107

293 18 0
                                    

Keadaan sudah kembali sedia aman. Tiada lagi pertumpahan darah yang berlaku melainkan yang tinggal hanyalah asap-asap kesan dari kebakaran, keruntuhan struktur bangunan dan mayat-mayat yang bergelimpangan.

Sesungguhnya perang yang memakan masa selama berbulan lamanya itu telah mengorbankan banyak jiwa dan menyebabkan kemusnahan.

Benar, tiada pihak yang untung dalam peperangan itu. Yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu. Begitulah perumpamaan yang tepat menggambarkan kedua-dua pasukan.

Kini tiba masa untuk menjalani kehidupan yang lebih tenang dan damai. Tiada lagi pihak yang mengangkat senjata dan tiada lagi pihak yang mengangkat bendera putih.

Seorang raja memerhatikan panorama di dalam kota tersebut dengan pandangan sayu. Matanya melirik satu per satu keadaan di dalam kota.

Keadaan di dalam kota berselerak. Di sana sini kelihatan mayat bergelimpangan berserta tumpahan darah yang berbau hanyir. Begitu juga dengan beberapa bangunan kecil di dalam kota itu. Ada yang runtuh dan musnah terbakar.

Bersama tunggangan kudanya, baginda diiringi beberapa pengawal bagi memastikan kota tersebut benar-benar bebas sepenuhnya daripada sebarang musuh dan ancaman.

Laungan takbir mulai bergema di merata-rata tempat tanda meraikan kemenangan. Sekalian tentera bersorak sambil menjulangkan senjata mereka ke udara. Hari itu adalah episod hari yang paling bermakna dalam sekalian penganut agama Islam.

Kota Baitulmaqdis atau lebih dikenali sebagai Jerussalem, sebuah tempat yang menjadi kota suci bagi tiga penganut agama samawi yakni Islam, Kristian dan Yahudi akhirnya telah jatuh di tangan tentera Muslim tepat pada 2 Oktober 1187 Masihi setelah hampir 88 tahun ia dikepung.

Ia adalah hari yang indah untuk menggambarkan kegembiraan dan kemenangan umat Islam setelah sekian lama tempoh peperangan yang diambil untuk mengambil alihnya semula.

"Tuanku, bagaimana dengan tawanan itu semua?" Soal seorang panglima yang mengiringi raja itu.

"Seperti yang kita janjikan. Arahkan para tentera kita mengiringi golongan tua, wanita dan kanak-kanak mereka sebaiknya. Lindungi mereka sehingga tiba ke kota Tyre dengan selamat."

"Iringi mereka?" Nada suara panglimanya seakan tidak berpuas hati dengan arahan tersebut. Raja perasan perubahan tona suara itu namun tidak diendahkan.

"Ya, benar. Iringi mereka sebaik mungkin."

"Baik tuanku." Ujarnya ringkas lalu ditunduk sedikit kepalanya ke bawah. Baru sahaja panglima itu mahu berangkat pergi raja kembali memanggil namanya.

"Taghrii." Panglima itu berpaling. "Beta tahu apa yang kamu fikirkan. Pasti kamu tidak berpuas hati dengan cara layanan kita terhadap mereka bukan?"

Panglima yang dikenali sebagai Taghri itu hanya mendiamkan diri. Enggan memberi sebarang ulasan lanjut. Jika disuarakan bimbang pula dilabel kurang ajar. Jadi ada baiknya dia berdiam sahaja.

Raja menepuk lembut bahunya dari belakang.

"Benar mereka telah membunuh ramai saudara kita tanpa belas kasihan. Malah adik kandungku sendiri dibunuh mereka. Tetapi itu bukanlah satu alasan untuk kita membalas semula. Islam tidak mengajar kita begitu."

Tunak mata raja itu redup menikam roman mata Taghrii lantas baginda menyambung sedikit tazkirah pendeknya bagi menyedarkan panglima itu bahawa Islam itu bersifat pemaaf sesuai dengan ajaran dibawa baginda Rasullullah.

"Jika kita melakukan hal yang serupa terhadap mereka maka apalah beza kita dengan mereka. Bunuh tidak semestinya harus dibalas juga dengan bunuh. Beta pasti kamu tahu apa larangan junjungan Nabi kita ketika berperang bukan."

Panglima HitamWhere stories live. Discover now