69

562 26 2
                                    

"Oh jadi macam tu lah ceritanya. Patut la kau tergesa-gesa panggil kitorang ke lereng bukit lepastu." Daeng Khalid mengangguk faham setelah mendengar jalan cerita iparnya.

"Ya. Masa tu jugak lah korang nampak beratus ribu hulubalang berhimpun dekat tepi pantai. Tak akan la aku sorang je nak tengok kan. Tak best lah."

"Tapi serius lah kau lama ada kat sana? Macam tak percaya je."

"Haah Khalid. Serasa aku kan, aku ada kat sana dalam dua minggu tau. Bila aku celik mata aku balik aku ada kat bawah pokok. Tengok je jam rupanya baru 3 jam je aku tidur."

"Kau tidur?! Tengah perang kau boleh tidur Parani?! Dekat tepi pantai sorang-sorang pulak tu. Eh kau ni memang gila lah. Nak tempah maut ke apa??"

"Hak ela kau ni. Banyak bunyi pulak. Benda dah berlaku dah pun. Ni kau nak dengar cerita aku lagi ke tak ni?"

"Teruskan."

***

Raja Daeng Parani merenung tajam seteru di hadapan baginda. Azazil menyeringai dengan senyuman sinisnya. Sang Belang telah pun membawa keluar Puteri Mawar Hitam dari kapal itu.

"Jadi ini lah masanya untuk tuan hamba membuktikan kemahiran beradu tuan hamba." Azazil mengeluarkan sebilah pedang yang ditarik dari tulang tangannya.

'Makhluk apakah ini?'

Raja Daeng Parani mengundur setapak kerana tergamam.

"Sudah hamba bilang. Hamba adalah keturunan Iblis." Azazil seakan dapat membaca isi hati Raja Daeng Parani.

"Iblis atau manusia. Dua-dua adalah hamba yang Maha Esa. Beza antara tuan hamba dan hamba hanyalah asal usul kejadian sahaja. Adapun hamba berasal dari tanah, tuan hamba pula ciptaan dari api, kerana kebongkakan moyang tuan hamba jualah, tuan hamba sekaliannya dihalau keluar dari syurga."

"Usah bersyarah lagi wahai tuan hamba. Bernanah telinga hamba mendengarnya."
Tanpa disangka Azazil bergerak laju. Pedangnya dihalakan tepat ke arah dada raja itu.

"Hiyargh!" Raja Daeng Parani yang berada dalam posisi siap sedia pantas melompat ke tepi lalu berguling ke belakang.

Sewaktu Azazil menunduk Raja Daeng Parani pantas melonjakkan tubuh ke hadapan dengan menggunakan kekuatan kekuda. Keris Taming Sari pantas disua pada tubuh Azazil.

"Huh?" Baginda tergamam seketika apabila mendapati tubuh Azazil lenyap tiba-tiba.

"Tidak cukup pantas wahai Tuanku." Bisik Azazil dari tepi lalu menyepak kuat dada Raja Daeng Parani hingga terpelanting ke belakang.

Raja Daeng Parani berkerut dahi menekup dadanya. Terasa perit. Kekuatan Azazil sungguh luar biasa memandangkan ia adalah jelmaan seekor jin.

"Bagaimana Tuanku?" Azazil senyum mengejek.

"Laknatlah engkau wahai setan durjana!" Sekali lagi Raja Daeng Parani melancarkan serangan bertubi-tubi.

Ternyata Azazil bukanlah tandingan manusia biasa. Serangan dilancarkan Raja Daeng Parani hanyalah sia-sia. Pergerakan Azazil sangat pantas bagaikan angin. Mudah sahaja dia mengelak setiap serangan yang direncana baginda.

'Benarlah. Amat mustahil bagi manusia biasa mahu tewaskan seekor jin'

Raja Daeng Parani bertafakur seketika. Azazil hanya mengukirkan senyuman sinis. Perlahan-lahan ia menghampiri manusia yang sedang duduk berlutut itu.

"Mengapa wahai Tuanku? Tuanku sudah menyerah kalah kah?" Ejek Azazil.

"Atau Tuanku mahu bacakan ayat Qursi lalu dihembus kepada patik?" Sambungnya lagi.

"Oh Tuanku mahu.." Belum sempat Azazil menghabiskan ayat satu letupan kecil bergema di dalam kapal itu. Pumm!

"Tembak patik dengan senjata api? Bijak Tuanku. Memang bijak." Azazil senyum kecil. Barangkali tidak terkesan dengan tindakan mengejut raja itu.

Raja Daeng Parani hanya mendiamkan diri. Raut wajahnya kelihatan serius sewaktu baginda mengacu senjata pemuras tepat ke arah jin itu.

"Apa yang menyebabkan Tuanku berasa yakin tembakan Tuanku mampu membunuh patik?"

"Lihatlah dada kamu." Arah Raja Daeng Parani tenang.

Azazil melihat dada seperti yang diarahkan. Pada kesempatan itu Raja Daeng Parani menikam permukaan kaki jin itu dengan buluh runcing.

"Apakah ini?" Azazil membeliakkan wajahnya kerana terkejut. Buluh runcing sepanjang satu meter itu terbenam pada permukaan kaki jin itu.

"Coba rasakan ini pula." Raja Daeng Parani menusuk keris Taming Sari tepat pada bahagian jantung Azazil.

Mata Azazil terbeliak bagaikan melihat sesuatu yang ngeri. Lidahnya terjelir keluar seolah dijerut. Raja Daeng Parani menarik perlahan-lahan keris yang ditusuk pada jantung jin itu.

Dalam beberapa saat Azazil tumbang di atas lantai kapal. Baginda mengungkapkan kalimah alhamdulillah tanda syukur.

"Semoga rohmu bersemadi dengan aman."

Baru sahaja baginda berhajat mahu melangkahkan kaki dari situ baginda dikejutkan dengan bunyi tawa seseorang.

Raja Daeng Parani terkejut besar sebaik sahaja baginda memalingkan tubuh ke belakang. Azazil masih teguh berdiri bersama hilaian tawanya.

***

Sementara itu barisan hulubalang Melayu berjuang bermati-matian menentang tentera orc di medan perang. Pasukan tentera kerbau berjaya mengucar kacirkan barisan pertahanan makhluk itu.

Keadaan makin gamat apabila ramai tentera orc mengundur diri. Rata-rata mereka bertindak kembali ke markas utama. Ada sesetengah pula yang lari ke hutan dan laut.

Tentera kerbau pantas berpecah kepada tiga kumpulan. Satu kumpulan menghala ke hutan dan laut dan satu kumpulan lagi mara ke kawasan penempatan musuh.

Ternyata segala strategi dan arahan yang diberikan Raja Daeng Kamase dipatuh dan diikuti sebaik mungkin oleh tentera kerbau. Mereka berjaya menghampiri khemah-khemah yang menjadi markas utama makhluk itu.

Melihatkan itu Raja Daeng Kamase segera memberi isyarat tangan kepada Laksamana Nadim.

"Maraaa!" Laksamana Nadim memahami maksud isyarat tangan tersebut. Beliau pantas mengarahkan tentera gajah yang membawa skuad pemanah dan pendekar handalan mara ke hadapan.

Tentera gajah mara dengan berpusu-pusu. Suara sorakan bergema dengan penuh semangat. Dalam sekelip mata kawasan itu dipenuhi dengan debu-debu pasir yang bertebaran akibat hentakan makhluk itu.

Raja Daeng Kamase dan barisan tentera pengawalnya yang setia hanya melihat sahaja kemaraan tentera gajah di bawah pimpinan Laksamana Nadim.

"Beta yakin kita pasti menang peperangan ini dengan izin Allah."

Laksamana Nadim memimpin barisan tentera gajah. Dia memicingkan mata apabila melihat barisan tentera kerbau berada dalam satu barisan lurus di hadapan. Matanya kemudian menangkap satu pemandangan yang cukup mengejutkan.

"Oh tentera dubuk dan tentera babi rupanya."

Di hadapan mereka kini terdapat beribu-ribu tentera orc yang sedang menunggang dubuk dan juga babi hutan. Saiz kedua-dua makhluk itu dilihat kecil sedikit berbanding kerbau yang ditunggang para hulubalang.

"Ini baru lah buku bertemu ruas!"

Panglima HitamWhere stories live. Discover now