Suasana pagi itu tenang seperti biasa. Dari tepian pantai kelihatan dua belas buah jong perang yang berdiri megah di tengah laut dengan kain layar berwarna putih berlambangkan kepala harimau yang diapit dua bilah keris berkibaran ditiup angin.
Aktiviti memunggah barangan yang berlangsung selama beberapa jam semalam telah pun selesai sepenuhnya. Kini boleh dikatakan hampir kesemua barangan berada di markas tepian pantai.
Hanya beberapa orang sahaja yang dilihat menghuni jong tersebut atas arahan Raja Daeng Parani. Orang-orang laut pula ditugaskan untuk meronda dan menjaga kawasan perairan sekitar.
Ironinya kapal-kapal perang tentera pimpinan Azazil tidak lagi kelihatan sejak tewas dalam pertempuran tempohari. Barangkali mereka telah belayar jauh ke tengah lautan. Sama ada mengundur diri untuk merencana strategi baru atau melarikan diri. Ia di luar pengetahuan mereka.
Apa yang pasti ketika ini mereka harus bersiap siaga untuk dua perkara. Pertama menantikan ketibaan tentera bantuan yang dipinta Raja Daeng Parani. Kedua menunggu serangan balas daripada bala tentera Azazil.
Raja Daeng Parani optimis makhluk jin itu pasti juga bertindak perkara yang sama. Menyeru bantuan ketenteraan untuk pertempuran kali kedua. Firasatnya dapat mengesan getaran gelombang asing yang kini sedang cuba memasuki ke alam mereka.
Satu perkara yang pasti, perang yang sebenar dijangka akan meledak tidak lama lagi. Perang yang bakal menjadi medan pertempuran terakhir antara dua pihak yang berlainan ambisi dan matlamat.
Satu pihak mahu masuk ke pintu dunia nyata yang dihuni anak-anak bani Adam dan Hawa. Satu pihak lagi pula akan cuba mempertahankan pintu masuk ke dunia tersebut sebaik-baiknya seperti yang diamanatkan.
Nun di tepian pantai sana kelibat Che Siti Wan Kembang dilihat bermundar mandir seorang diri sambil dikawal oleh beberapa orang pengawal yang berdiri tidak jauh dari baginda.
Riak wajahnya cemas menggambarkan sesuatu. Kegelisahan itu berlanjutan gara-gara pihak yang menjanjikan bantuan masih lagi belum berkunjung tiba sejak waktu subuh seperti yang diperkatakan Raja Daeng Parani.
Sebagai seorang komander yang terlibat dalam merencanakan taktikal peperangan sudah pastilah baginda berasa risau. Mana lah tahu jika pihak itu hanya sekadar berjanji tetapi tidak pula ditepati. Inilah yang merunsingkan baginda.
Tika itu Raja Daeng Parani pula baru sahaja usai menunaikan solat sunat dhuha. Baginda bingkas keluar dari khemahnya mahu menghirup udara segar.
Terasa tenang sedikit hatinya beberapa hari ini. Tiada lagi aktiviti peperangan buat sementara waktu. Dapatlah baginda bersantai seketika meskipun peperangan masih lagi berlanjutan.
Dan tanpa disangka sepasang mata baginda menangkap kelibat seseorang di tepian pantai. Pantas langkah tapaknya menuju ke arah kelibat itu.
"Mengapakah adinda kelihatan bermuram durja? Apa yang berlaku?" Tegur Raja Daeng Parani prihatin dari belakang sambil mengemaskan kedudukan tanjak di atas kepala.
"Kus semangat! Ah kanda. Mengapa tidak memberi salam terlebih dahulu. Terperanjat adinda. Buatnya adinda diserang jantung tadi bagaimana?" Che Siti Wan Kembang menjeling tajam sambil mengurut dadanya.
"Maaf." Raja Daeng Parani sekadar menayangkan sengihan di bibirnya. "Apa yang mengganggu fikiranmu?" Soal baginda kembali serius.
"Tiada apa. Cuma.."
"Cuma apa?"
Che Siti Wan Kembang menghela nafasnya. "Di manakah bantuan yang kanda janjikan itu? Sehingga kini tidak kelihatan bayangan tubuh mereka sejak waktu subuh. Jangan katakan bayangan tanda-tanda juga langsung tiada."
YOU ARE READING
Panglima Hitam
FantasíaMengisahkan perjuangan dan pengorbanan sekumpulan tentera elit dalam mempertahankan kedaulatan negara dan anak bangsa. Diinspirasikan daripada peristiwa hitam Lahad Datu yang melanda negara kita pada tahun 2013 yang lalu. Terdapat sedikit unsur-unsu...