Saat-saat kesedihan pasti tiba
Saat kau terasa tidak mampu lagi berdiri
Dan hanya mahu terbaring
Meratapi nasib diri
Saat segalanya terasa sukar
Hinggakan nafas sendiri terasa berat
Beban dalam hati yang kian mengikat
Langkah kaki semakin penat
Saat saat-saat itu berlaku
Kalau kau tidak mampu berdiri
Duduklah dan berpaling
Kalau kau tidak mampu duduk
Maka baringlah dan berpaling
Berpalinglah dan lihat
Sejauh mana telah kau menapak
Walau hanya satu derapan kaki
Kau telah berusaha
Dengan sebaik-baiknya
Hanya kau yang tahu
Nilai penat-lelah
Yang telah kau curahkan
Untuk menapak walau sederap cuma
Hanya kau yang tahu
Jadi saat saat-saat kesedihan ini tiba
Berpalinglah
Berpalinglah dan lihat betapa kau telah berjaya
Mengangkat kaki untuk sampai ke tahap ini
Segala perkara yang sukar dahulu
kini tinggal menjadi tapak kaki
yang berbekas di belakangnya
Makanya kali ini juga kau mampu
Mengangkat kaki dan melalui kesukaran ini
Membiarkan ia menjadi bekas-bekas jejak
Yang bakal kau lihat semula saat kau berpaling lagi