Sultan Nisfu Syaaban tidak dapat melelapkan pada malam itu. Entah kenapa dia merasa seperti kurang enak. Seperti ada yang tidak kena.
Baginda memisatkan mata dengan jari sebelum mencelik. Baru sahaja dia berkira-kira mahu mengiringkan tubuh telinganya menangkap bunyi tapak kaki berjalan perlahan.
Baginda mengerutkan dahi. Terus dia bangun untuk melihat siapakah gerangan yang berani menceroboh kamar peribadinya. Alangkah bukan main terkejut lagi apabila mendapati dua lembaga berpakaian hitam di dalam kamarnya.
"Hei!" Baginda menyergah dua lembaga itu.
Daeng Khalid yang baru bercadang mahu membelek buku-buku yang disusun rapi di dalam rak terperanjat disergah oleh seseorang.
Dalam keadaan samar-samar melihat wajah sultan muda itu kelihatan takut-takut. Perlahan-lahan dia menapak ke hadapan menghampiri tubuh bersarung pakaian tidur itu.
"Assalamualaikum Nisfu Syaaban." Daeng Khalid mengucapkan salam namun tidak dijawab. Dia menarik kerusi sebelum duduk menghadap sultan itu.
"Aku tau kamu Muslim. Jawab aje lah." Lucius bertindak menterjemahkan butir bicara ketuanya itu di dalam bahasa Tagalog yakni bahasa ibunda Sultan Nisfu Syaaban.
"Wa.. Alaikum..mussalam." Jawab baginda sedikit terketar.
"Siapa kau?" Sultan Nisfu Syaaban memandang Lucius yang setia berdiri di tepi katil baginda sambil memegang senjata raifalnya.
"Saya orang Malaipura. Dan itu adalah ketua saya. Tujuan kami berada di dalam bilik awak adalah untuk menyampaikan mesej daripada pihak Malaipura." Lucius dengan tenang menjelaskan tujuan keberadaan mereka di dalam kamar itu.
"Berani betul kalian menceroboh bilik beta? Kenalkah kalian siapa beta? Beta adalah Sultan Nisfu Syaaban, pewaris sah kerajaan kesultanan Sulu!" Jawab baginda dengan angkuh.
Lucius berasa sedikit berang. Segera diterjemahkan ayat sultan itu kepada ketuanya.
Baginda sedikit pun tidak berasa gentar dengan dua tentera musuhnya itu. Daeng Khalid kelihatan tenang duduk di atas kerusi.
"Sultan yang tak pernah diiktiraf oleh dunia. Kerajaan Filipina pun tak mengakui kewujudan kamu. Menyedihkan." Sampuk Daeng Khalid bersahaja.
Sultan Nisfu Syaaban memandang wajah Daeng Khalid dengan menyinga. Baginda mengepal penumbuknya. Matanya merenung tajam wajah musuh di hadapannya ini.
Ikutkan hati mahu sahaja baginda menyerang namun mengenangkan musuh di sebelah mengacukan senjata dibatalkan sahaja hasratnya itu.
"Adat Melayu hidup bernaungkan sultan kerana sultan itu ibarat pohon dan rakyat itu ibarat akarnya. Dua-dua saling melengkapi." Daeng Khalid memulakan mukadimahnya.
Lucius menterjemahkan bait-bait ayat yang diucapkan ketuanya. Sultan Nisfu Syaaban hanya mendengar tanpa menyampuk.
"Tetapi Laksamana Hang Jebat pernah berkata raja yang adil raja disembah, raja yang zalim raja disanggah. Sebab itu dia berani menderhaka kepada sultannya. Berbeza dengan prinsip Laksamana Tun Tuah. Setia yang membuta tuli."
Daeng Khalid merenung tajam wajah Sultan Nisfu Syaaban. Perlahan-lahan dia menghampiri tepi katil. Jaket kalis peluru ditanggalkan pada tubuhnya sekali gus. Hanya kain baju sahaja yang menutupi badan.
Dia kemudian mengeluarkan sepucuk pistol yang telah dipasang penyenyap. Lucius dan Sultan Nisfu Syaaban sedikit bingung dengan tindakannya itu. Mahu bunuhkah?
"Tembak aku." Daeng Khalid menyerahkan pistol tersebut kepada Sultan Nisfu Syaaban. Lucius sedikit terperanjat.
Tanpa teragak-agak Sultan Nisfu Syaaban terus merampas pistol tersebut lalu menembak dada Daeng Khalid bertubi-tubi sehingga kehabisan peluru.
YOU ARE READING
Panglima Hitam
FantasíaMengisahkan perjuangan dan pengorbanan sekumpulan tentera elit dalam mempertahankan kedaulatan negara dan anak bangsa. Diinspirasikan daripada peristiwa hitam Lahad Datu yang melanda negara kita pada tahun 2013 yang lalu. Terdapat sedikit unsur-unsu...