Di dalam sebuah bilik terdampar dua jasad wanita yang lengkap berpakaian di atas katil bersaiz king. Seorang wanita baring terlentang dengan nyenyaknya sementara seorang lagi sudah terjaga.
Wanita yang terjaga itu dilihat memisatkan matanya. Dalam keadaan mamai dia lupa sejenak di mana kini dia berada. Tubuhnya yang langsing itu direnggangkan sedikit. Berkurangan lenguh-lenguh dan sengal yang dirasainya sejak semalam.
Dengan rasa malas yang masih bersisa dia menggeliatkan badan sehingga terangkat sedikit anggota abdomennya ke atas lalu diikuti kuapan kasar.
"Arghhh sedapnya." Angelica menghela nikmat. Dia membangunkan tubuhnya.
"Amboi sedap betul ya engkau tidur Jane." Dijeling kawannya yang masih belum sedarkan diri sejak semalam. Hampir seluruh tubuh Jane telah ditutup dengan selimut.
Dengan keadaan bilik yang sejuk dengan penghawa dingin yang mencecah suhu 15°C, sudah pasti ia mengundang keselesaan buat mereka berdua lena dibuai mimpi.
"Eh dah ada pakaian? Siapa pula yang sarung pakaian ni?" Angelica menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Kaget melihat tubuhnya kini lengkap berpakaian. Sehelai camo (seluar askar) panjang dan singlet bercorak abstrak celoreng hijau menutup tubuhnya yang montok dan menggiurkan."Wow aku dah jadi awek tentera." Gumam Angelica sedikit teruja dengan pakaian yang disarungkan pada tubuhnya.
Pancaidera mata Angelica menilik seketika bilik yang dihuni mereka berdua. "Cantik." Komennya ringkas diikuti anggukan kecil.
"Eh?" Sesaat kemudian barulah Angelica perasan sesuatu yang aneh. Nampaknya ada yang tidak kena.
"Aku kat mana ni?" Dikerling setiap sudut bilik itu. Ia tampak eksklusif dengan hiasan-hiasan mahal yang pasti mencecah ribuan ringgit.
Angelica berasa sangsi dengan apa yang berlaku. Apa yang terjadi semalam? Angelica cuba memerah otaknya. Ya dia ingat sikit-sikit.
Imbasan memori terakhirnya adalah berada di lautan bersama dua orang komando laut yang telah menyelamatkan mereka.
Namun malangnya helikopter yang dinaiki mereka terhempas akibat masalah teknikal. Dek keletihan yang teramat sangat dia tanpa sengaja telah terlena dalam keadaan terapung.
Begitulah keadaannya setakat apa yang diingati semalam. Angelica mengeluh. Apakah sebenarnya yang berlaku? Mengapa ketika ini dia berada di dalam bilik yang asing ini?
Di mana pula Daeng Khalid dan Daeng Parani? Benak Angelica dihantui perlbagai persoalan. Tekstur kulit pada dahinya mulai berkerut. Dengan tenang dia bingkas duduk semula di atas katil.
"Parani, Khalid mana korang?" Angelica menggosok telapak tangannya lalu dirapatkan pada bibir. Otaknya mulai ligat berfikir sesuatu.
Dalam diam terbit perasaan ingin tahu di manakah sebenarnya mereka berada. Adrenalin Angelica membuak-buak seiring dengan semangatnya yang melonjak naik.
"Aku mesti keluar dari sini tapi.." Lantas ditoleh ke arah Jane yang masih lena. Satu keluhan kecil meluncur keluar dari bibirnya. "Hmm."
Tiba-tiba dia dihimpit rasa serba salah. Antara semangat setiakawan dan keinginan mahu selamatkan diri. Jane bermundar-mandir di sekeliling katil sambil tangan kanan mengusap dagu.
Hendak ditinggal bimbang pula keselamatan Jane. Jika dia kekal di situ pula entah sampai bila pun dia tidak akan temui jalan keluar. Setelah sekian lama berfikir akhirnya Angelica bernekad.
"Aku mesti cari jalan keluar dari sini. Maafkan aku Jane. Nanti aku datang balik. Aku janji." Dikucup lembut dahi kawannya itu.
Angelica memandang ke arah pintu yang terhidang di depan matanya. Bila-bila masa sahaja dia akan melangkah kaki buka tombol pintu bilik tersebut. Nafas ditarik teratur.
YOU ARE READING
Panglima Hitam
FantasyMengisahkan perjuangan dan pengorbanan sekumpulan tentera elit dalam mempertahankan kedaulatan negara dan anak bangsa. Diinspirasikan daripada peristiwa hitam Lahad Datu yang melanda negara kita pada tahun 2013 yang lalu. Terdapat sedikit unsur-unsu...