Ku tak mampu menyulam api
buat jadi baju panas
untuk meredakan dinginmu
Tak mampu pula aku solekkan langit dengan warna-warna pujaan
mengikut kehendak hatimu
Apa pula dayaku merubah deru ombak
Membiar kau berlari di pantai
tanpa sedikit dibasahi air
Apatah lagi menghakis pepohonan lama
Buat jadi istana kayu
tempat cinta kita beradu
Aku pencinta serba biasa
Dengan cinta sekadar biasa
Tidak kaya
Tidak lagi sempurna
Tetapi jika kau mahu bandingkan kasih yang ada dalam jiwa
Bahkan pada seluruh mayapada ini tidak mampu kau cari cinta yang seperti aku
Kerana cinta serba biasa aku
Bukan terletak pada mahalnya mahar atau gahnya rumah besar
Tetapi pada kalam cinta
Yang aku nukil dari awal pertemuan kita
Yang mana tulisannya tidak mungkin pudar atau dipadam sesiapa
Bahkan jika dibakar
Apinya kekal menyala untuk selamanya
