16

760 42 0
                                    

Tiga anggota pengganas Sulu yang masih hidup berlari sekuat hati bagaikan sang lipas yang kudung kakinya. Jantung mereka kini berdegup kencang bagaikan genderang mahu berperang.

Langkah diatur laju menuju ke dalam perut hutan. Mereka bertiga akhirnya berjaya keluar daripada kawasan yang dipenuhi asap putih tebal dan memedihkan mata itu.

"Cepat sikit. Nanti mereka nampak susah kita." Jerit salah seorang daripada mereka dalam keadaan resah bercampur takut dan curiga.

Masakan tidak hanya tinggal mereka bertiga sahaja yang masih bernyawa. Sekali sekala mereka turut menoleh ke belakang khuatir sekiranya terdapat musuh yang mengekori.

Tidak sangka musuh yang dihadapi mereka kali ini bukan calang-calang. Jika semalam dengan mudah mereka mengkotak katikkan pihak musuh kali ini mereka telah tewas teruk.

Entah kenapa ilmu hitam yang diamalkan mereka seperti selalu gagal berfungsi kali ini. Itu lah yang menghairankan mereka.

Seramai 35 anggota mereka yang dianggarkan terkorban dalam pertempuran itu. Tidak sangka keupayaan musuh yang dipandang rendah semalam akhirnya menjerat diri mereka sendiri.

Sewaktu mereka sedang leka berlari tiba-tiba kelihatan satu kelibat berseragam hitam terpacul di hadapan.

Kelibat itu dilihat memegang tekpi yakni sejenis senjata tradisional yang mempunyai tiga bilah mata pisau yang tajam.

Langkah tiga tentera Sulu itu terhenti. Raifal Kalashnikov diacu tepat pada kelibat yang tiba-tiba sahaja muncul di hadapan mereka.

"Siapa kau?" Tanya salah seorang anggota tentera Sulu sambil mengacu senapang. Langkah mereka diatur dengan penuh berhati-hati. Berwaspada dengan sebarang kemungkinan pergerakan kelibat di hadapan mereka.

"Assalamualaikum." Tubuh berseragam hitam itu memberi salam kepada mereka bertiga.

Ketiga-tiga tentera Sulu itu saling berpandangan curiga terhadap lelaki yang memegang senjata tekpi itu.

Lelaki ini memberi salam?

"Waalaikummussalam." Sapaan salam lelaki itu dijawab memandangkan mereka bertiga juga adalah Muslim.

Tidak salah pun menjawab salam daripada saudara seagama. Namun perasaan curiga masih lagi berbaur di dalam diri mereka bertiga. Siapakah pula gerangan yang tiba-tiba berani memberi salam dalam keadaan gawat sebegini?

Dalam keadaan yang masih lagi gelap sukar bagi mereka untuk mengecam siapakah lelaki berseragam hitam itu. Adakah lawan atau pun kawan?

"Korang bertiga nak lari ke mana sebenarnya?"

Terkejut beruk tiga tentera Sulu itu apabila mendengar lelaki bersenjatakan tekpi di hadapan mereka bertutur di dalam bahasa yang cukup asing pada pendengaran telinga.

Wajah mereka berubah bengis.

"Itu bukan bahasa Tagalog!"

"Tembakkk!"

***

"Bintara Kanan Parani. Sila maklumkan status dan lokasi kamu, over." Daeng Khalid cuba berkomunikasi dengan Daeng Parani melalui earphone.

Jam menunjukkan sudah pukul 6.30 pagi. Keadaan sudah mulai terang disinari cahaya suria memandangkan waktu di negeri Sabha lebih awal berbanding waktu di semenanjung.

"Bintara Kanan Parani. Sila maklumkan status dan lokasi kamu." Daeng Khalid mengulang kembali arahannya dengan suara yang sedikit keras. Supritendan Hassan di sebelah hanya memerhati.

Berang juga apabila tiada sebarang respon daripada platun itu. Sehingga kini tiada sebarang berita daripada Daeng Parani. Selamatkah? Cederakah? Daeng Khalid sedikit khuatir dengan keselamatan iparnya itu.

Panglima HitamWhere stories live. Discover now