan kau?" Soal Daeng Parani dalam samar-samar gelap. Hanya bayangan tubuh dan kepala iparnya sahaja yang mampu dilihat dengan pancaindera penglihatan kini.
"Macam biasa. Redah. Kita keluar dari bilik ni senyap-senyap tanpa disedari mereka, selamatkan Angelica dan kalau ada rezeki kita tawan bot ini terus."
'Redah?' Daeng Parani membuntangkan mata di dalam gelap. Hampir koma seketika sewaktu mendengar idea berani mati daripada Daeng Khalid.
Nampaknya memang benarlah apa yang sering dikatakan oleh rakan-rakan perajuritnya di dalam skuad KD Panglima Hitam bahawa iparnya itu seorang kepala gila. Bahkan lebih gila daripada Panglima TLDM sendiri.
Baru beberapa jam lepas mereka telah meredah masuk ke dalam istana Sultan Nisfu Syaaban. Dan kini mereka akan melakukannya sekali lagi di dalam bot yang sarat dengan askar-askar musuh.
Daeng Parani termenung seketika.
"Err Khalid.." Sampuk Daeng Parani takut-takut.
"Ya?"
"Kau tak rasa ke rancangan kau tu nampak gila?"
"Maksud kau?"
"Kau biar betul nak redah macam tu je? Kita dah la tak ada senjata sekarang. Tadi pun kau tengok berapa ramai diorang tu atas bot ni. Tak akan kita nak hadap diorang dengan tangan kosong?"
"Parani, kita tak ada masa nak fikirkan semua tu sekarang. Makin lama kita berfikir makin banyak masa yang terbuang. Terpulang atas kau. Kalau kau rasa nak tunggu dalam bilik ni silakan. Aku nak keluar."
Tanpa melengahkan masa Daeng Khalid pantas menerpa ke arah pintu bilik kurungan mereka. Daeng Parani hanya mampu mengeluh kecil. Tanpa sebarang soal dia juga membontoti langkah iparnya.
"Bagus macam ni lah." Ujar Daeng Khalid. Entahkan memuji atau memerli ayat tersebut. Daeng Parani mengherotkan bibirnya tanda menyampah.
"Tak ada pilihan. Tak ikut kang kena tuduh ingkar arahan pula. Macam tak tau sangat perangai kau tu. Tak habis-habis salah guna kuasa kat aku." Balas Daeng Parani berbasa-basi.
Dia sudah masak benar dengan tingkah iparnya itu. Lebih baik dia ikut sahaja daripada dikenakan tindakan tatatertib kelak. Naya.
"Pandai pun ipar aku ni." Daeng Khalid menepuk lembut bahu iparnya seraya mengenyitkan mata di dalam gelap. Sudah pasti Daeng Parani tidak nampak perbuatannya itu.
Daeng Khalid kemudiannya bertindak mengetuk pintu bilik kurungan mereka dengan tujuan untuk mengumpan perhatian lanun Sulu. Tiada respon.
Daeng Khalid mengetuk lagi. Tempo ketukannya dikuatkan sedikit dengan harapan ada lanun-lanun Sulu yang mendengar. Masih tiada respon.
Namun setelah berulang kali mengetuk akhirnya mereka mendengar sesuatu. Halwa telinga mereka menangkap bunyi derapan kaki yang menghala ke arah pintu bilik kurungan.
YOU ARE READING
Panglima Hitam
FantasyMengisahkan perjuangan dan pengorbanan sekumpulan tentera elit dalam mempertahankan kedaulatan negara dan anak bangsa. Diinspirasikan daripada peristiwa hitam Lahad Datu yang melanda negara kita pada tahun 2013 yang lalu. Terdapat sedikit unsur-unsu...