Hening. Begitulah suasana di atas kapal Sultan Muhammad al-Fatih ketika ini. Hanya bunyi ombak sahaja yang kedengaran. Cuaca pada tengah hari itu baik tidak terlalu panas.
Ditambah dengan hembusan bayu laut bertiup lembut dari awangan, ia membangkitkan perasaan mood santai. Tetapi berbeza dengan situasi sebenar yang berlaku ketika ini.
Nun di atas kapal, sekalian anggota kru kapal dilihat berkumpul memenuhi setiap penjuru sudut kapal. Semuanya gara-gara kehadiran tetamu istimewa di atas kapal mereka.
Tiga orang lelaki yang berpakaian songket berwarna hitam telah menarik perhatian mereka. Manakan tidak, gaya pakaian dan susuk fizikal tiga lelaki itu tampak sedikit berlainan.
Tidak seperti bangsa Arab mahupun bangsa Eropah di mana ketinggian tiga lelaki itu hanya paras sederhana sahaja yakni sekitar 5 kaki lebih sahaja. Malah saiz tubuh mereka juga agak kecil sedikit.
Ketibaan sebuah kapal layar bersaiz kecil dari arah pantai sebentar tadi telah disambut dengan baik oleh angkatan armada laut Turki Ottoman memandangkan anak-anak kapal tersebut dilihat mengibarkan bendera berwarna putih tanda berdamai.
Ditambah pula dengan pengakuan Islam sebagai agama anutan melalui lafaz kalimah syahadah ia membuatkan sekalian anggota anak kapal berasa teruja untuk meraikan saudara jauh mereka.
Sultan Muhammad al-Fatih dan Sultan Suleiman melemparkan senyuman manis. Teruja menyambut kehadiran saudara Muslim yang berasal dari Timur itu.
Baginda berdua berdiri tegak sambil memeluk tubuh menerima kunjungan masuk tiga lelaki itu.
Adik-beradik Jeneral Barbarossa juga turut dilihat berada di sisi baginda berdua selain daripada barisan pembesar dan panglima kanan. Seperti dua sultan tersebut, riak wajah dua jeneral itu tampak teruja.
Sultan Muhammad al-Fatih tunak memerhatikan setiap inci pelosok tubuh tiga tetamu istimewa baginda. Pakaian seragam yang disarung lelaki itu tampak unik. Adakah ini pakaian tradisi bani Tamim?
"Biarkan mereka masuk." Arah Sultan Suleiman kepada para pengawal lalu terpacul tiga kelibat lelaki dari kapal layar tersebut.
Tiga lelaki berbaju songket berwarna hitam itu pada mulanya dilihat duduk dalam keadaan sebelah melutut sambil dua tangan dilaga ke hadapan tepat di atas bahagian ubun-ubun.
Kemudian mereka mengorak langkah perlahan-lahan dalam keadaan separa membongkok sambil tangan kanan dilorong ke hadapan sebanyak tiga tapak sebelum berhenti mengulangi langkah sembah tadi.
"Apa yang mereka bertiga lakukan?"
Sultan Muhammad al-Fatih dan Sultan Suleiman terpesona melihat protokol sembah masuk yang dipersembahkan tiga lelaki itu. Perasaan aneh terbit melihatkan cara tiga lelaki itu menghadap dua sultan Turki tersebut.
Ia sesuatu yang sangat unik dan tidak pernah dilihat mereka berdua sebelum ini. Bangsa apakah agaknya tiga lelaki ini? Inikah bangsa Tamim yang sering digembar gemburkan itu?
Selesai menjalani protokol sembah masuk menghadap raja, tiga lelaki itu mara beberapa tapak ke hadapan dalam keadaan separa membongkok lalu kekal duduk dalam keadaan sebelah kaki melutut sebelum salah seorang mulai bersuara.
"Ampun tuanku baginda khalifah kerajaan Islam Uthmaniyyah beribu ampun, sembah patik sekalian harap diampun." Ujar salah seorang sambil merapatkan telapak tangan di atas ubun-ubun.
Sultan Muhammad al-Fatih dan Sultan Suleiman mengangguk ringkas. Mujur sajalah dua raja itu mempunyai sedikit pengetahuan asas bahasa yang dituturkan lelaki itu. Ia adalah bahasa bani Tamim.
"Tuanku, sudah menjadi resam adat bangsa Melayu, hidup kami senantiasa bertunjangkan pemerintah di bawah naungan duli raja-raja. Bak kata bidalan jika rakyat itu adalah akarnya maka raja itu adalah pohonnya. Jika rakyat itu adalah anak maka raja itu ibarat bapanya."
YOU ARE READING
Panglima Hitam
FantasyMengisahkan perjuangan dan pengorbanan sekumpulan tentera elit dalam mempertahankan kedaulatan negara dan anak bangsa. Diinspirasikan daripada peristiwa hitam Lahad Datu yang melanda negara kita pada tahun 2013 yang lalu. Terdapat sedikit unsur-unsu...