Bella dan Chibi mengambil keputusan untuk mencari kampung terdekat demi mendapatkan maklumat mengenai Asrar. Namun dalam perjalanan mereka menuju ke kampung terdekat, secara tidak sengaja mereka menempuh masuk ke kawasan daerah yang paling tidak digemari oleh kebanyakan bangsa intelek di Alamria iaitu daerah Tasik Gelap. Kerana disini la tempat huninya satu kaum yang dahulunya pernah mengganas di Alamria di bawah pemerintahan Raja Buana Gelap. Kaum barbaric yang gemar bertarung dan membunuh dipanggil sebagai kaum Cacako atau manusia cicak.
Kaum inilah dahulunya menjadi salah satu punca kemenangan Raja Buana Gelap pada awal era pemerintahannya. Sewaktu beliau mula-mula melancarkan perang ke atas Raja Vuldok, pemerintah Alamria sebelum Raja Buana Gelap. Kekuatan kaum ini tiada tanding, kerana mereka amat mahir dalam teknik bertarung. Berilah mana-mana bangsa intelek yang lain pun. Tetap mereka akan tewas bila bertemu dengan kaum cacako.
Disamping kaum ini juga mempunyai stamina yang banyak berbanding kaum yang lain. Sebab itu mereka boleh berperang dan bertarung berhari-hari, berminggu-minggu lamanya tanpa henti. Mereka tidak akan keletihan. Kulit-kulit mereka juga keras daripada mata pedang dan magik. Menjadikan mereka pahlawan yang tak mampu dikalahkan.
Namun begitu, puncak kegemilangan kaum ini tidak lama apabila Seri Sang Nilam berjaya mendiamkan mereka. Melihatkan kaum mereka yang semakin berkurang, kaum cacako mengambil keputusan sama seperti kaum djin iaitu menyendiri dan tidak ikut lagi mana-mana pemerintah Alamria. Lalu beramai-ramai la mereka menghuni Tasik Gelap, sebuah habitat yang dipenuhi dengan hutan paya bakau, tasik dan sungai.
Sehingga kini mereka tidak bergaul dengan dunia luar dan tiada satu pun orang luar yang berani masuk ke daerah mereka, kerana khabar menyatakan bahawa sesiapa yang masuk tidak akan selamat dan tidak akan keluar dari situ.
Dan pada hari ini Bella dan Chibi tak sengaja pula masuk ke daerah itu. Mulanya mereka meredah hutan untuk mencari jalan keluar dari situ, namun mereka perasan mereka telah tersasar dari laluan sebenar. Peta dan kompas kecil ditangan yang menjadi alat pandu arah kini tidak berguna lagi. Mereka menjejak masuk ke kawasan hutan paya bakau. Kawasan penuh selut.
Beberapa orang kaum cacako telah mengepungi Bella dan Chibi. Dua beradik itu bergenang air mata apabila makhluk berupa seperti cicak, atau buaya bertubuh seperti manusia tetapi bersisik kasar mengepungi mereka sambil memegang tombak-tombak besi.
"Siapa kamu berdua? Macam mana kamu berdua boleh tersesat ke sini?" tanya salah seorangnya.
"Er um kami, melarikan diri dari kampung. Kampung kami telah diserang oleh orang asing!" balas Bella. Dia berharap dia dan adiknya tidak dibunuh oleh makhluk menakutkan ini.
"Oh begitu kah." Salah seorangnya mengurut dagu.
"Yala, Cocho, aku pernah dengar dari Konoa yang ada orang asing mula menjajah Alamria. Sebab itu magik kita tak terpakai sekarang." Ucap rakan kepada makhluk yang mengurut dagu tadi.
"Kalau begitu, marilah ikut kami. Kami bawa kamu berdua ke kampung kami. Tidak jauh je dari sini. Pandai berenang?" tanya Cocho.
Bella dan Chibi melihat tasik berlumut. Buih-buih udara yang muncul di atas tasik selut tersebut meletup satu persatu. Mereka berdua menelan air liur. Kemudian cepat-cepat mereka menggelengkan kepala.
Cocho ketawa sambil tangan sebelahnya memegang pinggang. "Susah juga. Sebab kampung kami berada di dalam tasik ini. Tapi tak apa, tahan sahaja nafas. Saya akan bimbing kamu berdua sampai ke kampung."
Rakan-rakan Cocho telah masuk ke dalam tasik terlebih dahulu. Mereka pantas berenang dan menyelam.
"Tak lemas ke tinggal dalam air?" tanya Chibi. Dia tak faham bagaimana seekor makhluk mampu tinggal dalam air. Sudah la air pun kelihatan kotor.
YOU ARE READING
Alamria (Magical World) BOOK 1
FantasiDi Alamria, semua orang mampu menggunakan magik. Namun malangnya ia tak berlaku pada Akid. Bagaimana dia akan survive dalam dunia yang penuh dengan cabaran ini?