84

498 27 0
                                    

Suasana tiba-tiba bertukar menjadi putih. Terbit bunyi bingit yang berdesing-desing mensesakkan telinga. Gelombang daripada bunyi tersebut sungguh tajam bagaikan menghiris gegendang telinga. Sungguh ngilu.

"Arrghhh!" Tempikan yang bercacamarba antara takut dan marah bergema di dalam bilik tersebut akibat letusan bom flashbang yang datang dari entah mana.

Sekalian lanun Sulu di dalam bilik tersebut berteriak tatkala bom flashbang yang bergolek di atas lantai menghasilkan letupan cahaya putih yang menyilaukan mata.

Daeng Khalid sempat merebahkan tubuhnya ke lantai. Matanya dipejamkan serapat mungkin di samping menekup pancindera pendengaran sekemas-kemasnya.

Bengang. Itulah yang dirasai Daeng Khalid tatkala bom tersebut meletus. Telinganya berdesing. Satu saat dua saat.. Beberapa saat berlalu barulah keadaan kembali menjadi seperti sedia kala.

Di kala itu Daeng Khalid kembali bangun meskipun kondisi dirinya masih dalam keadaan pening-pening lalat. Dengan sisa kudrat yang masih ada dia melihat sebentar keadaan sekeliling.

Kelibat Angelica masih kelihatan. Dia terbaring mengiring di atas lantai dalam keadaan masih terikat. Daeng Khalid memicingkan mata cuba mencari di manakah si gunting di dalam lipatan.

Felix. Lelaki tempatan warga Malaipura itu nampaknya telah tiada. Barangkali lebih awal lagi melarikan diri. Daeng Khalid mengepal genggaman penumbuk. Antara rasa geram, marah dan kecewa.

Beberapa orang lanun Sulu masih terbaring. Masing-masing meraung kepedihan dalam keadaan menekup muka. Senjata raifal mereka dilihat bertaburan di atas lantai.

Peluang keemasan. Dengan pantas Daeng Khalid menggapai selaras senapang raifal Kalashnikov. Dia menilik buat kali terakhir wajah seorang demi seorang para lanun yang telah pun dianggap sebagai Si Kitol moden.

'Selamat tinggal wahai petualang negara!'

Sejurus kemudian tiada langsung perasaan belas sewaktu Daeng Khalid melepaskan tembakan bertubi-tubi. Menggelitis tubuh mereka sewaktu menerima tujahan lepasan peluru yang berkelajuan 400 meter sesaat atau 1440km/j.

Riak wajah Daeng Khalid tampak kosong sewaktu melihat percikan darah musuh yang mulai menjadi mini mural di dalam bilik tersebut. Tembakan berhenti beberapa saat kemudian sejurus sahaja kehabisan peluru.

Nafas Daeng Khalid tercungap akibat terlalu lama menjerit sewaktu melepaskan tembakan. Nun di muncung senapang raifal terbit kepulan asap kecil hasil pembakaran peluru yang dilepaskan.

Daeng Khalid jeda. Dia melihat hasil kreativiti seninya. Sepuluh mayat lanun Sulu yang bergelimpangan di serata hala menjadikan ia satu tema latar yang sangat dominan.

Tompokan darah yang membasahi sekeliling pula bertindak sebagai mural sokongan. Menjadikan atmosfera tersebut sebagai satu karya seni yang sangat mengerikan.

Daeng Khalid memejamkan mata. Satu keluhan kecil terbit sewaktu dia menghampiri Angelica. Jauh di sanubari perasaan ihsan itu sebenarnya masih bersisa.

Bukanlah dia langsung tidak mahu memberikan peluang buat musuh-musuhnya tetapi mereka sendiri yang memilih jalan hidup mereka. Inilah jalan yang mereka pilih.

Sebab, musabab dan sabit kematian mereka menjadi teka teki di dalam diri Daeng Khalid. Mengapa terdapat cebisan rakyat Malaipura yang tergamak melakukan hal sedemikian.

Apakah tidak cukup segala nikmat yang mereka rasai selama tinggal di negara ini?
Tidak sedarkah mereka betapa nikmat bebas atau merdeka adalah satu nikmat besar daripada Tuhan yang wajib dipertahankan.

Daeng Khalid melepaskan ikatan Angelica. Keadaan gadis tersebut sangat lemah dan tidak bermaya. Dengan penuh bersusah payah dia mengendong tubuh gadis tersebut. Wajahnya sedikit pucat.

Panglima HitamWhere stories live. Discover now