Daeng Khalid memimpin anak-anak buahnya menuju ke kawasan pantai. Mereka berjalan separa laju tanpa meninggalkan sebarang jejak bunyi. Itu adalah satu daripada kelebihan pasukan komando berbanding tentera biasa.
Semua anggota KD Panglima Hitam dilihat sentiasa berwaspada bersama senjata masing-masing. Bimbang sekiranya pergerakan mereka dihidu tentera Sulu yang berbangsa Moro.
Berbekalkan goggle inframerah yang disarung pada mata, Daeng Khalid mengaktifkan pandangan visi waktu malam sambil mengacukan senapang raifal M4 ke hadapan.
Sekali sekala dia akan mengacu ke kiri dan ke kanan bagi mengesan sebarang pergerakan yang mencurigakan.
Daeng Parani kekal berada di belakangnya bersama senjata sniper M24A3 yang juga sentiasa diacu ke hadapan. Daeng Parani adalah satu-satunya penembak tepat dalam operasi kali ini.
"Kita dah dekat dengan kawasan pantai tuan." Kata Lucius.
Setelah lebih 5 kilometer mereka berjalan akhirnya mereka tiba di kawasan persisiran pantai. Bunyi ombak laut membelah pantai boleh didengar dengan jelas.
Sedang mereka asyik berjalan tiba-tiba Daeng Khalid membuat isyarat berhenti dengan tangan. Dengan pantas semua anggota terus menunduk. Masing-masing cuba mengesan sesuatu yang mencurigakan di hadapan mereka.
Dalam samar-samar kegelapan Daeng Khalid melihat dengan jelas kelibat tiga lelaki yang lengkap bersenjata sedang berbual. Tidak pasti sama ada itu anggota pasukan keselamatan negara atau tentera Sulu.
Untuk mengenalpasti identiti tiga lelaki itu Daeng Khalid segera membuat bunyi haiwan yakni bunyi burung hantu. Sebaik sahaja Daeng Khalid membuat bunyi tersebut tiga lelaki bersenjata itu kelihatan terpinga-pinga.
Pandangan mereka mulai berpeleseran cuba mencari punca bunyi tersebut. Sekali lagi Daeng Khalid membuat bunyi burung hantu. Jika tiada sebarang respon itu bererti tiga lelaki bersenjata itu adalah musuh negara.
Salah seorang daripada lelaki bersenjata itu kemudiannya membuat isyarat berhenti apabila dua rakannya dilihat cuba mara ke dalam kawasan hutan.
Lelaki itu juga turut membuat bunyi burung hantu. Daeng Khalid mulai senyum apabila lelaki itu membuat bunyi tersebut. Sekali lagi Daeng Khalid membuat isyarat bunyi. Kali ini lebih meleret sedikit.
Lelaki itu juga turut memberi respon yang sama. Dengan perlahan Daeng Khalid dan anggota platunnya mara ke hadapan. Langkah kaki diatur dengan penuh berhati-hati tanpa meninggalkan sebarang bunyi.
"Kulaan." Laung Daeng Khalid separa kuat terhadap tiga lelaki bersenjata itu.
Salah seorang daripada mereka terdengar satu suara. Dia memicingkan mata lalu menghampiri ke arah punca bunyi tersebut.
"Kulaan." Sekali lagi Daeng Khalid membuat panggilan bahasa isyarat rahsia. Picu raifalnya telah pun sedia untuk ditarik sekiranya lelaki itu adalah tentera musuh.
Sebaik sahaja mendengar panggilan tersebut. Lelaki itu juga memberi respon.
"Kulaan."
Dengar sahaja perkataan tersebut Daeng Khalid dan anak buahnya segera berdiri. Tiga lelaki bersenjata itu berundur setapak ke belakang kerana kaget dengan kemunculan sepuluh anggota komando yang berseragam hitam.
"Assalamualaikum." Salah seorang daripada mereka memberi salam.
"Waalaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh." Jawab anggota KD Panglima Hitam yang beragama Islam.
"Maafkan kami sebab tiba awal sangat." Daeng Khalid memulakan bicara.
"Eh tak mengapa tuan. Kami dah dimaklumkan akan ketibaan pasukan KD Panglima Hitam malam ni. Khemah VAT69 terletak di sebelah utara. Cuma tak sangka skuad tuan muncul dari kawasan ni. Sebelum tu boleh tuan perkenalkan diri tuan?"
YOU ARE READING
Panglima Hitam
FantasyMengisahkan perjuangan dan pengorbanan sekumpulan tentera elit dalam mempertahankan kedaulatan negara dan anak bangsa. Diinspirasikan daripada peristiwa hitam Lahad Datu yang melanda negara kita pada tahun 2013 yang lalu. Terdapat sedikit unsur-unsu...