••••••
Raja Daeng Parani berlari dengan pantas dan senyap. Suara jeritan wanita mempamit perhatian baginda sewaktu mencuri-curi masuk ke atas jong tersebut tanpa pengetahuan sesiapa.
Bagaikan seorang pencuri yang licik dengan mudahnya baginda meloloskan diri ke atas jong tersebut meskipun dikawal ketat oleh barisan pengawal dan para hulubalang Raja Daeng Merewah.
"Celaka sungguh engkau Merewah." Raja Daeng Parani mengetap bibirnya kegeraman.
Dari jauh roman mata baginda menyaksikan sendiri bagaimana tergamaknya Raja Daeng Merewah sanggup menzahirkan niatnya mahu menikam Puteri Buih, adik angkat mereka sendiri.Mujur sajalah hikmat Mata Helang Kayangan baginda mampu menghalang cubaan membunuh tersebut. Dengan wajah yang menyinga Raja Daeng Parani pantas melompat menghampiri adiknya yang kini sudah pun bergelar pengkhianat.
"Merewah sudah cukup!" Raja Daeng Parani menghadiahkan satu tendangan tepat pada bahagian dada Raja Daeng Merewah.
"Arghh!" Melayang tubuh Raja Daeng Merewah ke belakang refleks daripada tendangan padu tersebut.
Raja Daeng Parani pantas melakukan hikmat ajaib yang menzahirkan jasad kedua baginda.
Tumm! Dalam sekelip mata muncul kelibat jasad lain yang mirip Raja Daeng Parani.
"Adinda." Jasad kedua Raja Daeng Parani pantas memangku tubuh Puteri Buih yang telah pun terkulai layu sementara jasad asal Raja Daeng Parani bingkas berhadapan dengan adiknya.
"Bawa dia ke tempat yang selamat." Jasad kedua Raja Daeng Parani mengangguk faham lalu lesap bersama Puteri Buih seperti yang diarahkan.
"Hebat." Raja Daeng Merewah mengesat darah di bibirnya lalu mengukir senyuman sinis. "Bagaimana kakanda bisa berada di atas jong yang nian masyhur ini?" Renungan tajam diberikan kepada Raja Daeng Parani yang enggan menjawab.
"Setahu adinda, jong ini telah disumpah oleh Azazil."
"Usah disebut perkataan 'kakanda' denganku. Jijik aku mendengarnya. Sesungguhnya aku tidak mempunyai adik yang bergelar pengkhianat."
Raja Daeng Parani mengetap rahangnya. Anak mata Raja Daeng Merewah ditenung sedalam-dalamnya bagaikan mahu ditelan. Dapat dilihat riak dendam pada air muka baginda.
"Bahkan lebih dahsyat sanggup mengkhianati agama sendiri, kerajaan sendiri dan bangsa sendiri. Engkau tidak ubah seperti Si Kitol." Genggaman pada hulu parang jenguk baginda semakin kuat lalu dihalakan muncungnya ke arah Raja Daeng Merewah yang kini bergelar musuh.
Parang jenguk yang diberi nama Si Giling Keluli sudah menelan ratusan darah musuh. Dan tidak mustahil ia bakal menelan darah Raja Daeng Merewah pula kali ini.
"Apa-apa sajalah Parani. Aku sendiri sedikit pun sudah tidak hairan dengan itu semua. Kerana sesungguhnya.." Raja Daeng Merewah mengeluarkan senjata kelewang yang disisip pada pinggangnya. "Aku juga mempunyai prinsip perjuanganku sendiri."
"Cara dan haluan kita mungkin berbeza Parani tetapi hakikatnya tujuan dan hajat peribadi kita adalah sama." Langkah kekuda Raja Daeng Merewah dibuka kemas.
"Kali ini aku mahu membuat perhitungan terakhir. Ayuh kita buktikan siapakah antara kita yang lebih handal dalam bertempur." Pergerakan anggota badannya selari dengan lenggokan kelewang yang digenggam.
"Baiklah jika itu kemahuanmu." Sahut Raja Daeng Parani lalu membuka langkah kekudanya sambil melenggokkan parang jenguknya.
"Tetapi aku ada satu syarat. Diharapkan engkau mampu menurut kehendakku."
"Apa lagi engkau mahu?"
"Aku mahu pertarungan ini dilakukan secara bersih dan adil. Tiada sebarang ilmu hikmat atau mantera antara kita."
YOU ARE READING
Panglima Hitam
FantasyMengisahkan perjuangan dan pengorbanan sekumpulan tentera elit dalam mempertahankan kedaulatan negara dan anak bangsa. Diinspirasikan daripada peristiwa hitam Lahad Datu yang melanda negara kita pada tahun 2013 yang lalu. Terdapat sedikit unsur-unsu...