41

596 33 3
                                    

Raja Daeng Manambong merenung tajam barisan tentera orc di hadapannya. Dia memejamkan mata. Nafas ditarik sedetik lalu lidahnya terkumat kamit membaca kalimah mantera ilmu hikmat.

Dengan perlahan tiupan angin dihembuskan daripada bibirnya. Satu fenomena aneh mulai berlaku. Tiba-tiba sahaja terbitnya angin puting beliung yang sangat besar mendahului raja itu.

Angin puting beliung itu bergerak laju menuju tepat ke arah ratusan ribu bala tentera orc itu. Hanya dengan sekali lalu sahaja habis berterbangan barisan tengah tentera itu.

Melihatkan peluang itu Raja Daeng Manambong mengisyaratkan tentera harimau di belakangnya berpecah kepada tiga kumpulan.

Satu kumpulan menyerang di bahagian sayap kiri dan kanan satu kumpulan lagi berada di tengah-tengah untuk mengepung makhluk di hadapan mereka.

Tentera orc tergamam apabila mendapati beratus ekor harimau pelbagai spesis menyerang mereka secara mengejut sebaik sahaja puting beliung besar beransur pergi.

Ramai yang mati akibat dicakar, digigit dan dibaham haiwan pemangsa itu. Strategi Raja Daeng Manambong menampakkan hasilnya.

Panglima Rimau dan Raja Rimau giat bertarung dengan penuh lincah. Mereka bertarung secara dekat dan saling membantu antara satu sama lain. Terserlah keserasian antara dua makhluk berlainan itu.

Barisan tentera orc seakan kehilangan punca apabila senjata tajam dan senjata api mereka langsung tidak memberikan sebarang kesan kepada harimau-harimau itu.

Melihatkan keadaan itu Komander Abrahah mulai resah. Otaknya ligat memikirkan bagaimana mahu menumpaskan haiwan pemangsa itu.

"Kalau serigala jadian kelemahannya panah perak atau peluru perak. Cuba gunakan peluru perak kepada mereka." Arahan Komander Abrahah disampaikan melalui bahasa isyarat yang dikibarkan melalui bendera.

Para panglima tentera orc mengangguk faham. Lantas diambil beberapa butir peluru peledak perak untuk diisi di dalam senapang dan pistol.

Barisan penembak itu kemudiannya mara membantu tentera orc yang mulai berundur kerana tidak mampu menangkas serangan haiwan ganas itu.

"Tembak!"

Pamm! Pamm! Pamm!

Bertalu-talu bunyi tembakan dilepaskan daripada pistol dan senapang berpeluru perak itu ke arah harimau-harimau itu.

Pasukan penembak itu tergamam seketika apabila kehabisan peluru. Mereka melihat tentera harimau itu diam tidak berkutik.

"Kenapa diorang senyap?" Tegur salah seorang penembak itu.

Perlahan-perlahan mereka cuba mara ke hadapan. Baru sahaja hendak mengaturkan beberapa tapak haiwan-haiwan itu dilihat mara ke hadapan menuju ke arah mereka.

"Alamak mati kita." Mereka berkira-kira mahu berundur ke belakang.

"Eh nanti kejap. Cuba tengok betul-betul." Mereka perhatikan terdapat kesan tompokan darah pada haiwan pemangsa itu.

Baru mereka perasan harimau-harimau itu kelihatan sedikit tercungap dan langkah mereka juga kian lemah.

Beberapa saat kemudian seekor demi seekor makhluk raja rimba itu rebah ke bumi. Melihatkan hal itu barisan penembak itu bersorak keriangan.

Kini mereka telah mengetahui kelemahan haiwan pemangsa itu. Dengan penuh semangat mereka membawa peluru perak sebanyak mungkin lalu menyerang saki baki harimau yang masih hidup.

Serang balas daripada pasukan penembak itu menghidupkan semula semangat tentera orc. Bilangan tentera harimau kini mulai berkurangan.

Sementara Raja Daeng Manambong dan Raja Rimau hanya mampu melihat barisan tentera mereka mulai berkurangan sedikit demi sedikit. Pasukan tentera berperisai masih jauh di belakang.

Panglima HitamWhere stories live. Discover now