Di dalam kedinginan dan kegelapan waktu awal subuh hari terlihat sebuah bot bersaiz sederhana yang sedang pegun di tengah lautan. Keadaan ia ketika itu sedikit terhuyung-hayang dek pukulan ombak kecil.
Jika dilihat dari luar ia hanyalah sebuah bot biasa. Namun dalam perut bot itu terdapat dua insan yang sedang duduk berlipat dalam keadaan terikat. Malang tidak berbau. Itulah nasib yang menimpa Daeng Khalid dan Daeng Parani.
Siapa sangka sebuah bot yang menghampiri mereka tadi rupanya adalah milik lanun laut berbangsa Moro, yakni tentera Sulu yang masih taat setiap kepada raja mereka, Sultan Nisfu Syaaban.
Bantuan yang disangka berkunjung tiba sebaliknya bertukar menjadi sebuah bencana. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Jika tadi mereka telah terlepas dari mulut buaya nampaknya kini termasuk pula ke dalam mulut sang rimau.
Sudah lah terperangkap di tengah lautan, hubungan komunikasi terputus, bekalan peluru senjata dan makanan juga sudah habis dan kini mereka telah bertukar posisi daripada seorang perajurit kepada tawanan perang pula.
Ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan mereka berdua. Nampaknya bantuan yang sebenar belum lagi menjadi kenyataan. Kepada Allah sahaja, mereka mampu berserah.
Apakah agaknya takdir yang bakal menyusul mereka selepas ini? Ajal atau masih bernyawa? Ia hanya mampu bermain di fikiran. Tiada siapa yang tahu akan rahsia qada' dan qadar daripada Tuhan.
'Bantulah hambaMu ini Ya Allah!'
Daeng Parani meratap di dalam hati. Mindanya mulai terbayangkan wajah satu per satu insan yang disayanginya. Segala kenangan suka dan duka mulai berputik.
Akalnya ligat mmpersoal apakah mereka mampu bertemu lagi selepas ini? Atau hanya jasad yang sudah terbujur kaku sahaja yang bakal menjadi tatapan untuk mereka.
Daeng Parani mulai sebak. Mulutnya tidak mampu lagi mengeluarkan suara sementelah diikat dengan kain buruk yang benar-benar buruk, kotor, berkepam dan mengeluarkan bau busuk.
Ia sedikit sebanyak menerbitkan rasa mual dan loya sewaktu mulutnya diikat sebentar tadi oleh dua orang lanun Sulu akibat terlalu banyak bercakap dan melawan.
Begitu juga dengan Daeng Khalid. Kedua-dua kaki dan tangan mereka telah diikat dengan ketat. Mereka kini hanya mampu mengerekot dalam keadaan mengiring. Keadaan gelap di dalam bilik yang didiami mereka kini sedikit menyulitkan keadaan.
Daeng Khalid tidak pasti apakah nasib yang menimpa Angelica dan rakannya. Dia berdoa agar dua gadis sumandak itu tidak menjadi habuan pemuas nafsu serakah lanun-lanun yang langsung tidak bertamadun itu.
Daeng Khalid mengubah posisi tubuhnya dengan mengiring ke kiri membelakangi tubuh Daeng Parani. Dalam samar-samar kegelapan di dalam bilik tersebut dia cuba mengeluarkan pisau pelipat yang diselit di celah poket rahsia di dalam seluarnya.
Tangannya cuba menyeluk masuk namun tidak berjaya. Seluar yang disarungnya ketat dek ikatan tali pinggang. Malah pisau itu pula terletak betul-betul di bahagian alur punggung. Ia sukar sama sekali kerana pergelangan tangannya telah diikat.
Nampaknya Daeng Khalid tiada pilihan. Terpaksalah dia meminta pertolongan daripada iparnya. Dia menepis jauh-jauh fikiran kotor hayasanya Daeng Parani akan menyeluk bahagian punggungnya padahal memang itu yang terpaksa dilakukan pun.
Timbul pula perasaan geli dan jijik. Namun terpaksa dibuang jauh-jauh. Ini bukanlah masanya untuk berfikiran kotor. Dengan perasaan tidak rela Daeng Khalid pantas menegur iparnya.
"Emphh, emphh." Dalam keadaan mulut terikat Daeng Khalid menegur iparnya berkali-kali namun tiada respon.
Tidak cukup dengan itu dia juga turut menjerit namun masih dikawal nada suaranya agar tidak didengari musuh yang sedang berjaga di luar. Daeng Khalid mulai panas hati. Dia sudah tidurkah?
YOU ARE READING
Panglima Hitam
FantasyMengisahkan perjuangan dan pengorbanan sekumpulan tentera elit dalam mempertahankan kedaulatan negara dan anak bangsa. Diinspirasikan daripada peristiwa hitam Lahad Datu yang melanda negara kita pada tahun 2013 yang lalu. Terdapat sedikit unsur-unsu...